Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Sabtu, 14 Januari 2012

TRAGEDI PERTENGAHAN JANUARI.

Oleh: Suhili bin Nain.
(Catatan kisah benar)

“Tolong! Tolong!” suara panik memecah gegendang telingaku, membuatkan aku terjaga daripada lena. Aku, abang dan adikku segera keluar daripada bilik, namun tiada jawapan yang pasti kami dapati. Di luar rumah ada bunyi kecoh, ada sesuatu yang besar besar berlaku. Jantungku berdebar-debar.
          “Perompak! Perompak!” Aku berteriak keras. Fikiranku menerka ayahku sedang bergelut dengan perompak diluar rumah, memandangkan beberapa bulan lepas ada rumah telah berlaku kecurian.
Pantas aku melangkah ke luar rumah, pada masa yang sama ada suara cemas bertempik, “Telefon bomba! Telefon bomba!”
Dengan mataku terbeliak aku terkaku dimuka pintu. Api yang menyala-nyala menjulang ke langit tidak jauh daripada rumah kami. Rumah jiranku dijilat api tanpa belas. Terkejut. Fikiranku semakin kalut.
“Ambil dokumen penting!” Ibuku keluar daripada bilik membawa beberapa buah beg. Dompet dan telefon diruang tamu ku capai dengan pantas. Tanpa memikirkan apa-apa selain menyelamatkan nyawa. Aku berjalan ke luar tanpa alas kaki. Batu-batu tajam dijalanan bagaikan tidak terasa olehku.
Dengan jantung yang berdebar-debar aku memerhati dari jauh. Api semakin marak dan merebak ke rumah jiranku yang lain. Sebuah rumah lagi menjadi mangsa. Suasana benar-benar haru-biru. Usaha penduduk memadamkan api kebakaran dengan cara menyiram air daripada laut disiram ke rumah yang terbakar menemui jalan buntu. Sudah berbaldi-baldi air disiram tetapi api terus merebak. Jiran-jiranku yang berdekatan rumah terbakar itu lari menyelamatkan diri. Tong gas, dokumen penting, pakaian dan keperluan diselamatkan semampunya.
Dalam sekelip mata, bekas perkampungan nelayan ini menjadi terang-benderang. Sebuah rumah lagi dijilat api. Bunyi letupan kedengaran di celah-celah api yang menjulang tinggi.
“Mak!” Aku berteriak mencari-cari ahli keluargaku di antara penduduk yang menyelamatkan diri. Alhamdulillah, semua ahli keluargaku sudah berada di tempat yang selamat.
Pasukan bomba dan penyelamat sudah dihubungi dan dalam perjalanan.
Melihat rumah kami yang masih dalam keadaan selamat, aku bergegas balik ke rumah. Cuba menyelamatkan apa yang mampu.
Perkara pertama yang aku selamatkan adalah komputer riba dan beg, yang mengandungi maklumat dan manuskrip buku yang belum siap. Seterusnya buku-buku yang tersimpan di dalam rak aku punggah dan angkut ke dalam kereta. Bagiku, inilah barang-barang yang penting. Hilang duit, aku tidak begitu kisah, tapi hilang buku yang menyimpan ilmu adalah satu kehilangan yang amat besar. Ku teringat kisah seorang ulama yang menangis dan meratap kerana buku-bukunya terbakar.
Sambil mengangkat buku, tidak semena-mena air mataku menitis. Perasaan gerun, resah dan gusar melingkari hatiku. Debaran jantungku masih berdegup kencang. Dalam keadaan rumah-rumah yang rapat di kampung kami, tidak mustahil rumah kami boleh terbabit dalam kebakaran yang dahsyat itu.
Waktu solat subuh sudah pun masuk, tetapi tidak ada azan kedengaran kerana penduduk tertumpu kepada kebakaran yang menimpa.
“Sudahlah itu! Cukuplah! Jangan ambil lagi!” Ibuku menghalangku daripada kembali ke rumah.
“Sekali lagi! Last!” Pintaku dan terus melangkah berkaki ayam. Hanya separuh sahaja buku yang berjaya aku bawa keluar daripada rumah. Selepas itu aku berhenti. Di sebelah kereta aku meraung sendirian kesedihan. Beberapa ketika kemudian aku cuba menenangkan diriku, tanganku tadah ke langit memohon kepada Allah s.w.t agar bantuan dikirimkan. Hanya kepada Allah s.w.t ku panjatkan pengharapan! Mengharap agar kebakaran dapat dipadamkan secepat mungkin.
Aku melangkah kaki ke jambatan tempat penduduk berkumpul. Beberapa orang jiranku yang rumahnya begitu hampir dengan rumah yang terbakar tanpa berputus asa terus menyiram api yang menjilat, menggunakan baldi.
“Kita putuskan jambatan!” Pekik ayahku. Bahangnya api yang menyala begitu terasa. Ada beberapa orang sempat mengambil gambar.
Aku teringin untuk membantu, namun jambatan berhampiran ku lihat sudah dipenuhi orang ramai. Hendak turun ke bawah pula, air laut sudah menjadi surut.
Setelah hampir setengah jam kebakaran bermaharajalela, akhirnya pasukan bomba pun sampai ke tempat kejadian. Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan. Akhirnya 5 buah rumah hangus dalam kebakaran kali pertama di kampungku pada subuh itu. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun...
Walau bagaimanapun, tiada kemalangan nyawa yang berlaku dalam kebakaran yang menyebabkan lebih 5 buah keluarga kehilangan tempat tinggal.
Tragedi yang berlaku pertengahan Januari 2012 ini, pastinya ia akan memberikan kesan yang mendalam kepada penduduk kampung, kerana inilah kebakaran yang pertama kali berlaku di kampung kami. Yang lebih sedih dan menerima kesan langsung tentunya mangsa kebakaran.
Di celah-celah kekalutan yang berlaku pada subuh itu aku terfikir tentang sikap kita sebagai manusia. Kita sering takut kepada api besar yang menyala, yang memusnahkan harta benda. Kita cuba lari daripadanya sedaya upaya. Namun, sejauh manakah kita cuba menyelamatkan diri daripada bakaran api neraka?
Dosa dan maksiat yang kita lakukan sebenarnya ada seumpama kayu api yang terkumpul. Semakin banyak kayu api yang dikumpul, maka semakin berat  dan lamalah untuk kita berhadapan dengan kebakaran di akhirat sana. Aku teringat sebuah hadis riwayat Al-Bukhari, bahawa api di akhirat itu adalah 70 kali ganda lebih panas daripada api dunia.
Semoga Allah s.w.t merahmati, memberikan kita hidayah dan mengampunkan dosa-dosa kita dalam kehidupan yang serba fana ini... Tidak lupa juga, kepada mangsa kebakaran, semoga Allah s.w.t memberikan mereka kekuatan untuk meneruskan kehidupan...

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan