Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.
Memaparkan catatan dengan label Pembangunan Diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pembangunan Diri. Papar semua catatan

Selasa, 2 April 2013

SEBELUM BERJAYA.



Oleh: Suhili bin Nain, Kota Kinabalu.



Membaca dan menelusuri perjalanan hidup orang-orang yang telah berjaya cukup mengkagumkan. Apa yang mereka lalui boleh memberikan kita inspirasi, semangat dan pengajaran dalam mencapai kejayaan dalam hidup kita.
Andai direnung sepintas lalu kehidupan mereka yang berjaya, terdapat satu kualiti yang hebat ada pada diri mereka. Mereka mempunyai kesanggupan untuk berusaha lebih daripada yang lain, dan melakukan banyak pengorbanan. Mereka telah mengorbankan masa mereka, harta, perasaan dan pelbagai perkara yang mereka miliki, semata-mata mahu mencapai kejayaan yang mereka kehendaki.
Contohnya, seorang doktor pakar yang berjaya. Disebalik kejayaan tersebut, dan sebelum beliau mencapai kejayaan tersebut banyak pengorbanan yang telah beliau lakukan. Beliau telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk belajar dan menuntut ilmu. Di saat orang lain sedang bersenang-lenang menonton TV, berpesta dan melakukan perkara sia-sia yang bersesuai dengan hawa nafsu, beliau sibuk belajar meneliti kajian dan buku-buku ilmu.
Bukan itu sahaja, beliau telah mengambil risiko dengan membuat pinjaman kewangan yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit untuk membiayai pengajiannya. Sedangkan dalam masa yang lain, ada orang meminjam wang untuk menggunakannya ke jalan yang tidak memberikan kejayaan buat masa depan.
Di sisi lain, kejayaan para insan yang dijanjikan Syurga daripada sahabat Rasulullah s.a.w juga tidak wajar kita lupakan. Dalam mendapat janji tersebut mereka telah melalui pelbagai perit perjuangan dan pengorbanan. Mereka telah menginfakkan harta mereka di jalan Allah, menggunakan waktu untuk beribadah dan menegakkan agama Allah, berkorban nyawa sehingga gugur dalam peperangan membela agama Allah. Sedangkan, saat mereka berjuang di sana ada insan lain yang bersenang-lenang dan mengikut hawa nafsu yang ingkar kepada Allah.
Begitulah orang yang mahu kejayaan, perlu ada pengorbanan dalam perjuangan. Mengorbankan harta, masa, perasaan, malah nyawa agar berjaya mengecapi kejayaan.
Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu.
No pain, no gain.
Adakah kita sanggup berkorban masa, perasaan, harta dan nyawa untuk mencapai kejayaan yang kita impikan?


Jumaat, 29 Mac 2013

KENALI 6 MITOS TENTANG KEPEMIMPINAN.



Oleh: Suhili bin Nain, Kota Kinabalu.


           1.   Mitos Kedudukan, “Saya tidak boleh memimpin, jika saya tidak berada di atas atau tiada kuasa!”
Pengukur sebenar kepimpinan adalah pengaruh, bukannya kedudukan yang anda miliki. Memiliki kedudukan, tidak bermakna seseorang itu boleh memimpin dengan baik. Sekiranya anda memiliki pengaruh yang kuat kepada orang di sekeliling anda, meskipun tidak ada jawatan yang tinggi, anda sebenarnya adalah seorang pemimpin.

          2.   Mitos Destinasi, “Apabila saya sudah berada di atas, maka saya akan belajar untuk memimpin!”
Pemimpin dibentuk setiap hari dan bukannya dalam sehari. Dahului segala perkara dengan ilmu. Usah tunggu jadi pemimpin baru mahu belajar jadi pemimpin. Mulakan daripada sekarang, saat masih dalam situasi ‘dipimpin’.

          3.   Mitos Pengaruh, “Apabila saya sudah berada di atas, maka orang akan mengikuti saya!”
Yang tepatnya, tidak semua orang yang berada di atas akan ditaati dan diikuti. Sekiranya kepimpinan orang di atas rendah, maka orang di bawah kemungkinan besar tidak akan taat, malah meninggalkan pemimpin tersebut.

          4.   Mitos Kebebasan, “Apabila saya berada di atas, saya akan bebas!”
Ada yang menyangka apabila sudah jadi pemimpin, maka mereka akan bebas melakukan apa yang disukai dan tiada orang akan mengawal mereka. Realitinya semakin meningkat kedudukan, maka tanggung jawab semakin bertambah. Berada di atas bukan bermakna goyang kaki sahaja. Ia memerlukan pemikiran yang banyak.

          5.   Mitos Dilahirkan, “Saya tidak boleh jadi pemimpin hebat, kerana ia dalah bakat dalam diri seseorang dan tidak boleh dipelajari!”
         Memang benar ada pemimpin yang lahir dengan bakat semula jadi. Namun, jumlah pemimpin yang sedemikian amat sedikit. Realitinya, kebanyakan pemimpin adalah dibentuk melalui pembelajaran.

          6.   Mitos Penubuhan, “Saya yang menubuhkan kumpulan ini, maka saya lebih layak untuk memimpinnya!”
Membina sebuah organisasi, tidak bermakna anda layak mengetuainya. Boleh jadi ada orang lain yang lebih layak mengetuainya, dan anda boleh menjadi penasihat atau pemimpin tidak langsung di dalamnya.
        
Walaupun tidak jadi pemimpin bagi sesebuah organisasi, ilmu kepimpinan adalah amat penting. Kalau kita tidak guna ia untuk memimpin orang lain, kita masih ada diri sendiri untuk dipimpin.

Rujukan: Leadership 101 karya John C. Maxwell.
NOTA: Sila letakkan rujukan kepada yang ingin "copy & paste". Terima kasih.