Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Selasa, 18 Mac 2014

PERBANDINGAN: ABU UBAIDAH PENAKLUK PARSI NOVEL ABDUL LATIP TALIB & SIRAH RAHIQ AL-MAKHTUM.

Oleh: Suhili bin Nain,
www.72hadispopular.com 



Sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat bukanlah sama seperti sejarah manusia biasa. Membuat ucapan rekaan di atas nama mereka adalah tidak sama dengan membuat ucapan rekaan ke atas Sultan Melaka.

Ini kerana, ucapan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah wahyu. Sebarang rekaan ke atas ucapan baginda, mengakibatkan penambahan kepada wahyu. Demikian juga, ucapan para sahabat adalah salah satu sumber untuk memahami wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh itu, semenjak kali pertama membaca dan mengenali ‘Novel Sejarah Islam’ saya sudah kurang setuju dengan penulis buku-buku sedemikian. Usaha tersebut, pastinya melibatkan berlakunya penambahan dan khayalan yang tidak wujud di dalamnya.

Dalam penulisan ini, saya ingin mengkritik satu bahagian daripada ‘Novel Sejarah Islam’ berjudul Abu Ubaidah Penakluk Parsi, terbitan PTS Litera pada tahun 2009, yang ditulis oleh Abdul Latip Talib, atau lebih dikenali dengan Pak Latip.

Saya akan membandingkan teks pada bab-7, halaman 73 hingga 78 dalam bahagian ‘Pemulauan Kepada Islam’ dengan kisah yang sama daripada kitab Rahiq al-Makhtum karya Syaikh Shafiyur-Rahman al-Mubarakhfuri. Ia adalah sebuah kitab sirah yang ditulis dengan berpandukan sumber-sumber yang dipercayai dan hanya dimuatkan kisah yang benar menurut Syaikh Shafiyur-Rahman al-Mubakarakfuri.

Pada suatu malam, Abu Ubaidah dan Abu Bakar sedang duduk sambil mengawal keadaan sekeliling. Cahaya bulan menerangi malam itu. Sekali-sekala kedengaran batuk memecah hening suasana malam. Udara dingin membuatkan mereka kesejukan. Hanya unggun api dapat memanaskan tubuh mereka. Tiba-tiba Abu Ubaidah al-Jarrah bingkas bangun lalu menghunus pedangnya.

“Siapa itu? Cepat, kenalkan diri!” jerit Abu Ubaidah al-Jarrah sambil bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Tetapi pertanyaan itu tidak disahut. Tiba-tiba muncul seekor unta membawa muatan di belakangnya. Tetapi tuannya tidak kelihatan.

“Siapakah pula yang menghantar muatan ini kepada kita?” tanya Abu Bakar sambil membelek barang-barang yang diletakkan di atas bonggol unta itu.

“Entahlah, mungkin masih ada insan yang bersimpati dengan nasib kita lalu diberinya kita bekalan makanan ini.” Jawab Abu Ubaidah al-Jarrah.


[Abu Ubaidah Penakluk Parsi, halaman 75-76]

Dalam bahagian ini pengarang Abdul Latip Talib mengisahkan bahawa pada suatu malam Abu Bakar dan Abu Ubaidah kedua-duanya sedang berkawal. Kemudian mereka menerima sebuah bekalan makanan daripada orang yang tidak dikenali. Yang memberikan bekalan makanan tersebut adalah Hisyam bin `Amr.
Selepas memberikan bekalan tersebut secara senyap, Hisyam bin `Amr terus bertemu dengan Zuhair bin Abi Umayyah untuk mengajak beliau membatalkan perjanjian pemulauan ke atas Bani Abdul Manap dan Bani Hasyim.

Komen & Perbandingan:

1. Cerita atau kisah dalam teks di atas kelihatan begitu terperinci, seolah-olah Abdul Latip Talib melihat sendiri peristiwa yang berlaku sehingga boleh menjelaskan tentang suasana ketika itu.

2. Peristiwa ini tidak ada disebutkan dalam kitab Rahiq al-Makhtum.

3. Dalam novel karya Abdul Latip Talib, seolah-olah ia adalah kali pertama Hisyam bin `Amr memberikan bantuan makanan kepada Bani Abdul Manap dan Bani Hasyim. Manakala, dalam Rahiq al-Makhtum disebutkan bahawa Hisyam bin `Amr telah memberikan bantuan bekalan makanan selama 3 tahun.

4. Dalam novel disebutkan Bani Abdul Manap dan Bani Hisyam. Dalam Rahiq al-Makhtum disebutkan Bani Hisyam dan Bani Muthalib.

Kemudian mereka berlima menuju ke dinding Kaabah mahu menanggalkan naskhah perjanjian pemulauan yang digantungkan di situ. Tiba-tiba Zuhair kelihatan gembira sambil berteriak, “Demi Tuhan, naskhah perjanjian yang kita tandatangani sudah reput dimakan anai-anai. Dengan ini pemulauan itu sudah terbatal!”

Abu Jahal amat terkejut lalu memeriksanya. Ternyata memang benar naskhah perjanjian itu sudah reput dimakan anai-anai. Barulah dia sedar pemulauan itu tidak dapat diteruskan lagi. Sekiranya dia terus menentang, dia pasti menghadapi masalah. Dengan rasa malu, dia segera beredar dari situ. Dengan itu sekatan yang dikenakan ke atas Bani Hasyim dan Bani Abdul Manap berakhir.

Namun mereka yang menyokong menghapuskan sekatan itu masih kekal dengan agama asal mereka. Nabi Muhammad menasihatkan para sahabatnya supaya bersikap baik kepada mereka. Bagi menghindarkan timbulnya masalah, Zuhair dan kawan-kawannya datang menemui Nabi Muhammad SAW, memohon hubungan baik mereka dipelihara.  Dengan senang hati Nabi Muhammad SAW menerima permintaan mereka.

“Wahai Muhammad, ada satu lagi permintaan kami,” kata Zuhair. Kemudian katanya lagi, “Kami sudah berusaha membatalkan sekatan ke atas kamu. Oleh itu, kamu perlu membalas budi baik kami itu dengan memberi hormat kepada tuhan-tuhan kami.”

“Sembahlah tuhan-tuhan kami walaupun dengan menggunakan jari-jari sahaja,” kata Amr bin Hisyam pula.

Nabi Muhammad SAW tidak bersetuju dengan permintaan itu. Lalu membaca ayat al-Quran yang bermaksud, kamu dengan agama kamu dan kami dengan agama kami.


[Abu Ubaidah Penakluk Parsi, halaman 78]

Komen & Perbandingan:

1. Dalam Rahiq al-Makhtum ada disebutkan kehadiran Abu Talib dalam peristiwa di atas dan mengadilinya. Demikian juga dalam Sirah an-Nabawiyyah karya Ibn Ishaq.

2. Namun dalam novel Abu Ubaidah Penakluk Parsi, langsung tidak disebutkan kehadiran Abu Talib. Dalam Rahiq al-Makhtum disebutkan bahawa yang ingin mengoyakkan naskhah perjanjian tersebut adalah Muth’im. Sebaliknya dalam novel disebutkan yang cuba mengoyakkan naskhah tersebut adalah Zuhair.

3. Dalam novel disebutkan bahawa Zuhair dan Amr bin Hisyam bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan meminta agar baginda dan para sahabat menyembah tuhan-tuhan orang kafir Quraisy, lalu baginda menolak dengan dengan mengucapkan ayat terakhir Surah al-Kafirun. Namun, ia tidak ada diriwayatkan dalam kitab Rahiq al-Makhtum.

4. Berdasarkan carian ringkas dalam kitab sirah dalam Maktabah Shamelah 3.5, dengan kata kunci ‘Zuhair’ dan ayat terakhir surah al-Kafirun, tidak ditemui dialog antara Zuhair dan Rasulullah s.a.w di atas ini.

5. Tambahan. Diriwayatkan dalam Rahiq al-Makhtum, turunnya surah al-Kafirun adalah disebabkan dialog yang berlangsung antara Rasulullah s.a.w dan al-Aswad bin al-Muthalib, Asad bin Abdul Uzza, al-Walid bin al-Mughirah, Umayyah bin Khalaf dan al-Ash bin Wail. Maka dengan itu turunlah surah al-Kafirun daripada ayat pertama hingga terakhir.

Wallahu a`lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan