Oleh: Suhili bin Nain.
Matahari sudah mula tergelincir ke arah barat menandakan waktu zohor sudah pun masuk. Suasana di Terminal Kota Kinabalu yang menjadi stesen bagi bas dari Keningau, Lawas, Tenom, Ranau, Kudat dan beberapa lagi daerah, kelihatan sibuk seperti biasa. Deruman enjin kenderaan membingitkan halwa telinga. Para pemandu yang mencari nafkah berjalan ke sana sini untuk mencari penumpang.
Selepas meletakkan beg yang ku bawa ke dalam bas mini yang akan bertolak ke Keningau, ibubapaku yang menghantarku ke terminal pun beransur pulang. Tinggal aku bersama Gadape, seorang sahabat yang berasal daripada Semporna, menunggu masa untuk bertolak ke Keningau.
Dalam perjalanan ke Keningau mataku disajikan dengan pelbagai bentuk pemandangan. Melalui Putatan, Kinarut, Papar, Kimanis sehinggalah ke kawasan Banjaran Crocker yang liputi kabus sejuk, seterusnya ke pekan Keningau. Ada kawasan yang sudah membangun, ada yang masih dalam pembangunan dan ada pula yang dibiarkan tanpa pembangunan. Penuh kehijauan alam yang memukau pandangan. Sudah lebih kurang lima bulan aku tidak menyaksikan pemandangan ini, semenjak aku pulang dari Keningau.
Setahun yang lalu aku pulang daripada Pusat Latihan Dakwah Keningau, kini beberapa jam lagi aku akan kembali ke tempat itu untuk menghadiri majlis Konvokesyen kali kesepuluh yang akan berlangsung pada 20 oktober 2011.
Melalui perjalanan yang berliku, bersimpang-siur dan berbukit, fikiran ku diterjah semacam perasaan. Kenangan silam yang tersimpan rapi bagaikan tayangan gambar, terlintas di fikiranku. Keningau, tempat yang menyimpan banyak kenangan bagiku. Adakalanya pahit dan manis.
Aku teringat, kenangan bersama rakan-rakan memakan bakso di pasar malam sambil berbual-bual dan menjalin ukhuwah. Meskipun kami datang daripada pelbagai daerah, bangsa dan latar belakang yang berbeza-beza, tapi itu bukan penghalangnya. Persahabatan antara kami terjalin kerana satu kalimah Islam. Sesungguhnya orang Islam itu adalah bersaudara.
Tidak lupa juga kenangan pahit yang terukir. Namun cepat-cepatku alihkan fikiranku ke arah lain, bimbang luka lama akan berdarah kembali.
Setibanya di Pusat Latihan Dakwah Keningau (PLD Keningau) selepas menaiki bas selama lebih kurang 15 minit dari pekan Keningau, aku terus menuju ke asrama untuk mencari tempat menginap. Beberapa orang sahabat yang tidak lama bersua muka menyambutku dengan mesra. Beberapa hari itu aku bermalam di bilik 12 A, bersama seorang sahabat bernama Faizul. Anak muda daripada Kota Marudu yang periang dan senantiasa murah dengan senyuman.
"Aku dengar kau di panggil pengarah JAKIM. Betulkah?" belum sehari di PLD Keningau, kolong minda ku direntap oleh satu pertanyaan yang mengejutkan. Aku mendapat khabar daripada seorang sahabat yang mahukan kepastian, bahawa seseorang telah berkata aku dipanggil oleh pengarah JAKIM cawangan Sabah kerana bermasalah dan terlibat dengan fahaman tertentu yang kononnya radikal dan ekstrem. Allah, khabar apakah ini?
"Tidak ada pun aku dipanggil oleh pengarah JAKIM." Aku menggelengkan kepala. Aku tidak menyangka, walaupun sudah hampir setahun aku meninggalkan PLD Keningau, masih masih ada yang tidak senang dengan diriku, sampai sanggup memfitnah untuk memburuk-burukkan namaku sedemikian rupa. Aku tidak hairan sekiranya ianya terpancul keluar daripada mulut orang yang jahil agama, tapi yang ku dapati kata-kata itu terkeluar daripada lisan seorang yang boleh dikatakan sepatutnya arif tentang agama.
Serta-merta aku teringat tentang hadis shahih riwayat Muslim mengenai orang-orang yang muflis. Satu ketika pernah Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat r.anhum tentang orang-orang yang muflis. Lalu para sahabat r.anhum pun menjawab, orang yang muflis itu adalah orang yang tidak mempunyai dinar dan dirham.
Maka Rasulullah s.a.w pun menyatakan orang yang muflis adalah orang yang bertemu Allah s,w,t pada hari akhirat dengan membawa pahala amalan yang banyak, tetapi pada masa yang sama dipernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang dan menumpahkan darah seseorang.
Akhirnya, pahala orang tersebut tadi diambil dan diberikan kepada orang-orang yang dizalimi itu, untuk menebus kesalahannya. Apabila pahalanya habis, namun kesalahannya masih belum tertebus, maka dosa orang yang dizalimi pula diambil lalu dipikulkan ke atas dirinya, lalu dia diseret ke dalam Neraka. Na'uzubillah!
Setelah selesai solat Isyak berjemaah di Masjid Baiturrahman, PLD Keningau. Para pelatih dan bakal graduan konvokesyen yang akan berlangsung beberapa hari lagi diarahkan untuk berkumpul di hadapan Dewan Jubli Perak. Satu forum hal ehwal Islam akan berlangsung.
"Konvokesyen Bukan Satu Matlamat?" itulah tajuk yang dimaklumkan oleh moderator, Ustaz Shamsuri kepada para hadirin.
Para ahli panelnya terdiri daripada tiga orang pensyarah dan orang yang berjawatan dalam bidang agama dan pendidikan. Salah satu daripadanya adalah graduan PLD Keningau, pada tahun 80-an.
Antara persoalan yang banyak dikupas pada malam itu adalah berkisar tentang tujuan dan niat yang betul dalam menuntut ilmu kerana Allah dan bukannya untuk mendapat konvokesyen semata-mata. Konvokesyen hanyalah untuk meraih sijil, tapi hakikat dan tujuan ilmu yang sebenar adalah untuk dihayati dan diamalkan serta disampaikan kepada orang lain.
Turut dikupas juga mengenai dilema sesetengah graduan-graduan yang keluar daripada pusat pengajian, tapi dalam keadaan yang kekeringan ilmu. Mereka mampu untuk mendapatkan keputusan yang baik di atas kertas peperiksaan, tetapi tidak mampu untuk menyampaikannya kepada masyarakat, malah ada juga yang meninggalkan ilmu yang dipelajarinya.
Ilmu bukanlah sekadar dibudayakan di tempat pengajian, tetapi ilmu perlu dibudayakan pada setiap masa, tempat, ruang dan peluang. Selagi nafas masih berhembus dan selagi jantung masih berdegup, dan selagi kita masih hidup, maka selagi itulah ilmu perlu untuk dipelajari dan dihayati.
Ilmu bukan sekadar ucapan lisan, tetapi ilmu perlu dihayati dan diamalkan. Ahli panel ada menyatakan syair arab yang bermaksud, ilmu yang tidak diamalkan adalah seumpama pohon yang tidak berbuah.
Matahari sudah lama terbit pada keesokan harinya. Burung-burung yang berada disarang sudah lama berterbangan untuk mencari makanan bagi anak-anaknya.
Para pensyarah dan pelatih PLD Keningau yang terlibat dengan konvokesyen kelihatan sibuk melakukan persiapan bagi memastikan konvokesyen pada kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya, memandangkan konvokesyen pada kali ini akan dihadiri oleh Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato' Hj Nasir bin Tun Haji Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Ketua Pengarah JAKIM.
"Assalamu'alaikum.." Aku melangkah masuk ke dalam bilik seorang sahabat.
"Wa'alaikumsalam." Jawab pemuda yang berbadan besar, berjanggut lebat dan berkopiah itu dengan mesra. Namanya Azizul. Salah seorang daripada sahabat karib sepengajianku, yang sering berkongsi suka dan duka sepanjang menuntut ilmu di PLD Keningau. Senyumannya yang senantiasa terukir dibibir dan gurauannya membuatkan aku senang berukhuwah dengannya.
"Bila kau hendak berkahwin?" soalku mengusik.
"Entahlah. Dalam keadaan seperti ini, mungkin lama lagi agaknya. Aku malas nak fikirkan soal itu buat masa ini." Jelasnya senyum mendengar usikanku. Kami ketawa bersama-sama.
Memikirkan soal perkahwinan adalah perkara yang cukup merunsingkan bagi sesetengah orang memandangkan perkahwinan pada masa ini tidak semudah dahulu. Hari demi hari perkahwinan semakin disusahkan, gara-gara dibelenggu dengan adat yang menyelisihi syariat dan terikut-ikut dengan arus zaman, budaya artis dan sebagainya. Perkahwinan yang merupakan salah satu perkara yang boleh menjadi solusi gejala sosial dipandang oleh sesetengah pihak sebagai peluang untuk mengaut keuntungan.
Jalan menuju perkahwinan disempitkan, sedangkan jalan menuju pintu-pintu perzinaan dibuka seluas-luasnya. Ada ibubapa yang menyusahkan perkahwinan dengan mensyaratkan hantaran yang tinggi daripada pihak lelaki, tapi pada masa yang sama mereka tidak bimbang dan segan untuk membiarkan anak mereka keluar berdua-duaan dengan lelaki. Entah sampai bila agaknya soal perkahwinan yang menyusahkan ini akan berakhir.
Menjelang hari konvokensyen yang dinantikan, kesemua graduan berarak masuk ke dalam Dewan Jubli Perak dengan memakai jubah hitam yang dikhaskan. Yang lelaki bersongkok hitam dan perempuan pula bertudung putih. Nama graduan dipanggil satu persatu mengikut abjad untuk naik ke pentas bagi menerima skrol konvokesyen. Didadaku terasa debaran menanti namaku disebutkan.
Pada konvokesyen ini hanya aku sendiri, ahli keluargaku tidak hadir seperti ketika aku konvokesyen di Pusat Latihan Dakwah Kudat pada tahun 2008. Namun itu sedikit pun tidak membuat aku sedih dan kecewa, aku faham keadaan keluarga. Perjalanan ke Keningau meskipun cuma memakan tempoh selama dua jam setengah, namun terdapat kos lain yang perlu difikirkan, seperti penginapan dan keperluan. Lagipun dua adik ku masih bersekolah dan abangku pula berkerja.
Apa pun, aku amat bersyukur dan gembira hari itu aku telah konvokesyen dengan mendapat keputusan pangkat jayyid jiddan. Berbanding sesetengah sahabat daripada pedalaman yang tidak dapat menghadiri konvokesyen mungkin disebabkan kesusahan dengan kesempitan hidup, yang pastinya memerlukan kos yang mahal untuk perjalanan pergi dan balik dari Keningau. Semoga Allah yang bersifat Ar-Razzaq, Maha Pemberi Rezeki merahmati dan meringankan beban mereka.
Selesai daripada konvokesyen, jamuan dan berangkatnya orang-orang kenamaan pulang. Aku mengemas segala keperluan setelah itu bersalam-salaman dengan sahabat-sahabat seperjuangan buat kali terakhir sebelum berangkat pulang ke Kota Kinabalu. Bersama-samaku Azizul yang hendak pulang ke daerah Kota Marudu.
Meskipun jejak mentari tidak begitu dapat dipastikan, kerana kelamnya langit yang mendung sambil menitiskan gerimis ke bumi Keningau. Namun begitu, daripada masa yang tertera diskrin telefon, aku pasti ianya sudah semakin hampir ke arah terbenamnya.
Tepat jam 4 setengah petang, bas Bumiputra yang kami naiki pun bergerak menuju ke destinasi, Terminal Kota Kinabalu, melalui jalan Kimanis yang berliku dan tinggi. Hujan mengiringi sepanjang perjalanan kami daripada Keningau ke Kota Kinabalu. Adakalanya lebat dan ada kalanya gerimis. Kabus yang tebal sedang meliputi bukit Kimanis. Pastinya sejuk menyapa kulit.
Setibanya di Kota Kinabalu, hari sudah pun gelap masa. Malam telah lama melabuhkan tirainya. Sepanjang perjalanan ku sedari Azizul kelihatan bimbang bila memikirkan kenderaan yang menuju ke Kota Marudu. Syukurlah ketika itu masih ada kenderaan yang akan bergerak ke Kota Marudu. Di situ aku dan Azizul pun bersalaman dan berpelukan atas dasar ukhuwah, bersedia untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing. Kami mengharapkan suatu hari kami akan bertemu lagi dengan izin-Nya.
Memandangkan masa solat maghrib sudah hampir luput, aku pun bergegas mendaki laluan ke masjid yang terletak di atas bukit, setelah memaklumkan ayah dan ibu yang menjemputku. Masjid yang terdahulunya adalah merupakan gereja Kristian bermazhab Seventh-day Adventist, kini menjadi sebuah masjid dan tempat pengajian tahfiz bagi kanak-kanak.
Sekian coretan tentang travelog ke Keningau.
***Memandangkan saya tiada membawa kamera dalam perjalanan ini, maka tiada gambar sesuai yang dapat dikongsikan bagi cerpen ini. Apa pun, semoga ianya memberikan manfaat buat diri saya dan anda yang membacanya.
Catatan pada kali ini merupakan kisah benar. ^_^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan