Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Selasa, 2 April 2013

SEBELUM BERJAYA.



Oleh: Suhili bin Nain, Kota Kinabalu.



Membaca dan menelusuri perjalanan hidup orang-orang yang telah berjaya cukup mengkagumkan. Apa yang mereka lalui boleh memberikan kita inspirasi, semangat dan pengajaran dalam mencapai kejayaan dalam hidup kita.
Andai direnung sepintas lalu kehidupan mereka yang berjaya, terdapat satu kualiti yang hebat ada pada diri mereka. Mereka mempunyai kesanggupan untuk berusaha lebih daripada yang lain, dan melakukan banyak pengorbanan. Mereka telah mengorbankan masa mereka, harta, perasaan dan pelbagai perkara yang mereka miliki, semata-mata mahu mencapai kejayaan yang mereka kehendaki.
Contohnya, seorang doktor pakar yang berjaya. Disebalik kejayaan tersebut, dan sebelum beliau mencapai kejayaan tersebut banyak pengorbanan yang telah beliau lakukan. Beliau telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk belajar dan menuntut ilmu. Di saat orang lain sedang bersenang-lenang menonton TV, berpesta dan melakukan perkara sia-sia yang bersesuai dengan hawa nafsu, beliau sibuk belajar meneliti kajian dan buku-buku ilmu.
Bukan itu sahaja, beliau telah mengambil risiko dengan membuat pinjaman kewangan yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit untuk membiayai pengajiannya. Sedangkan dalam masa yang lain, ada orang meminjam wang untuk menggunakannya ke jalan yang tidak memberikan kejayaan buat masa depan.
Di sisi lain, kejayaan para insan yang dijanjikan Syurga daripada sahabat Rasulullah s.a.w juga tidak wajar kita lupakan. Dalam mendapat janji tersebut mereka telah melalui pelbagai perit perjuangan dan pengorbanan. Mereka telah menginfakkan harta mereka di jalan Allah, menggunakan waktu untuk beribadah dan menegakkan agama Allah, berkorban nyawa sehingga gugur dalam peperangan membela agama Allah. Sedangkan, saat mereka berjuang di sana ada insan lain yang bersenang-lenang dan mengikut hawa nafsu yang ingkar kepada Allah.
Begitulah orang yang mahu kejayaan, perlu ada pengorbanan dalam perjuangan. Mengorbankan harta, masa, perasaan, malah nyawa agar berjaya mengecapi kejayaan.
Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu.
No pain, no gain.
Adakah kita sanggup berkorban masa, perasaan, harta dan nyawa untuk mencapai kejayaan yang kita impikan?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan