Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Sabtu, 15 September 2012

ISHAQ BIN IBRAHIM, BEGINILAH AHLI SUNNAH BERIMAN DENGAN SIFAT ALLAH!


قَالَ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ إِنَّمَا يَكُونُ التَّشْبِيهُ إِذَا قَالَ يَدٌ كَيَدٍ أَوْ مِثْلُ يَدٍ أَوْ سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ فَإِذَا قَالَ سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ فَهَذَا التَّشْبِيهُ وَأَمَّا إِذَا قَالَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى يَدٌ وَسَمْعٌ وَبَصَرٌ وَلَا يَقُولُ كَيْفَ وَلَا يَقُولُ مِثْلُ سَمْعٍ وَلَا كَسَمْعٍ فَهَذَا لَا يَكُونُ تَشْبِيهًا وَهُوَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ ( لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ )
Ishaq bin Ibrahim berkata,
“Yang dinamakan dengan tasybih ialah jika dia mengatakan tangan Allah seperti tangan makhluk, pendengaran Allah seperti pendengaran makhluk dan jika terbukti dia mengatakannya maka itu merupakan tasybih, adapun jika dia mengatakan sebagaimana Allah berfirman, bahawa Allah memiliki tangan, pendengaran dan penglihatan tanpa menyatakan bagaimana hakikatnya serta tidak menyamakannya dengan sifat makhluk, maka hal ini tidak termasuk tasybih dan ini sesuai dengan firman Allah, "...tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat." [Surah asy Syura; 11] – (Sunan at-Tirmidzi, juz. 3, hal. 71, no. 598)

SIAPA ISHAQ BIN IBRAHIM?
Menurut al-Mubarakfuri, Ishaq bin Ibrahim adalah Ishaq bin Rahawaih. (Tuhfah al-Ahwadzi, 3/268)
         Nama penuh beliau adalah Ishaq bin Ibrahim bin Makhlad bin Ibrahim. Antara yang meriwayatkan daripad beliau adalah al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasaie, Ahmad bin Hanbal, al-Faryabi, Ahmad bin Sa’id ad-Darimi dan banyak lagi.
         Berkata an-Nasaie, “Ibnu Rahawaih adalah seorang imam ikutan, (dia) tsiqat ma’mun.”
         Ishaq bin Rawaih adalah antara ulama tabi’in terkemuka. Anda boleh membaca kisah menarik hidupnya dalam kitab Shuwaru Min Hayati at-Tabi’in karya Dr. Abd ar-Rahman Ra’fat Basya’.
         Ishaq bin Rahawaih wafat pada 237 Hijriah. (Mausu’ah Mawqif as-Salaf Fii al-Aqidah wa al-Manhaj wa at-Tarbiyyah, 3/448)

CARA AHLI SUNNAH BERIMAN DENGAN SIFAT ALLAH MENURUT ISHAQ BIN RAHAWAIH.
Dalam ucapan di atas Ishaq bin Rahawaih menjelaskan tentang cara beriman dengan sifat menurut Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah dan Salaf as-Soleh.
Para ulama Salaf menetapkan cara beriman dengan sifat Allah adalah menetapkan sifat-sifat-Nya yang telah thabit daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang shahih, dan pada masa yang sama tidak mempersoalkan hakikat sifat Allah itu dan tidak menyamakan sifat-sifat tersebut dengan sifat makhluk. Ini sepertimana firman Allah dan surah asy-Syura, ayat 11 di atas.
Pegangan Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah dalam memahami sifat Allah berbeza dengan kelompok Musyabbihah; golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk. Kelompok Musyabbihah menetapkan sifat Allah seperti yang termaktub dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, dan pada masa yang sama mereka menyamakan-Nya dengan makhluk. Mereka melanggar firman Allah dalam surah asy-Syura, ayat 11.
Pegangan Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah juga berbeza dengan kelompok Jahmiyyah dalam cara beriman dengan sifat Allah. Kelompok Jahmiyyah mentakwil sifat-sifat Allah yang termaktub dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Sebagai contoh, mereka mentakwil “tangan Allah” kepada “kekuasan”, dan pada masa yang sama mereka menafikan Allah itu mempunyai tangan, kerana beranggapan ianya menyamakan Allah dengan makhluk.
Menurut Ishaq bin Rahawaih pegangan kelompok Jahmiyyah itu adalah salah dan menyelisihi kebenaran. Ada pun kita, Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah, kita beriman dengan menetapkan dengan sifat Allah yang termaktub dalam al-Qur’an dan as-Sunnah yang shahih, pada masa yang sama tidak menyamakannya dengan makhluk.
Contoh, kita menetapkan Allah itu mempunyai tangan, kerana Allah telah mengkhabarkan kepada kita dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, dan pada masa yang sama kita yakin dengan sepenuh hati, tangan Allah itu adalah Maha Sempurna dan ianya tidak sama seperti tangan makhluk.
Wallahu a’lam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan