Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Ahad, 9 Jun 2013

SOAL JAWAB: PROSES PENULISAN ‘72 HADIS DAN KISAH POPULAR DI INTERNET’.






1.   Bilakah anda memulakan penulisan ebook ‘72 Hadis dan Kisah Popular di Internet’, dan berapa lama anda menyiapkannya?

Penulisan ebook ini, bermula semenjak tahun lepas lagi. Kalau tidak silap pada bulan Okober. Asalnya tiada niat untuk menulis buku. Sekadar suka-suka untuk mengumpul hadis dan kisah yang bermasalah di internet, lalu timbul idea untuk mengumpulkannya.
Saya mengambil masa lebih 7 bulan untuk menyiapkan penulisan ini, kerana saya menulis mengikut mood, disamping kekangan masa yang kadang-kadang sibuk. Malah buku ini pernah melalui beberapa perubahan, sehingga hasil yang kita boleh lihat pada hari ini.

2.   Bagaimana boleh tercetus idea untuk menulis ebook ini?
Idea ini tercetus saat saya membaca buku  40 Hadis Palsu Popular karya Abdul Razak Mutalib. Saya yakin, hadis bermasalah yang popular bukan itu sahaja. Malah lebih banyak lagi. Dengan izin Allah, saat itu saya melihat banyak hadis dan kisah yang aneh dan bermasalah tersebar melalui facebook, blog dan forum. Lantaran itu, tercetuslah idea untuk mengumpulkan hadis dan kisah popular yang tersebar melalui internet, yang mana ia adalah hadis dan kisah yang bermasalah.

3.   Apakah syarat untuk sesebuah hadis itu tersenarai dalam ebook ini?
Setiap hadis ditapis. Sebelum memasukkan hadis ke dalam buku ini, saya akan melakukan carian terlebih dahulu melalui internet untuk melihat sejauh mana popularnya hadis atau kisah bermasalah tersebut. Sedaya upaya saya hanya memasukkan hadis dan kisah yang tersebar dengan banyak mencecah ribuan dan mungkin mencecah puluh ribu, dan ada antaranya yang sering didengar dalam ceramah dan dibaca dalam buku yang kurang teliti.
Selain itu, saya juga berusaha membaca dan meneliti beberapa buah buku membongkar hadis lemah dan palsu yang ada dipasaran buku tempatan. Dan saya berusaha agar hadis yang dimuatkan dalam buku ini tidak mengulangi kebanyakan hadis yang telah disebutkan dalam buku-buku tersebut., seperti buku 40 Hadis Palsu Popular karya Abdul Razak Mutalib, dan Kisah Para Nabi dan Rasul yang Tidak Boleh dijadikan Hujah karya Dr. Basri Ibrahim al-Azhari.
Saya katakan, kalau anda sudah membaca dan memiliki buku  40 Hadis Palsu Popular karya Abdul Razak Mutalib, maka amat wajar untuk anda miliki buku ini. Kerana sepanjang saya menghasilkan ebook ini, saya memastikan isi kandungan buku ini tidak mengulang semula kandungan buku tersebut. Boleh dikatakan, buku ini sebagai ‘pelengkap’.

4.   Boleh berikan satu contoh hadis atau kisah popular di internet yang bermasalah?
Boleh. Satu hadis atau kisah bermasalah yang paling popular adalah kisah kewafatan Rasulullah s.a.w. Ia menceritakan bahawa sebelum Rasulullah s.a.w wafat, Malaikat Maut telah datang dan mengetuk pintu rumah Rasulullah s.a.w. Saat itu Fatimah r.anha tidak mahu membukakan pintu tersebut, tetapi Rasulullah s.a.w yang tahu kedatangan Malaikat Maut mahu Fatimah r.anha membukakan pintu untuk Malaikat Maut.
         Setelah itu berlaku dialog antara Malaikat Jibril a.s dan Rasulullah s.a.w, dan seterusnya sebelum menghembuskan nafas terakhir, baginda s.a.w sempat mengkhabarkan agar Ali bin Abi Thalib dan Abdullah bin Abbas menguruskan jenazahnya.
         Saya melihat kisah ini tersebar melalui satu video Youtube, dengan tontonan sehingga 60 000! Ini adalah suatu yang membimbangkan. Malah saya pernah mendengar kisah ini disampaikan dalam satu majlis yang ramai penontonnya. Sedangkan berdasarkan semakan, kisah itu sebenarnya adalah dusta menurut ulama hadis seperti Ibnul Jauzi r.h.
Malah ia bercanggah dengan hadis riwayat al-Bukhari tentang saat wafatnya Rasulullah s.a.w, yang sedikit pun tidak menyebutkan perkara ini.

5.   Dalam ebook ‘72 Hadis dan Kisah Popular di Internet’ turut disenaraikan hadis yang dhaif (lemah), dan bukannya palsu. Adakah anda menolak dhaif secara mutlak?
Soalan yang menarik. Suka citanya saya menjelaskan saya tidak menolak hadis dhaif secara mutlak. Saya tiada masalah untuk seseorang menggunakan hadis dhaif. Cuma, sebaik-baiknya seseorang itu mengutamakan hadis yang shahih. Sekiranya hendak menggunakan hadis yang dhaif juga, pastikan mematuhi syaratnya yang ditetapkan oleh ulama hadis. Sayangnya terdapat daripada penuntut ilmu, malah yang bergelar ‘orang agama’ pada hari ini telah menggunakan hadis dhaif, lalu melanggar syarat-syarat tersebut. Itu adalah perbuatan terlarang.
Tiada masalah menggunakan hadis dhaif, tetapi patuhilah syarat menggunakannya.

6.   Apakah harapan anda dengan terbitnya ebook ini? Dan apakah pesanan anda kepada para pembaca?
Saya harap terbitnya ebook ini akan memberikan manfaat dan memberikan sumbangan dan mengurangkan dan membanteras hadis dan kisah bermasalah yang tersebar melalui internet, dan seterusnya menyuntik kesedaran. Diharapkan juga kepada pembaca agar berhati-hati dalam berinteraksi dengan hadis-hadis yang disebarkan terutama melalui internet, terutamanya Facebook, Blog dan Forum. Sebelum menyebarkan sesuatu hadis atau kisah agama, sebaik-baiknya hendaklah diketahui terlebih dahulu apakah darjatnya. Apakah ia shahih, hasan, dhaif atau mawdhu’ (palsu)?
Sekiranya tidak mengetahui, maka bertanyalah kepada mereka-mereka yang dipercayai teliti dalam menyampaikan agama ini. Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian di Malaysia, ilmu hadis kelihatan sedang mengalami perkembangan berbanding masa dahulu.
 


KLIK:
EBOOK '72 HADIS DAN KISAH POPULAR DI INTERNET'.




Rabu, 5 Jun 2013

BUKU SECOND HAND UNTUK DIJUAL.






1.    Bukan Susah Nak Faham karya Zahiruddin Zabidi. (9/10) – RM 18.
2.    Proses Kreatif Satu Pengalaman Rohani karya Abdullah Hussain. (8/10) – RM 22.
3.    Tesaurus Bahasa Melayu karya Ainon Mohd. dan Abdullah Hassan. (9/10) – RM 25
4.    Tasauf Menurut Ibnu Taimiyah karya Dr. Thiblawy Mahmoud Saad. (9/10) – RM 13.
5.    Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama karya Mohd Solleh Abd. Razak. (9/10) – RM 26.
6.    Panduan Menulis Novel: Teknik Surah Yusuf karya Ainon Mohd. (9/10) – RM 21.
7.    Sibuk ataupun Penyibuk? Karya Ahmad Fadzli Yusof. (9/10) – RM19.
8.    Rich Dad Poor Dad (Edisi BM) karya Robert T. Kiyosaki. (9/10) – RM 20.
9.    Minda Jutawan Gaya Trump karya Nazri Kadir dan Shah Kadir. (9/10) – RM 14.
10. Hidup Tenang Walaupun Berhutang karya Shamsuddin Kadir. (9/10) – RM 19.
11. Why We Want You To Be Rich (Edisi BM) karya Donald J. Trump dan Robert T. Kiyosaki. (9/10) – RM 28.
12. Secret of Millionaire Investor (Edisi BI) karya Adam Khoo dan Conrad Alvin Lim. (7/10) – RM 40.
13.  The Leader In You (Edisi BI) karya Dale Carnegie. (8/10) – RM 25.
14. Midas Touch (Edisi BI) karya Donald J. Trump dan Robert T. Kiyosaki. (8/10) – RM  25.
15. Di Dalam Lembah Kehidupan karya HAMKA. (9/10) – RM 15.
16. Aku Tak Nak Miskin karya Chef Li. (9/10) – RM 13.
17. Orang Kaya Bertaqwa karya Chef Li. (9/10) – RM 15.
18. Neuro Linguistic Programming, Business Secrets (Edisi BI) karya Carolyn Boyes. (9/10) – RM 24.
19. Matahari Mengelilingi Bumi Bantahan Terhadap Barat Kafir. (9/1) – RM 6.
20. Nian Hati Salsabila karya Zahiruddin Zabidi. (9/10) – RM 16.
21. Ma Yan karya Sanie B. Kuncoro. (9/10) – RM 14.
22. Mutiara Kata Sasterawan Negara karya Halilah Hj. Khalid. (9/10) – RM 14.
23. Oh Sudah! Ayah Saya Hero karya Imran Yusof. (9/10) – RM 14.
24. Bustanul ‘Arifin, (Penterjemah: Ahmad Fahmi Zamzam) karya Imam an-Nawawi. (9/10) – RM 14.
25. Tip & Motivasi Penulisan Genre Cerpen karya Othman Puteh. (8/10) – RM 9.
26. Syarah Riyadhus Shalihin, jilid 1, karya Syaikh Muhammad Shaleh al-Utsaimin – terbitan Jahabersa. (9/10) – RM 16.
27. Syarah Riyadhus Shalihin, jilid 2, karya Syaikh Muhammad Shaleh al-Utsaimin – terbitan Jahabersa. (8/10) – RM 12. (Belum lengkap).
28. Seteguh Tekad karya Prof. Dr. Sidek Baba. (9/10) – RM 13.
29. Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen karya Mawar Safei dan Nisah Hj. Haron. (8/10) – RM 19.


KOS PENGHANTARAN ADALAH PERCUMA KESELURUH MALAYSIA. PENGHANTARAN MELALUI POS EKSPRES.

Kesemua buku berada dalam kondisi yang baik. Malah ada yang tidak pernah dibaca, sekadar dibelek-belek sahaja. Seakan baru dibeli. Gred kondisi tertelak dalam kurangan di atas.

Pembayaran melalui Bank Islam, CIMB Bank dan Maybank.

Selepas pembayaran sila kirimkan: Nama, buku yang ditempah, alamat, no. tel, dan bukti pembayaran.

Selepas barang dipos, anda akan diberikan tracking number.

Untuk tempahan & pertanyaan, sila PM Facebook Suhili Nain.

NOTA: Anda boleh cari reviu di internet kalau kurang jelas tentang buku-buku yang ada di atas.

Selasa, 2 April 2013

SEBELUM BERJAYA.



Oleh: Suhili bin Nain, Kota Kinabalu.



Membaca dan menelusuri perjalanan hidup orang-orang yang telah berjaya cukup mengkagumkan. Apa yang mereka lalui boleh memberikan kita inspirasi, semangat dan pengajaran dalam mencapai kejayaan dalam hidup kita.
Andai direnung sepintas lalu kehidupan mereka yang berjaya, terdapat satu kualiti yang hebat ada pada diri mereka. Mereka mempunyai kesanggupan untuk berusaha lebih daripada yang lain, dan melakukan banyak pengorbanan. Mereka telah mengorbankan masa mereka, harta, perasaan dan pelbagai perkara yang mereka miliki, semata-mata mahu mencapai kejayaan yang mereka kehendaki.
Contohnya, seorang doktor pakar yang berjaya. Disebalik kejayaan tersebut, dan sebelum beliau mencapai kejayaan tersebut banyak pengorbanan yang telah beliau lakukan. Beliau telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk belajar dan menuntut ilmu. Di saat orang lain sedang bersenang-lenang menonton TV, berpesta dan melakukan perkara sia-sia yang bersesuai dengan hawa nafsu, beliau sibuk belajar meneliti kajian dan buku-buku ilmu.
Bukan itu sahaja, beliau telah mengambil risiko dengan membuat pinjaman kewangan yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit untuk membiayai pengajiannya. Sedangkan dalam masa yang lain, ada orang meminjam wang untuk menggunakannya ke jalan yang tidak memberikan kejayaan buat masa depan.
Di sisi lain, kejayaan para insan yang dijanjikan Syurga daripada sahabat Rasulullah s.a.w juga tidak wajar kita lupakan. Dalam mendapat janji tersebut mereka telah melalui pelbagai perit perjuangan dan pengorbanan. Mereka telah menginfakkan harta mereka di jalan Allah, menggunakan waktu untuk beribadah dan menegakkan agama Allah, berkorban nyawa sehingga gugur dalam peperangan membela agama Allah. Sedangkan, saat mereka berjuang di sana ada insan lain yang bersenang-lenang dan mengikut hawa nafsu yang ingkar kepada Allah.
Begitulah orang yang mahu kejayaan, perlu ada pengorbanan dalam perjuangan. Mengorbankan harta, masa, perasaan, malah nyawa agar berjaya mengecapi kejayaan.
Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu.
No pain, no gain.
Adakah kita sanggup berkorban masa, perasaan, harta dan nyawa untuk mencapai kejayaan yang kita impikan?