Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.
Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan

Ahad, 9 Jun 2013

SOAL JAWAB: PROSES PENULISAN ‘72 HADIS DAN KISAH POPULAR DI INTERNET’.






1.   Bilakah anda memulakan penulisan ebook ‘72 Hadis dan Kisah Popular di Internet’, dan berapa lama anda menyiapkannya?

Penulisan ebook ini, bermula semenjak tahun lepas lagi. Kalau tidak silap pada bulan Okober. Asalnya tiada niat untuk menulis buku. Sekadar suka-suka untuk mengumpul hadis dan kisah yang bermasalah di internet, lalu timbul idea untuk mengumpulkannya.
Saya mengambil masa lebih 7 bulan untuk menyiapkan penulisan ini, kerana saya menulis mengikut mood, disamping kekangan masa yang kadang-kadang sibuk. Malah buku ini pernah melalui beberapa perubahan, sehingga hasil yang kita boleh lihat pada hari ini.

2.   Bagaimana boleh tercetus idea untuk menulis ebook ini?
Idea ini tercetus saat saya membaca buku  40 Hadis Palsu Popular karya Abdul Razak Mutalib. Saya yakin, hadis bermasalah yang popular bukan itu sahaja. Malah lebih banyak lagi. Dengan izin Allah, saat itu saya melihat banyak hadis dan kisah yang aneh dan bermasalah tersebar melalui facebook, blog dan forum. Lantaran itu, tercetuslah idea untuk mengumpulkan hadis dan kisah popular yang tersebar melalui internet, yang mana ia adalah hadis dan kisah yang bermasalah.

3.   Apakah syarat untuk sesebuah hadis itu tersenarai dalam ebook ini?
Setiap hadis ditapis. Sebelum memasukkan hadis ke dalam buku ini, saya akan melakukan carian terlebih dahulu melalui internet untuk melihat sejauh mana popularnya hadis atau kisah bermasalah tersebut. Sedaya upaya saya hanya memasukkan hadis dan kisah yang tersebar dengan banyak mencecah ribuan dan mungkin mencecah puluh ribu, dan ada antaranya yang sering didengar dalam ceramah dan dibaca dalam buku yang kurang teliti.
Selain itu, saya juga berusaha membaca dan meneliti beberapa buah buku membongkar hadis lemah dan palsu yang ada dipasaran buku tempatan. Dan saya berusaha agar hadis yang dimuatkan dalam buku ini tidak mengulangi kebanyakan hadis yang telah disebutkan dalam buku-buku tersebut., seperti buku 40 Hadis Palsu Popular karya Abdul Razak Mutalib, dan Kisah Para Nabi dan Rasul yang Tidak Boleh dijadikan Hujah karya Dr. Basri Ibrahim al-Azhari.
Saya katakan, kalau anda sudah membaca dan memiliki buku  40 Hadis Palsu Popular karya Abdul Razak Mutalib, maka amat wajar untuk anda miliki buku ini. Kerana sepanjang saya menghasilkan ebook ini, saya memastikan isi kandungan buku ini tidak mengulang semula kandungan buku tersebut. Boleh dikatakan, buku ini sebagai ‘pelengkap’.

4.   Boleh berikan satu contoh hadis atau kisah popular di internet yang bermasalah?
Boleh. Satu hadis atau kisah bermasalah yang paling popular adalah kisah kewafatan Rasulullah s.a.w. Ia menceritakan bahawa sebelum Rasulullah s.a.w wafat, Malaikat Maut telah datang dan mengetuk pintu rumah Rasulullah s.a.w. Saat itu Fatimah r.anha tidak mahu membukakan pintu tersebut, tetapi Rasulullah s.a.w yang tahu kedatangan Malaikat Maut mahu Fatimah r.anha membukakan pintu untuk Malaikat Maut.
         Setelah itu berlaku dialog antara Malaikat Jibril a.s dan Rasulullah s.a.w, dan seterusnya sebelum menghembuskan nafas terakhir, baginda s.a.w sempat mengkhabarkan agar Ali bin Abi Thalib dan Abdullah bin Abbas menguruskan jenazahnya.
         Saya melihat kisah ini tersebar melalui satu video Youtube, dengan tontonan sehingga 60 000! Ini adalah suatu yang membimbangkan. Malah saya pernah mendengar kisah ini disampaikan dalam satu majlis yang ramai penontonnya. Sedangkan berdasarkan semakan, kisah itu sebenarnya adalah dusta menurut ulama hadis seperti Ibnul Jauzi r.h.
Malah ia bercanggah dengan hadis riwayat al-Bukhari tentang saat wafatnya Rasulullah s.a.w, yang sedikit pun tidak menyebutkan perkara ini.

5.   Dalam ebook ‘72 Hadis dan Kisah Popular di Internet’ turut disenaraikan hadis yang dhaif (lemah), dan bukannya palsu. Adakah anda menolak dhaif secara mutlak?
Soalan yang menarik. Suka citanya saya menjelaskan saya tidak menolak hadis dhaif secara mutlak. Saya tiada masalah untuk seseorang menggunakan hadis dhaif. Cuma, sebaik-baiknya seseorang itu mengutamakan hadis yang shahih. Sekiranya hendak menggunakan hadis yang dhaif juga, pastikan mematuhi syaratnya yang ditetapkan oleh ulama hadis. Sayangnya terdapat daripada penuntut ilmu, malah yang bergelar ‘orang agama’ pada hari ini telah menggunakan hadis dhaif, lalu melanggar syarat-syarat tersebut. Itu adalah perbuatan terlarang.
Tiada masalah menggunakan hadis dhaif, tetapi patuhilah syarat menggunakannya.

6.   Apakah harapan anda dengan terbitnya ebook ini? Dan apakah pesanan anda kepada para pembaca?
Saya harap terbitnya ebook ini akan memberikan manfaat dan memberikan sumbangan dan mengurangkan dan membanteras hadis dan kisah bermasalah yang tersebar melalui internet, dan seterusnya menyuntik kesedaran. Diharapkan juga kepada pembaca agar berhati-hati dalam berinteraksi dengan hadis-hadis yang disebarkan terutama melalui internet, terutamanya Facebook, Blog dan Forum. Sebelum menyebarkan sesuatu hadis atau kisah agama, sebaik-baiknya hendaklah diketahui terlebih dahulu apakah darjatnya. Apakah ia shahih, hasan, dhaif atau mawdhu’ (palsu)?
Sekiranya tidak mengetahui, maka bertanyalah kepada mereka-mereka yang dipercayai teliti dalam menyampaikan agama ini. Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian di Malaysia, ilmu hadis kelihatan sedang mengalami perkembangan berbanding masa dahulu.
 


KLIK:
EBOOK '72 HADIS DAN KISAH POPULAR DI INTERNET'.




Isnin, 11 Jun 2012

DUA NIKMAT YANG DILUPAKAN.


Oleh: Suhili bin Nain.

Hari ini saya kembali ke sekolah, selepas bercuti selama 2 minggu. Kertas soalan murid-murid yang masih belum habis disemak bertingkat-tingkat di atas meja, sedangkan hari untuk ibubapa mengambil rekod kecemerlangan anak-anak mereka sudah semakin hampir.
         Allah! Apa yang sudah saya lakukan selama 2 minggu lebih?
         Sebelum cuti saya membawa kesemua kertas soalan untuk disemak dirumah, akan tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Begitu banyak masa terhabis digunakan atas perkara-perkara yang tiada prioriti. Facebook, buku, menulis, blog, bandar.
       Syukurlah dikhabarkan ada seminggu lagi untuk menghabiskan semakan kertas soalan sebelum hari penyerahan rekod kecemerlangan murid-murid.
       Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
“Dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan daripada manusia; kesihatan dan kelapangan.” (Riwayat al-Bukhari)
Benarlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam di atas. Kita sebagai manusia sering kali terlalai dan terleka dengan dua nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita itu; kesihatan dan kelapangan.
         Apabila ada masa lapang, jarang digunakan sebaiknya untuk perkara yang berfaedah. Apabila digunakan kepada perkara yang berfaedah pula, terkadang kita mengesampingkan perkara yang perlu diutamakan. Dan mendahulukan perkara-perkara sampingan.
         Akhirnya, apabila masa lapang itu terluput barulah kita tersedar betapa pentingnya kelapangan yang Allah Ta’ala telah berikan kepada kita.
         Ketika masa sihat, kerja yang ada selalu ditunda-tunda. Berangan-angan nanti ataupun esok masih ada masa. Angan-angan yang akhirnya membinasakan kehidupan, dan begitu disukai pula oleh syaithan.
         Benarlah pesanan Abdullah ibn `Umar Radhiallahu ‘anh yang diriwayatkan dalam Arbain an-Nawawiyyah. Apabila berada di pagi hari janganlah menanti sehingga waktu petang. Apabila di petang hari janganlah menanti esok pagi.

          Menunda-nunda amal kebaikan, dan perkara-perkara yang perlu dijadikan keutamaan, di akhirnya akan mengundang kecundang.

Ahad, 10 Jun 2012

MENULIS IMPIAN.


Oleh: Suhili bin Nain.

UNTUK APA MENULIS?
“Apa gunanya menulis buku, dan artikel agama? Sudah begitu banyak artikel agama di internet, dan sudah begitu berlambak-lambak buku agama yang berada dipasaran berkisarkan tajuk yang hampir sama. Untuk apa lagi menulis buku dan artikel lagi? Sepatutnya kita tumpukan pada penyampaian apa yang terkandung dalam buku-buku tersebut, bukannya menambah buku dan penulisan yang ada.”
Kata-kata itu sering berlegar dalam fikiran saya beberapa minggu yang lepas, dan sejujurnya ia telah membuatkan semangat untuk saya menulis menurun ke bawah. Impian saya untuk menjadi penulis berjaya difikir-fikir semula.
Perkataan itu ada benarnya. Mungkin saya perlu tumpukan untuk mengajar saja, keluarkan ilmu yang tersimpan di dalam buku-buku dan menyampaikannya kepada orang di sekeliling saya.
Akan tetapi, apabila baru-baru ini saya berkunjung ke kedai buku di Wisma MUIS, dan melihat begitu banyak buku-buku baru yang tiba ada sesuatu yang membimbangkan saya.
Kebanyakan buku-buku baru yang tiba itu adalah buku yang mengandungi fakta-fakta yang kurang tepat, dan tidak kurang juga buku-buku mengandungi syubhat-syubhat yang bertentangan dengan manhaj Salafus Soleh. Antaranya ada yang dijual secara begitu meluas.
Dengan itu, saya meneguhkan keputusan untuk terus menulis. Menulis untuk berkongsi apa yang saya ketahui daripada ilmu yang berdasarkan kefahaman Salafus Soleh di atas disiplin ilmu yang shahih.
Sebagaimana gigihnya orang-orang yang menyelisihi manhaj Salafus Soleh untuk menulis, saya juga perlu kegigihan yang sama.
Selain itu, saya berharap apa yang saya tuliskan itu akan menjadi ilmu yang bermanfaat yang akan menjadi rantaian pahala yang tidak putus-putus apabila saya sudah meninggal dunia.
IMPIAN YANG MASIH JAUH.
Saya ingin terus menulis. Menulis sesuatu ataupun perkara yang memberikan manfaat kepada diri dan orang yang lain. Meskipun saat ini saya sudah menghasilkan sebuah buku yang berjudul “Pesanan Buat Diri”, saya masih merasakan impian untuk menjadi penulis berjaya itu masih begitu jauh untuk dikecapi.
Banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari dalam bidang penulisan. Memandangkan saya tidak pernah berpeluang mengikuti mana-mana kursus penulisan, maka usaha yang saya mampu lalukan saat ini hanya membeli buku-buku teknik penulisan, membaca dan cuba memahami teknik-teknik yang dipraktik oleh penulis-penulis yang berjaya.
Tidak cukup dengan memahami teknik dan kaedah penyampaian para penulis lain, adakalanya saya cuba untuk mencuba mengikut gaya penulisan mereka. Oleh itu, jika para pembaca memerhatikan artikel-artikel yang disiarkan dalam blog ini, pasti akan para pembaca sedari terdapat pelbagai gaya tulisan yang berbeza beza. Termasuk pada artikel yang anda sedang baca ini.
Sepanjang hari ini, masa lebih banyak saya habiskan di depan komputer untuk melayari sebuah laman web yang begitu terkenal di tanah air. Saya membaca, memerhati dan cuba memahami teknik penyampaian penulis yang membuatkan laman web beliau begitu diterima ramai.
Alhamdulillah, usaha yang lakukan beberapa ketika itu tidak sia-sia.
“Untuk menjadi seorang yang berjaya, kita perlu menurut jejak orang yang berjaya”
Demikian perkataan yang biasa kita dengar dan sering diajarkan semenjak di bangku sekolah rendah. Maka dengan itu saya cuba memerhatikan langkah-langkah orang yang berjaya yang berada di sekeliling, untuk memahami bagaimana mereka boleh mencapai apa yang mereka ada saat ini.
Satu kejayaan yang bermakna, tidak berlaku dengan sehari dua, tetapi ianya didirikan atas banyak usaha yang terus menerus, tidak mengenal erti putus asa.

Sabtu, 5 Mei 2012

AJARKANLAH KEPADAKU.


Oleh: Suhili bin Nain.

مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. ( رواه ابو داود :حسن صحيح )
"Barang siapa ditanya tentang ilmu, lalu dia menyembunyikannya, maka Allah akan memakaikan kepadanya kekang (belenggu) yang dibuat daripada api Neraka pada hari kiamat." (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, darjatnya hasan shahih)
*Kekang adalah tali yang diikat pada mulut kuda untuk mengendalikannya.

Artikel ini saya tujukan secara khusus buat insan-insan yang pandai membaca Al-Qur’an, dan secara umumnya semua insan-insan yang berilmu berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah di atas kefahaman Salafus Soleh.
          Saya menyatakan artikel ini ditujukan khusus buat insan-insan yang pandai membaca Al-Qur’an, ini kerana saya melihat terdapat ramai individu yang pandai membaca Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk menyampaikannya kepada orang lain, meskipun mereka berkemampuan.
Tidak pandai membaca Al-Qur’an adalah antara masalah paling kronik yang sedang melanda umat Islam di negara kita saat ini. Seseorang yang tidak pandai membaca Al-Qur’an ianya telah membuka peluang kepada seseorang itu untuk semakin jauh daripada ilmu agama yang lainnya, seterusnya amal ibadah yang dilaksanakan dalam Islam secara amnya.
         
KEWAJIPAN MENYEBARKAN KEBENARAN.
Kebenaran bukanlah milik individu atau peribadi, ianya perlu dikongsikan dengan semua manusia. Seseorang yang mengetahui kebenaran dan ilmu, adalah wajib atasnya untuk menyampaikan kebenaran yang dia ketahui kepada orang lain mengikut kemampuannya.
          Rasulullah s.a.w bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat." (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
          Berkata Imam An-Nawawi dalam kitabnya Bustanul ‘Ariffin:
“Sesiapa yang telah memiliki ilmu, maka hendaklah ia berusaha untuk menyebarkannya dan hendaklah ia mencari keredhaan Allah ta’ala di dalam penyebarannya itu, dan hendaklah ia menyebarkan ilmu tersebut supaya berpindah kepada orang lain.”
Perbuatan menyembunyikan ilmu dan kebenaran adalah amat tercela, dan merupakan perbuatan menghalang manusia daripada jalan Allah s.w.t. Orang yang melakukannya diancam oleh Rasulullah s.a.w dengan azab dipakaikan kekang atau belenggu yang dibuat daripada api Neraka.

SIKAP MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN.
Sikap suka menyembunyikan kebenaran adalah antara sikap orang Yahudi dan Nasrani yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah memaklumkan kepada mereka ilmu tentang Nabi Muhammad s.a.w yang bakal diutus-Nya, sehingga mereka boleh mengenalnya seperti anak-anak mereka sendiri. Namun, sayangnya orang-orang Yahudi dan Nasrani telah menyembunyikan kebenaran perkara ini, malah berpura-pura tidak mengetahuinya. Firman Allah s.w.t:
الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” (Al-Baqarah: 146)

LAKNAT ATAS ORANG YANG MENYEMBUNYIKAN ILMU.
Orang yang menyembunyikan ilmu dan kebenaran, maka dia akan mendapat laknat daripada Allah s.w.t, kerana termasuk dalam menghalangi manusia daripada kebenaran. Firman Allah s.w.t:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاعِنُونَ (١٥٩) إِلا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (١٦٠)
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan dari keterangan dan petunjuk setelah Kami terangkan kepada manusia dalam Al-Kitab mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, dan mereka dilaknat oleh para pelaknat. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan dan menjelaskan, maka mereka itulah yang Aku terima taubat mereka dan adalah Aku Maha Menerima Taubat dan Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 159-160)

SITUASI DI TEMPAT SAYA.
Di kampung saya ketika ini terdapat lebih daripada 15 orang individu yang pandai membaca Al-Qur’an, tetapi sayangnya yang mengadakan kelas untuk mengajarkan Al-Qur’an tidak sampai 5 orang. Sedangkan saat ini jumlah orang masih yang tidak pandai membaca Al-Qur’an adalah begitu ramai. Kebanyakan yang belajar membaca Al-Qur’an setelah pandai membaca hanya berdiam diri dan tidak menyampaikannya kepada orang lain.
Yang lebih menyedihkan terdapat juga ibubapa yang mahir membaca Al-Qur’an, tetapi sayangnya kemahiran itu tidak diajarkan kepada anak mereka. Malah mereka menghantar anak-anak mereka untuk diajar oleh orang lain atas alasan tidak ada masa. Mereka lebih senang meluangkan masa berjam-jam berbicara perkara dunia yang tidak berfaedah, menonton televisyen dan sebagainya berbanding meluangkan masa yang tidak sampai setengah jam sehari untuk mengajarkan membaca Al-Qur’an kepada anak mereka. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun...
          Saya yakin, situasi ini bukan sahaja berlaku di kampung saya, tetapi juga banyak berlaku di tempat-tempat lain di negara kita.

Wallahu ‘alam.



Sabtu, 7 April 2012

KOS BELAJAR: HUTANG PTPTN ATAU KUMPUL SENDIRI?

Oleh: Suhili bin Nain.

Sudah lama saya terfikir untuk melanjutkan pelajaran secara formal semenjak tamatnya pengajian di Pusat Latihan Dakwah (PLD) Keningau. 2012 ini sudah setahun lebih saya sudah tidak lagi menduduki pengajian secara formal, melainkan hanya belajar melalui pembacaan, perbincangan dengan rakan dan menghadiri majlis ilmu Ustaz Abdul Wahab Al-Bustami. Itu pun dalam keadaan jarang-jarang.
          Semenjak tahun 2011; selepas keluar daripada PLD Keningau saya masih terus mencari tempat untuk meneruskan pelajaran. Namun sehingga kini belum menemui tempat yang sesuai untuk merantau. Rata-ratanya tempat pengajian meletakkan syarat yang tidak saya miliki, sekiranya ada pun peluang untuk terpilih tidaklah semudah yang disangkakan.
          Baru-baru ini saya selalu melihat rakan-rakan di laman ‘Muka Buku’ ada mengirim tentang isu PTPTN berkaitan politik negara. Ada rancangan ianya agar dimansuhkan sekira pembangkang menjadi peneraju negara pada masa hadapan. Sejauh mana keshahihan khabar itu, saya kurang pasti. Sejauh mana rancangan itu akan dilaksanakan, saya juga kurang pasti. Saya bukanlah insan yang selalu menekuni dunia politik tanah air.
          Apa yang ingin saya katakan di sini bukanlah tentang isu politik negara. Tidak. Tetapi, apa yang sedang berlegar-legar dalam ruang fikiran saya adalah pinjaman PTPTN yang perlu dibayar sekiranya saya meneruskan pelajaran. Jumlahnya pasti bukan sedikit, tentunya mencecah puluhan ribu ringgit dan mustahil untuk dilangsaikan dalam masa yang begitu singkat. 
Ini membimbangkan saya; adakah saya mampu untuk membayar kesemua hutang di kemudian hari andai itu berlaku? Apakah saya hidup untuk membayar hutang PTPTN? Bagaimana sekiranya saya meninggal dunia sebelum sempat melangsaikan hutang PTPTN itu nanti? Apakah nasib saya di alam barzakh sana akibat daripada hutang yang tidak sedikit itu? Begitulah pertanyaan berdetik-detik dalam fikiran saya. Apatah lagi saya ini jenis orang yang tidak suka berhutang.
          Mujurlah ketika belajar di PLD Kudat dan PLD Keningau dahulu, kami hanya dikenakan yuran pada awal semester sahaja. Kemudian, segala perbelanjaan pembelajaran, asrama dan makanan ditanggung oleh pihak JAKIM. Terima kasih kepada JAKIM. Alhamdulillah.
          Sekarang saya terfikir; adakah wajar untuk saya meneruskan pelajaran lalu membuat pinjaman dengan PTPTN, lalu membayarnya dikemudian hari? Ataupun, sebaiknya saya kumpul duit terlebih. Mungkin RM 15 ribu dan ke atas, kira-kira cukup untuk membiayai pengajian, kemudian barulah menyambung semuala pengajian? Dua perkara itu berlegar-legar dalam fikiran saya. Manakah yang terbaik antara keduanya?
          Setakat ini saya tiada jawapan yang pasti. Sengaja saya kongsikan di sini apa yang saya fikirkan ini, kerana saya fikir diluar sana pun ada juga yang sedang memikirkan perkara yang sama seperti saya. Oleh itu, penulisan ini bukanlah untuk memberikan jawapan, tetapi sekadar perkongsian perkara untuk direnungkan sama-sama buat kita yang mahu meneruskan pelajaran.
          Akhir kata daripada saya, apabila saya membaca kisah para Salafus Soleh saat mereka menuntut ilmu. Saya terfikir, seandainya para Salafus Soleh hidup di zaman ini, agak-agak dengan gambaran sikap warak dan sikap hati-hati mereka, sanggupkah mereka melakukan pinjaman dengan PTPTN berpuluh ribu ringgit untuk pembelajaran?
          Apa pun, saya akan terus berusaha, dan Allah s.w.t yang menentukan hasilnya. Tidak ada yang saya lakukan melainkan tertakluk dalam kehendak dan ketetapan daripada Allah s.w.t.


P/S: Alangkah beruntungnya sahabat dan rakan-rakan yang mendapat tawaran belajar di Madinah & Makkah Al-Mukarramah, tidak perlu memikirkan kos pengajian, kerana semuanya dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi.