Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Sabtu, 15 September 2012

ISHAQ BIN IBRAHIM, BEGINILAH AHLI SUNNAH BERIMAN DENGAN SIFAT ALLAH!


قَالَ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ إِنَّمَا يَكُونُ التَّشْبِيهُ إِذَا قَالَ يَدٌ كَيَدٍ أَوْ مِثْلُ يَدٍ أَوْ سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ فَإِذَا قَالَ سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ فَهَذَا التَّشْبِيهُ وَأَمَّا إِذَا قَالَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى يَدٌ وَسَمْعٌ وَبَصَرٌ وَلَا يَقُولُ كَيْفَ وَلَا يَقُولُ مِثْلُ سَمْعٍ وَلَا كَسَمْعٍ فَهَذَا لَا يَكُونُ تَشْبِيهًا وَهُوَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ ( لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ )
Ishaq bin Ibrahim berkata,
“Yang dinamakan dengan tasybih ialah jika dia mengatakan tangan Allah seperti tangan makhluk, pendengaran Allah seperti pendengaran makhluk dan jika terbukti dia mengatakannya maka itu merupakan tasybih, adapun jika dia mengatakan sebagaimana Allah berfirman, bahawa Allah memiliki tangan, pendengaran dan penglihatan tanpa menyatakan bagaimana hakikatnya serta tidak menyamakannya dengan sifat makhluk, maka hal ini tidak termasuk tasybih dan ini sesuai dengan firman Allah, "...tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat." [Surah asy Syura; 11] – (Sunan at-Tirmidzi, juz. 3, hal. 71, no. 598)

SIAPA ISHAQ BIN IBRAHIM?
Menurut al-Mubarakfuri, Ishaq bin Ibrahim adalah Ishaq bin Rahawaih. (Tuhfah al-Ahwadzi, 3/268)
         Nama penuh beliau adalah Ishaq bin Ibrahim bin Makhlad bin Ibrahim. Antara yang meriwayatkan daripad beliau adalah al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasaie, Ahmad bin Hanbal, al-Faryabi, Ahmad bin Sa’id ad-Darimi dan banyak lagi.
         Berkata an-Nasaie, “Ibnu Rahawaih adalah seorang imam ikutan, (dia) tsiqat ma’mun.”
         Ishaq bin Rawaih adalah antara ulama tabi’in terkemuka. Anda boleh membaca kisah menarik hidupnya dalam kitab Shuwaru Min Hayati at-Tabi’in karya Dr. Abd ar-Rahman Ra’fat Basya’.
         Ishaq bin Rahawaih wafat pada 237 Hijriah. (Mausu’ah Mawqif as-Salaf Fii al-Aqidah wa al-Manhaj wa at-Tarbiyyah, 3/448)

CARA AHLI SUNNAH BERIMAN DENGAN SIFAT ALLAH MENURUT ISHAQ BIN RAHAWAIH.
Dalam ucapan di atas Ishaq bin Rahawaih menjelaskan tentang cara beriman dengan sifat menurut Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah dan Salaf as-Soleh.
Para ulama Salaf menetapkan cara beriman dengan sifat Allah adalah menetapkan sifat-sifat-Nya yang telah thabit daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang shahih, dan pada masa yang sama tidak mempersoalkan hakikat sifat Allah itu dan tidak menyamakan sifat-sifat tersebut dengan sifat makhluk. Ini sepertimana firman Allah dan surah asy-Syura, ayat 11 di atas.
Pegangan Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah dalam memahami sifat Allah berbeza dengan kelompok Musyabbihah; golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk. Kelompok Musyabbihah menetapkan sifat Allah seperti yang termaktub dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, dan pada masa yang sama mereka menyamakan-Nya dengan makhluk. Mereka melanggar firman Allah dalam surah asy-Syura, ayat 11.
Pegangan Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah juga berbeza dengan kelompok Jahmiyyah dalam cara beriman dengan sifat Allah. Kelompok Jahmiyyah mentakwil sifat-sifat Allah yang termaktub dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Sebagai contoh, mereka mentakwil “tangan Allah” kepada “kekuasan”, dan pada masa yang sama mereka menafikan Allah itu mempunyai tangan, kerana beranggapan ianya menyamakan Allah dengan makhluk.
Menurut Ishaq bin Rahawaih pegangan kelompok Jahmiyyah itu adalah salah dan menyelisihi kebenaran. Ada pun kita, Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah, kita beriman dengan menetapkan dengan sifat Allah yang termaktub dalam al-Qur’an dan as-Sunnah yang shahih, pada masa yang sama tidak menyamakannya dengan makhluk.
Contoh, kita menetapkan Allah itu mempunyai tangan, kerana Allah telah mengkhabarkan kepada kita dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, dan pada masa yang sama kita yakin dengan sepenuh hati, tangan Allah itu adalah Maha Sempurna dan ianya tidak sama seperti tangan makhluk.
Wallahu a’lam.



Khamis, 13 September 2012

EMPAT PERKARA YANG DICIPTAKAN OLEH ALLAH DENGAN TANGAN-NYA.



حدثنا ابن المثني، قال: ثنا محمد بن جعفر، قال: ثنا شعبة، قال: أخبرني عبيد المكتب، قال: سمعت مجاهدا يحدّث عن ابن عمر، قال: خلق الله أربعة بيده: العرش، وعَدْن، والقلم، وآدم، ثم قال لكلّ شيء كن فكان.

Ibnu al-Mutsanni mengkhabarkan kepadaku, dia berkata; Muhammad bin Ja’far berkata kepadaku, dia berkata; Syu’bah berkata kepadaku, dia berkata; Ubaid al-Mukattib berkata kepadaku, dia berkata; aku mendengar Mujahid berkata daripada Ibnu Umar, dia berkata; Allah menciptakan empat perkara dengan tangan-Nya, al-Arsy, Syurga ‘Adn, al-Qalam, dan Adam, kemudian Dia berfirman kepada segala sesuatu; Jadi, maka jadilah! (Tafsir ath-Thabari, 12/239)
SEMAKAN:
Ibnu al-Mutsanni adalah Muhammad bin al-Mutsanni, beliau adalah tsiqat menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan adz-Dzahabi. Menurut Ibnu Hibban dalam ats-Tsiqat beliau tidak meriwayatkan sesuatu kecuali dengan kitabnya. (ats-Tsiqat, 9/111)
Muhammad bin al-Mutsanni bersambung sanadnya dengan Muhammad bin Ja’far. (Rijal al-Muslim, 2/209)
Muhammad bin Ja’far nama penuhnya adalah Muhammad bin Ja’far Ghundur al-Bashri. Menurut Abi Hatim, beliau adalah seorang yang shaduq, dia seorang yang sangat faham hadis Syu’bah. (al-Jarh wa at-Ta’dil, 7/211)
Syu’bah bin al-Hajjaj adalah seorang yang tsiqat, bahkan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam ilmu hadis. Bahkan, ada yang menggelarnya Amir al-Mu’minin Fii al-Hadis. Perawi kepada al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasaie dan Ibnu Majah.
Ubaid al-Mukattib adalah Ubaid bin Mahran al-Mukattib (131-140H.). Beliau adalah seorang yang tsiqat, dan sedikit hadisnya. (Thabaqat al-Kubra, 6/340)
Yahya bin Ma’in dan Abi Hatim menyatakan Ubaid al-Mukattib adalah seorang yang tsiqat. (al-Jarh wa at-Ta’dil, 6/2)
Menurut Ibnu Hibban dalam ats-Tsiqat, sanad antara beliau dan Mujahid adalah bersambung. (ats-Tsiqat, 7/156)
Mujahid dalam sanad di atas dimasukkan oleh Ibnu Hibban dalam kitabnya ats-Tsiqat. Salah seorang daripada perawi kitab Shahih al-Bukhari. (Rijal Shahih al-Bukhari, 2/371)
Sanad antara Mujahid dan Abdullah bin Umar adalah bersambung. (Tadzkirat al-Huffadz Wa Dzailuhu, 1/71; al-Maghani al-Akhyar, 5/16)
Hadis ini mawquf kepada Abdullah bin Umar, dan darjatnya adalah shahih. Wallahu a’lam.
Hadis ini juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dengan sanad:
حدثنا موسى بن إسماعيل ثنا عبد الواحد بن زياد ثنا عبيد بن مهران وهو المكتب ثنا مجاهد قال قال عبد الله بن عمر خلق الله أربعة أشياء بيده العرش والقلم وعدن وآدم ثم قال لسائر الخلق كن فكان

Musa bin Ismail berkata kepadaku; Abd al-Wahid bin Ziyad berkata kepadaku; Ubaid bin Mahran, iaitu al-Mukattib berkata kepadaku; Mujahid berkata; Abdullah bin Umar berkata; Allah menciptakan empat perkara dengan tangannya, iaitu al-Arsy, al-Qalam, Syurga ‘Adn, dan Adam, kemudian dia berfirman kepada sekalian makhluk; Jadi, maka jadilah!
Musa bin Ismail adalah seorang yang tsiqat. Ibnu Hibban menyenaraikan namanya dalam kitab beliau ats-Tsiqat. (ats-Tsiqat, 9/160, no. 15770)
Beliau dan Abd al-Wahid bin Ziyad adalah perawi kitab Shahih al-Bukhari. (Rijal Shahih al-Bukhari, 2/699; 2/482)
Perawi seterusnya adalah seperti yang disebutkan di atas. Hadis ini juga diriwayatkan dalam al-Mustadrak karya al-Hakim, yang melalui jalur lain yang turut bertemu pada Ubaid bin Mahran. Ianya dishahihkan oleh adz-Dzahabi.
MANFAAT HADIS INI:
Kelompok ahli takwil, biasa mentakwilkan “tangan” Allah dengan “kuasa”. Dan takwilan itu adalah terbatal melalui hadis di atas.
Ini kerana, apabila ditakwil “tangan” kepada “kuasa”, maka ucapan Abdullah bin Umar di atas ini akan menjadi, seolah-olah Allah hanya menciptakan 4 perkara tersebut dengan kekuasaan-Nya, dan yang lainnya tidak diciptakan dengan kekuasaan Allah. Sungguhnya itu adalah pernyataan yang BATIL!
Maka jelas kepada kita, Allah itu mempunyai tanganya, namun tangan Allah Maha Sempurna, tanpa kekurangan, dan tidak menyerupai makhluk sedikit pun. Wallahu a’lam.



Selasa, 11 September 2012

RIWAYAT DHAIF JIDDAN: KAUM ANSHAR MEMBACA AL-QUR’AN DI PERKUBURAN.



روى أبو بكر بن الخلال في (القراءة عند القبور) قال :أخبرني أبو يحيى الناقد ،  قال : حدثنا سفيان بن وكيع ، قال : حدثنا حفص ، عن مجالد ، عن الشعبي ،  قال :
« كانت الأنصار إذا مات لهم الميت اختلفوا إلى قبره يقرءون عنده القرآن
»



Diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Khallal dalam kitab al-Qira’at Inda al-Qubur, dia berkata; Abu Yahya an-Naqid mengkhabarkan kepadaku; Sufyan bin Waqi’ berkata kepadaku; Hafs berkata kepadaku; daripada Mujalid, daripada asy-Sya'bi, dia berkata, "Adalah orang-orang Anshar apabila mati seseorang daripada mereka, berulang-aliklah mereka ke kubur si mati tadi untuk membaca al-Quran baginya.”
Sanad riwayat ini tidak shahih. Pada sanadnya terdapat dua perawi yang dhaif dan dikritik para ulama.
1. Mujalid bin Said.
Adz-Dzahabi menukilkan pendapat para ahli al-Jarh wa at-Ta’dil berkenaan beliau. Menurut Yahya bin Ma’in dan selainnya, dia tidak dijadikan hujah. Manakala an-Nasaie pula berkata, “Laisa bi al-qawiy.” Mujalid bin Said didhaifkan oleh ad-Daraquthni. (Mizan al-I’tidal, 3/438)
Berkata Ibnu Hibban, “Dia adalah seorang yang buruk hafalannya, dia membolak-balikkan sanad-sanad, dan memarfu’kan yang riwayat-riwayat mursal. Tidak harus berhujah dengannya.” (al-Majruuhiin, 3/10)
2. Sufyan bin Waqi’.
Abu Zur’ah mengakui bahawa Sufyan bin Waqi’ tertuduh sebagai seorang pendusta. (al-Jarh wa at-Ta’dil, 4/231)
Ibnu al-Jauzi menyenaraikan nama beliau dalam kitab adh-Dhu’afa wa al-Matrukin miliknya yang menghimpunkan perawi-perawi yang dhaif. Sufyan bin Waqi’ turut tersenarai dalam kitab adh-Dhu’afa wa al-Matrukin karya an-Nasaie.
Berkata adz-Dzahabi, “Dhaif.” (al-Mughni Fii adh-Dhu’afa, 1/269)
Riwayat ini selalu dijadikan hujah untuk menyatakan membaca al-Qur’an di kuburan, namun begitu ternyata riwayat ini adalah dhaif, malah ianya berdarjat dhaif jiddan (amat lemah) kerana terdapat perawi yang dituduh sebagai pendusta. Wallahu a’lam.