Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Jumaat, 29 Mac 2013

KENALI 6 MITOS TENTANG KEPEMIMPINAN.



Oleh: Suhili bin Nain, Kota Kinabalu.


           1.   Mitos Kedudukan, “Saya tidak boleh memimpin, jika saya tidak berada di atas atau tiada kuasa!”
Pengukur sebenar kepimpinan adalah pengaruh, bukannya kedudukan yang anda miliki. Memiliki kedudukan, tidak bermakna seseorang itu boleh memimpin dengan baik. Sekiranya anda memiliki pengaruh yang kuat kepada orang di sekeliling anda, meskipun tidak ada jawatan yang tinggi, anda sebenarnya adalah seorang pemimpin.

          2.   Mitos Destinasi, “Apabila saya sudah berada di atas, maka saya akan belajar untuk memimpin!”
Pemimpin dibentuk setiap hari dan bukannya dalam sehari. Dahului segala perkara dengan ilmu. Usah tunggu jadi pemimpin baru mahu belajar jadi pemimpin. Mulakan daripada sekarang, saat masih dalam situasi ‘dipimpin’.

          3.   Mitos Pengaruh, “Apabila saya sudah berada di atas, maka orang akan mengikuti saya!”
Yang tepatnya, tidak semua orang yang berada di atas akan ditaati dan diikuti. Sekiranya kepimpinan orang di atas rendah, maka orang di bawah kemungkinan besar tidak akan taat, malah meninggalkan pemimpin tersebut.

          4.   Mitos Kebebasan, “Apabila saya berada di atas, saya akan bebas!”
Ada yang menyangka apabila sudah jadi pemimpin, maka mereka akan bebas melakukan apa yang disukai dan tiada orang akan mengawal mereka. Realitinya semakin meningkat kedudukan, maka tanggung jawab semakin bertambah. Berada di atas bukan bermakna goyang kaki sahaja. Ia memerlukan pemikiran yang banyak.

          5.   Mitos Dilahirkan, “Saya tidak boleh jadi pemimpin hebat, kerana ia dalah bakat dalam diri seseorang dan tidak boleh dipelajari!”
         Memang benar ada pemimpin yang lahir dengan bakat semula jadi. Namun, jumlah pemimpin yang sedemikian amat sedikit. Realitinya, kebanyakan pemimpin adalah dibentuk melalui pembelajaran.

          6.   Mitos Penubuhan, “Saya yang menubuhkan kumpulan ini, maka saya lebih layak untuk memimpinnya!”
Membina sebuah organisasi, tidak bermakna anda layak mengetuainya. Boleh jadi ada orang lain yang lebih layak mengetuainya, dan anda boleh menjadi penasihat atau pemimpin tidak langsung di dalamnya.
        
Walaupun tidak jadi pemimpin bagi sesebuah organisasi, ilmu kepimpinan adalah amat penting. Kalau kita tidak guna ia untuk memimpin orang lain, kita masih ada diri sendiri untuk dipimpin.

Rujukan: Leadership 101 karya John C. Maxwell.
NOTA: Sila letakkan rujukan kepada yang ingin "copy & paste". Terima kasih.

DUA PUNCA UTAMA BERLAKU MAKSIAT.



Oleh: Suhili bin Nain.



        1.   KEJAHILAN.
Tiada ilmu untuk membezakan baik dan betul, salah dan benar, syirik dan tauhid, sunnah dan bid'ah, taat dan maksiat.
Tanpa ilmu, akhirnya seseorang itu melakukan bid'ah, yang dia sangka adalah sunnah. Tanpa ilmu, akhirnya seseorang melakukan syiriik, yang dia sangka adalah tauhid.

        2.   KELALAIAN.
Ada ilmu, namun tidak beramal dengannya. Mampu membezakan sunnah dan bid'ah, tetapi tidak melaksanakan sunnah. Mampu membezakan taat dan maksiat, tetapi jauh daripada taat, terjebak dalam maksiat.
Hatinya lemah dan lalai daripada mengingati Allah, lalai daripada mengingati dua malaikat yang mencatat segala perbuatannya, lalai daripada ingat seksaan azab kubur dan neraka yang menyala-nyala.
Penawar bagi keduanya adalah menuntut ilmu yang benar dan banyak mengingati Allah dan akhirat, melalui hati, lisan dan perbuatan.

Selasa, 26 Mac 2013

BUKAN HADIS AL-BUKHARI & MUSLIM: HADIS DENGKI MEMAKAN KEBAJIKAN.


Oleh: Suhili bin Nain.


Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

“Jauhilah oleh kamu perbuatan hasad (dengki) sesungguhnya hasad itu memakan (menghapuskan) kebajikan, sepertimana api memakan (membakar) kayu api atau rumput.”
ULASAN:
Hadis ini diriwayatkan oleh Abdu’ bin Humaid (no.1430), Abu Dawud (no.4903), dan al-Baihaqi (no.6608)
Berkata Muhammad bin Darwish bin Muhammad al-Hut dalam kitabnya, Asna al-Mathalib Fii Ahadits Mukhtalifat al-Maratib, juz. 1, hal. 97:
“Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan padanya Ibrahim bin (Abi) Asid. Beliau disebut oleh al-Bukhari dalam kitab tarikhnya (al-Bukhari), dan beliau (al-Bukhari) menyebutkan hadis ini, dia (al-Bukhari) berkata ianya tidak shahih.” – riwayat ini juga daripada datuk Ibrahim, dan ianya tidak dikenali.
Lihat juga Tarikh al-Kabir karya al-Bukhari, juz. 1, hal. 272, no. 876.
Berkata Dr. Maher Yasin al-Fahl dalam tahqiqnya ke atas Riyadhus Shalihin karya an-Nawawi hadis ini adalah dhaif, disebabkan terdapat seorang perawinya yang majhul.
Hadis ini diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah (no.4200) dan Abu Ya’la dalam Musnad Abu Ya’la (no.3656) dengan sanad yang lain daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu. Walau bagaimanapun, sanad ini juga tidak shahih.
Syaikh Hussein Salim Assad dalam tahqiq ke atas Musnad Abu Ya’la berkata sanadnya dhaif jiddan. Pendhaifan Syaikh Hussein Salim Assad ini bertepatan dengan perkataan ad-Daraquthni dalam al-Illal ad-Daraquthni (juz. 12, hal. 111, no. 2492) dimana ad-Daraquthni berkata idhtirab (goncang) yakni hadis mudhtarib dan padanya terdapat Isa bin Abi Isa seorang yang dhaif.
Ibnu Hajar al-Asqalani mengumpulkan kritikan para ulama al-Jarh wa at-Ta’dil ke atasnya dalam Tahdzib at-Tahdzib (juz. 8, hal. 201, no. 418). Antara kritikan itu dimana al-Bukhari berkata, Isa bin Abi Isa al-Hannath didhaifkan oleh Yahya al-Qaththan. An-Nasaie pula berkata beliau tidak tsiqat dan tidak ditulis hadisnya yakni tidak dijadikan hujah. Kesimpulan daripada itu, beliau adalah matruk menurut Ibnu Hajar al-Asqalani.
Kesimpulannya hadis ini adalah tidak shahih, bahkan antara sanadnya itu dhaif jiddan. Malangnya, ramai orang menyampaikan hadis ini, tapi mereka tidak menyebutkan ianya adalah dhaif, akhirnya orang ramai menyangka ia shahih.

TIADA HADIS SHAHIH TENTANG KEUTAMAAN ATAU FADHILAT KISMIS.


Oleh: Suhili bin Nain.


Beberapa hari lepas saya mencari hadis yang shahih tentang keutamaan atau fadhilat kismis (الزبيب).
Berdasarkan kitab Risalah Fii Bayan Maa Lam Yatsbut Fiihi Hadits Minal Abwaab karya al-Fairuz Abadi dan al-Manar al-Munif Fii ash-Shahih wa adh-Dha'if karya Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah, dapat disimpulkan bahawa TIADA HADIS SHAHIH tentang keutamaan atau fadhilat kismis.
Dinyatakan dalam Risalah Fii Bayan Maa Lam Yatsbut Fiihi Hadits Minal Abwaab:

باب فضل العدس والباقلاء والجبن والجوز والباذنجان والرمان والزبيب لم يصح فيه شيء، وإنما وضع الزنادقة في هذه الأبواب أحاديث وأدخلوها في كتب المحدثين شينًا للإسلام خذلهم الله

Dinyatakan dalam al-Manar al-Munif Fii ash-Shahih wa adh-Dha'if:

أحاديث مدح العدس والأرز والباقلاء والباذنجان والرمان والزبيب والهندباء والكراث والبطيخ والجزر والجبن والهريسة وفيها جزء كله كذب من أوله إلى آخره

Hadis tentang kelebihan dan keutamaan delima (الرمان) juga tiada yang shahih.
Walaubagaimanapun, ini tidak menafikan kismis mempunyai manfaat untuk manusia. Sebagai sebuah makanan, padanya terdapat khasiat yang baik untuk kita. Namun itu tidak menghalalkan kita untuk menyandarkan hadis keutamaan kismis yang tidak shahih dan palsu kepada Nabi shallallahu 'alaihi wassalam. Itu adalah satu jenayah atas nama Nabi shallallahu 'alaihi wassalam.


NOTA: Sekiranya anda mahu membeli kismis untuk mendapatkan khasiatnya, beli sahaja kismis yang biasa. Tidak perlu beli kismis yang dibacakan ayat tertentu, dengan jumlah tertentu, oleh orang yang tertentu.