Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.
Memaparkan catatan dengan label Akhlak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhlak. Papar semua catatan

Jumaat, 29 Mac 2013

DUA PUNCA UTAMA BERLAKU MAKSIAT.



Oleh: Suhili bin Nain.



        1.   KEJAHILAN.
Tiada ilmu untuk membezakan baik dan betul, salah dan benar, syirik dan tauhid, sunnah dan bid'ah, taat dan maksiat.
Tanpa ilmu, akhirnya seseorang itu melakukan bid'ah, yang dia sangka adalah sunnah. Tanpa ilmu, akhirnya seseorang melakukan syiriik, yang dia sangka adalah tauhid.

        2.   KELALAIAN.
Ada ilmu, namun tidak beramal dengannya. Mampu membezakan sunnah dan bid'ah, tetapi tidak melaksanakan sunnah. Mampu membezakan taat dan maksiat, tetapi jauh daripada taat, terjebak dalam maksiat.
Hatinya lemah dan lalai daripada mengingati Allah, lalai daripada mengingati dua malaikat yang mencatat segala perbuatannya, lalai daripada ingat seksaan azab kubur dan neraka yang menyala-nyala.
Penawar bagi keduanya adalah menuntut ilmu yang benar dan banyak mengingati Allah dan akhirat, melalui hati, lisan dan perbuatan.

Selasa, 6 Mac 2012

SALAH FAHAM TERHADAP HADIS ZIKIR "SUBHANALLAHI WA BIHAMDIHI".

Oleh: Suhili bin Nain.

Terjemahan Jami' Al-Ulum Wa Al-Hikam, 4 jilid kesemuanya, terbitan Pustaka Salam.

مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
“Barang siapa mengucap “Subhanallahi wa bihamdihi” (Ertinya: Maha suci Allah dan pujian bagi-Nya) dalam harinya seratus kali, digugurkan dosa-dosanya, sekalipun ia seumpama buih dilautan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5926)
 

KEFAHAMAN SEPINTAS LALU.
Sekiranya kita membaca hadis di atas secara sepintas lalu, sudah tentu kita akan berpendapat bahawa dosa yang digugurkan di dalam hadis di atas adalah meliputi segala bentuk dosa, sama ada dosa kecil atau pun dosa besar, meskipun ianya sebanyak buih dilautan.
Namun sudah benarkah kefahaman kita berkenaan hadis di atas?
Hakikatnya, apabila kita telusuri perbincangan para ulama berkenaan hadis-hadis yang menyatakan amalan-amalan yang penghapus dosa, seperti mana hadis di atas, hadis-hadis tersebut bukanlah seperti mana yang kita fahami secara sepintas lalu di atas.

PENJELASAN ULAMA.
Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali menyatakan sebuah pendapat dalam kitabnya, Jami’ Al-Ulum Wa Al-Hikam, yang dinukil daripada Imam Ibnu Abdil Bar dalam At-Tamhid, bahawa dosa yang terhapus melalui amalan-amalan soleh (seperti zikir, solat, puasa dan sebagainya- pen) hanyalah merujuk kepada dosa kecil. Ada pun bagi dosa-dosa besar, ianya tidak terampun melainkan dengan melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Pendapat ini disandarkan kepada ‘Atha dan ulama Salaf yang lain. Begitu juga dengan Salman Al-Farisi.
         Imam Ibnu Abdil Bar berhujahkan beberapa buah hadis, antaranya:
“Sembahyang lima waktu, solat jumaat hingga solat jumaat dan puasa ramadhan hingga puasa ramadhan (yang berikutnya – pen) merupakan penghapus kepada dosa-dosa yang dilakukan antaranya, selagi dosa-dosa besar dijauhi.” (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763)
Ibnu Atiyyah dalam kitab tafsirnya membawa dua pendapat ulama dalam tentang maksud hadis (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763) ini.
Pertama:  Dosa besar menjadi syarat dihapuskan dosa kecil dengan amalan fardhu. Jika dosa besar tidak dijauhi, amalan fardhu sama sekali tidak menghapuskan mana-mana dosa.
Kedua: Amalan fardhu menghapuskan dosa-dosa kecil secara mutlak dan tidak menghapuskan dosa-dosa besar jka ada. Tetapi dengan syarat dosa kecil tidak dilakukan secara berterusan.
Ibnu Atiyyah memilih tafsiran yang kedua sebagai pendapat yang lebih tepat.

AKIBAT TERSALAH FAHAM. 
Sesetengah orang apabila membaca hadis di atas, mereka memahami hadis tersebut sekadar itu sahaja. Akibatnya mereka tersalah faham tentang dosa yang dihapuskan dalam hadis di atas. Lalu akibat berikutnya, mereka pun tanpa rasa bimbang meninggalkan perintah solat lima waktu dan berpuasa, malah melakukan dosa-dosa yang keji seperti zina, bunuh orang, minum arak, dan sebagainya. Ini kerana, mereka beranggapan cukup dengan hanya sekadar mengucapkan zikir di atas sebanyak seratus kali, mereka sudah pun dapat membersihkan diri mereka daripada dosa dan selamat di akhirat.

KESIMPULAN.
Maksud dosa yang diampunkan dalam hadis di atas dan hadis yang seumpamanya, hanya merujuk kepada dosa kecil. Mengucapkan kalimah zikir seperti hadis di atas tidak memadai bagi menghapuskan semua dosa yang kita lakukan. Ada pun bagi dosa besar, maka ianya memerlukan kita untuk melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Wallahu ‘alam.

RUJUKAN:

  • Shahih Al-Bukhari, Maktabah Syamelah.
  • Shahih Muslim, Maktabah Syamelah.
  • Sahih Ibnu Hibban, Maktabah Syamelah.
  • Terjemahan Jami’ Al-Ulum Wa Al-Hikam, terbitan Pustaka Salam.

Ahad, 26 Februari 2012

PANASKAN ENJIN.

Oleh: Suhili bin Nain.


PROGRAM HARI INI.

Hari ini saya menghadiri sebuah konvensyen yang menghimpunkan para ustaz dan ustazah yang mengajarkan pendidikan Islam di peringkat pengajian rendah yang datang daripada pelbagai sekolah. Program yang diadakan di peringkat negeri ini dikhabarkan mendapat sambutan peserta lebih tujuh ratus orang kesemuanya, jauh daripada jumlah yang dijangka hadir oleh penganjur.
          Daripada awal apabila saya melihat perjalanan majlis ini yang kelihatannya gah kerana kehadiran orang-orang kenamaan dan tokoh dalam pendidikan, saya sematkan harapan di dalam hati yang konvensyen ini akan memberikan saya sebuah input baru dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang guru agama.
          Dalam program ini terdapat tiga buah kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari pertama, manakala esoknya pula dua buah lagi kertas kerja akan dibentangkan kepada para peserta.

BUDAYA ‘MEMANASKAN ENJIN’ DI KALANGAN PENCERAMAH?
Lebih kurang jam lapan pagi, pembentangan kertas kerja pertama pun dimulakan oleh seorang tokoh yang dijemput khas daripada seberang. Meskipun dengan ucapan yang perlahan dan bersahaja, daripada kata-katanya terkandung butir hikmah yang dapat dijadikan renungan.
Meskipun pada awal pembentangan beliau, saya berasa tidak bersemangat dan mengantuk, tetapi saat-saat akhir pembentangan beliau, saya berasa segar semula, kerana isu yang dikatakannya menarik minat saya. Alhamdulillah, ucapan beliau ada saya rakamkan untuk didengar kemudian hari.
          Namun begitu, apabila tiba giliran pembentang kedua harapan saya mendapat input ilmu mulai luntur perlahan-lahan.
Pembentang kertas kerja kedua berkata bahawa biasanya pada awal ceramah, beliau tidak akan menjurus terus kepada topik pembentangan, sebaliknya beliau akan mengambil masa untuk ‘memanaskan enjin’ sebelum masuk kepada topik yang akan dibincangkan olehnya.
Beberapa ketika berlalu, tanda-tanda penceramah akan masuk topik perbahasannya secara serius seakan-akan tiada, melainkan disentuh sedikit sahaja. Lalu saya pun menghentikan rakaman suara dan kami yang hadir pun menunggulah pembentang kedua ‘memanaskan enjin’ dengan perkara-perkara yang boleh dikatakan melencong daripada tajuk pembentangan yang sebenarnya.
Akhirnya masa yang diperuntukkan untuk pembentang kedua berceramah habis digunakan untuk ‘memanaskan enjin’ saja, dan topik pembentangan tidak disentuh melainkan sedikit sahaja. Masa pembentangan yang diberikan kepada beliau selama 45 minit yang sepatutnya diisi dengan penyampaian ilmu yang bermanfaat, lebih dihabis dengan meriwayatkan hadis palsu dan menyampaikan kisah-kisah ganjil yang dicedok daripada kalangan sufi dengan gaya dan nada suara membuatkan para hadirin ketawa. Input ilmu yang saya harapkan ternyata hanya tinggal harapan semata-mata.
          Semenjak itu momentum dan semangat untuk saya mendengar pembentangan kertas kerja seterusnya turut menjadi pudar dan punah.

BERDISIPLIN DALAM BERCERAMAH.
Situasi yang saya ceritakan di atas bukanlah berlaku sekali saja. Sebelum ini juga, saya pernah mengikuti beberapa seminar yang pembentangnya bersikap sedemikian rupa. Semenjak bila budaya ‘memanaskan enjin’ menjadi amalan para penceramah, saya sendiri kurang pasti, kerana saya bukanlah orang yang kerap dipanggil ke sana dan ke mari untuk menyampaikan ceramah.
          Apa yang pasti, bagi saya budaya ‘memanaskan enjin’ ini adalah sesuatu kurang sihat untuk diamalkan, dan sebaik-baiknya ianya hendaklah ditinggalkan. Ini kerana, kebanyakan para penceramah itu dibayar setiap masa dan ucapannya, dan pastinya para penceramah itu dibayar bukanlah untuk mengucap sekadar yang suka-suka sahaja sehingga habis masa, tetapi mereka dibayar untuk menyampaikan topik yang sudah ditetapkan buat dirinya.
          Sepatutnya berceramah itu bicaranya adalah lebih terarah. Lebih-lebih lagi bagi seseorang yang di pandang tinggi keilmuannya, disiplinnya perlu ada. Bukannya berbicara sesuka hati dan sesedap rasa. Andai sudah berbicara setengah jam ke atas pun masih dalam bicara ‘memanaskan enjin’; melencong kepada perkara yang entah ke mana awal dan hujungnya, itu sudah tidak berdisiplin namanya.
Akhir sekali, sebelum saya mengakhiri penulisan kali ini yang nampaknya seperti sebuah luahan hati, suka untuk saya nyatakan, tulisan ini bukanlah dikhususkan kepada penceramah di atas sahaja, tetapi ianya umum sebagai peringatan buat kita yang bakal berceramah.
Dan saya juga bukanlah seorang yang menolak seratus peratus budaya ‘memanaskan enjin’ di kalangan penceramah, kerana mungkin saja perkara itu adalah kaedah penyampaian para penceramah yang tertentu dan tersendiri. Saya akui, adakalanya perkara itu tidak ada salahnya untuk menarik perhatian para penonton, tetapi biarlah ianya dilakukan secara berpada-pada. Jangan sampai tinggal beberapa minit saja masa yang diberikan untuk berceramah, barulah mahu disentuh apa yang tertulis di atas kertas kerja.

Wallahu ‘alam.
         

Jumaat, 24 Februari 2012

PEMBERIAN YANG DICINTAI.

Oleh: Suhili bin Nain.

 
BERAT YANG TERASA DI HATI.
Setiap kita ada sesuatu yang amat kita cintai daripada kebendaan yang kita miliki. Mungkin ia berupa sebuah jam, telefon, kereta ataupun ianya adalah sebuah buku. Bagi saya perkara yang paling saya cintai di antara barang-barang saya adalah buku-buku yang mengandungi ilmu yang bermanfaat dalam kehidupan.
          Satu kebiasaan bagi saya, apabila sesuatu buku itu amat saya sukai ataupun baru dibeli, lalu datang seseorang untuk meminjamnya, akan terasa berat di hati saya untuk meminjamkannya, kerana bimbang buku tersebut rosak ataupun tidak dijaga dengan elok oleh si peminjam. Ini bergantung dengan melihat kepada karakter orang yang hendak meminjam.
          Itu baru datang seseorang untuk meminjam, sekiranya datang untuk meminta, mungkinkah terasa lebih berat perasaannya?
          Saya percaya, situasi di atas bukan sahaja dialami oleh saya, tetapi anda yang membaca tulisan ini pasti pernah mengalami situasi yang sama. Perasaan berat untuk memberikan sesuatu yang kita cintai kepada orang lain, terasa sempit untuk melepaskan sesuatu yang kita sayangi dalam hidup ini.

PEMBERIAN YANG MENGGAPAI SYURGA.
Jam sudah menunjukkan hampir sepuluh setengah malam, saya dan rakan-rakan sekerja baru sahaja selesai menjamu selera jamuan yang dihidangkan selepas kuliah fardhu ‘ain mingguan SAR Al-Hidayah, pada setiap malam jumaat. Sejurus itu, saya dihantar pulang menaiki kereta oleh sahabat saya, ke Kampung Gentisan yang terletak di pinggir laut Teluk Sepanggar.
          Dalam kenderaan yang menyusur cermat di atas jalan raya, sambil berbual-bual bersama sahabat saya yang sedang memandu itu, fikiran saya menerawang sekali-sekala. Pelbagai perasaan dirasakan bercambah dalam hati; ada gembira, sedih dan juga tertanya-tanya tentang masa depan diri.
Saat diam beberapa ketika sepanjang perjalanan merentas malam yang semakin memekat, saya teringat sebuah hadis yang pernah saya baca, berkaitan sedekah dan keimanan. Namun yang lebih tepat, selepas membuat semakan dan rujukan, hadis tersebut menerangkan tentang kemuliaan memberikan sesuatu benda yang disayangi.
Hadis yang terlintas dalam fikiran saya itu turut membawa saya kepada sepotong ayat Al-Qur’an yang mendalam maknanya, kerana hadis tersebut digunakan oleh ulama tafsir untuk memahami ayat Al-Qur’an yang berbunyi:
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
        “Kamu tidak sekali-kali akan sampai kepada kebaikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu dermakan daripada sesuatu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Ali-Imran: 92)
          Di dalam Tafsir Al-Jalalain kalimah “kebaikan” ataupun “Al-Birra” dalam ayat di atas ditafsirkan dengan makna “Syurga”. Saya membaca, Ahmad Shonhaji dalam tafsirnya membawakan athar Ibnu Abbas yang turut mentafsirkan kalimah “Al-Birra” dengan erti “Syurga”, dan beliau menjelaskan, sesetengah ulama pula menafsirkannya sebagai “takwa”.
          Berikut pula saya kongsikan hadis yang saya maksudkan di atas. Diriwayatkan daripada Anas r.a, beliau menceritakan, saat turunnya Surah Ali-Imran, ayat 92, Abu Talhah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata:
          “Wahai Rasulullah, Allah s.w.t telah berfirman dalam kitab-Nya: “Kamu tidak sekali-kali akan sampai kepada kebaikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagaian daripada apa yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu dermakan daripada sesuatu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
“Bagiku, hartaku yang paling aku cintai adalah di Bairaha’ (kata perawi – Anas r.a – ia merupakan sebuah kebun yang sering diziarahi Rasulullah s.a.w. Baginda sering berteduh dan minum airnya) maka kini ia adalah milik Allah dan Rasulullah s.a.w.”
“Aku memohon semoga beroleh kebaikan dan ganjaran daripadanya. Wahai Rasulullah gunakanlah hari ini di mana sahaja yang engkau mahu.”
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Alangkah bagus wahai Abu Talhah, tetapi harta itu amat berharga. Kami menerima pemberianmu, tetapi kami serahkannya semula kepada kamu. Berikanlah kepada kaum kerabatmu.”
Lalu Abu Talhah pun bersedekah kepada kaum kerabatnya. Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

AGAR PEMBERIAN LEBIH BERMAKNA.
Memberikan sesuatu benda yang kita cintai kepada orang lain bukanlah mudah. Semakin tinggi kecintaan kita pada sesuatu, maka akan lebih payah hati untuk kita melepaskannya. Justeru itu, orang yang berjaya memujuk dirinya untuk memberikan sesuatu benda yang dicintainya kepada orang lain adalah amat terpuji sehingga dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan kebaikan yang sempurna; berupa Syurga yang kekal abadi.
          Namun, dalam kesungguhan kita untuk memberikan sesuatu benda yang kita cintai kepada orang lain, wajar juga untuk kita perhatikan kepada siapa pemberian itu ditujukan. Apakah orang yang kita tujukan itu berhajat dan memerlukan pemberian itu atau sebaliknya. Sebaik-baiknya, sesuatu yang kita berikan itu hendaklah sesuatu yang akan berguna dan bermanfaat kepada orang yang menerimanya agar ianya lebih bermakna.
          Contohnya, kita mempunyai sebuah kereta yang amat kita sayangi, lalu kita berniat untuk memberikan kereta tersebut kepada seseorang, tetapi sayangnya orang yang kita berikan itu tidak pandai memandu kereta, ataupun kita berikan kereta kesayangan itu kepada seseorang yang memiliki kereta yang banyak dan lebih canggih daripada kereta kita. Sudah tentulah pemberian kita itu tidak akan begitu bermanfaat dan bermakna buat orang yang menerimanya.
          Bahkan, dalam hadis di atas, Abu Talhah r.a memberikan kebun yang amat disayanginya itu kepada Rasulullah s.a.w bukanlah sekadar suka-suka sahaja, tetapi ianya disebabkan Rasulullah s.a.w sendiri suka untuk berkunjung dan meminum air daripada kebun milik Abu Talhah r.a. yang bernama Bairaha’.
          Akhir sekali, marilah kita merenungi sepotong ayat Al-Qur’an mengenai perkara yang boleh menyebabkan pahala pemberian kita kepada orang lain terbatal dan sia-sia. Moga-moga ianya dapat kita hindari dengan taufiq daripada Allah s.w.t.
          Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Surah Al-Baqarah: 264)

Wallahu a’lam.