Oleh: Suhili bin Nain.
BERAT YANG TERASA DI HATI.
Setiap kita ada sesuatu yang amat kita cintai daripada kebendaan yang kita miliki. Mungkin ia berupa sebuah jam, telefon, kereta ataupun ianya adalah sebuah buku. Bagi saya perkara yang paling saya cintai di antara barang-barang saya adalah buku-buku yang mengandungi ilmu yang bermanfaat dalam kehidupan.
Satu kebiasaan bagi saya, apabila sesuatu buku itu amat saya sukai ataupun baru dibeli, lalu datang seseorang untuk meminjamnya, akan terasa berat di hati saya untuk meminjamkannya, kerana bimbang buku tersebut rosak ataupun tidak dijaga dengan elok oleh si peminjam. Ini bergantung dengan melihat kepada karakter orang yang hendak meminjam.
Itu baru datang seseorang untuk meminjam, sekiranya datang untuk meminta, mungkinkah terasa lebih berat perasaannya?
Saya percaya, situasi di atas bukan sahaja dialami oleh saya, tetapi anda yang membaca tulisan ini pasti pernah mengalami situasi yang sama. Perasaan berat untuk memberikan sesuatu yang kita cintai kepada orang lain, terasa sempit untuk melepaskan sesuatu yang kita sayangi dalam hidup ini.
PEMBERIAN YANG MENGGAPAI SYURGA.
Jam sudah menunjukkan hampir sepuluh setengah malam, saya dan rakan-rakan sekerja baru sahaja selesai menjamu selera jamuan yang dihidangkan selepas kuliah fardhu ‘ain mingguan SAR Al-Hidayah, pada setiap malam jumaat. Sejurus itu, saya dihantar pulang menaiki kereta oleh sahabat saya, ke Kampung Gentisan yang terletak di pinggir laut Teluk Sepanggar.
Dalam kenderaan yang menyusur cermat di atas jalan raya, sambil berbual-bual bersama sahabat saya yang sedang memandu itu, fikiran saya menerawang sekali-sekala. Pelbagai perasaan dirasakan bercambah dalam hati; ada gembira, sedih dan juga tertanya-tanya tentang masa depan diri.
Saat diam beberapa ketika sepanjang perjalanan merentas malam yang semakin memekat, saya teringat sebuah hadis yang pernah saya baca, berkaitan sedekah dan keimanan. Namun yang lebih tepat, selepas membuat semakan dan rujukan, hadis tersebut menerangkan tentang kemuliaan memberikan sesuatu benda yang disayangi.
Hadis yang terlintas dalam fikiran saya itu turut membawa saya kepada sepotong ayat Al-Qur’an yang mendalam maknanya, kerana hadis tersebut digunakan oleh ulama tafsir untuk memahami ayat Al-Qur’an yang berbunyi:
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
“Kamu tidak sekali-kali akan sampai kepada kebaikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu dermakan daripada sesuatu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Ali-Imran: 92)
Di dalam Tafsir Al-Jalalain kalimah “kebaikan” ataupun “Al-Birra” dalam ayat di atas ditafsirkan dengan makna “Syurga”. Saya membaca, Ahmad Shonhaji dalam tafsirnya membawakan athar Ibnu Abbas yang turut mentafsirkan kalimah “Al-Birra” dengan erti “Syurga”, dan beliau menjelaskan, sesetengah ulama pula menafsirkannya sebagai “takwa”.
Berikut pula saya kongsikan hadis yang saya maksudkan di atas. Diriwayatkan daripada Anas r.a, beliau menceritakan, saat turunnya Surah Ali-Imran, ayat 92, Abu Talhah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata:
“Wahai Rasulullah, Allah s.w.t telah berfirman dalam kitab-Nya: “Kamu tidak sekali-kali akan sampai kepada kebaikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagaian daripada apa yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu dermakan daripada sesuatu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
“Bagiku, hartaku yang paling aku cintai adalah di Bairaha’ (kata perawi – Anas r.a – ia merupakan sebuah kebun yang sering diziarahi Rasulullah s.a.w. Baginda sering berteduh dan minum airnya) maka kini ia adalah milik Allah dan Rasulullah s.a.w.”
“Aku memohon semoga beroleh kebaikan dan ganjaran daripadanya. Wahai Rasulullah gunakanlah hari ini di mana sahaja yang engkau mahu.”
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Alangkah bagus wahai Abu Talhah, tetapi harta itu amat berharga. Kami menerima pemberianmu, tetapi kami serahkannya semula kepada kamu. Berikanlah kepada kaum kerabatmu.”
Lalu Abu Talhah pun bersedekah kepada kaum kerabatnya. Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
AGAR PEMBERIAN LEBIH BERMAKNA.
Memberikan sesuatu benda yang kita cintai kepada orang lain bukanlah mudah. Semakin tinggi kecintaan kita pada sesuatu, maka akan lebih payah hati untuk kita melepaskannya. Justeru itu, orang yang berjaya memujuk dirinya untuk memberikan sesuatu benda yang dicintainya kepada orang lain adalah amat terpuji sehingga dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan kebaikan yang sempurna; berupa Syurga yang kekal abadi.
Namun, dalam kesungguhan kita untuk memberikan sesuatu benda yang kita cintai kepada orang lain, wajar juga untuk kita perhatikan kepada siapa pemberian itu ditujukan. Apakah orang yang kita tujukan itu berhajat dan memerlukan pemberian itu atau sebaliknya. Sebaik-baiknya, sesuatu yang kita berikan itu hendaklah sesuatu yang akan berguna dan bermanfaat kepada orang yang menerimanya agar ianya lebih bermakna.
Contohnya, kita mempunyai sebuah kereta yang amat kita sayangi, lalu kita berniat untuk memberikan kereta tersebut kepada seseorang, tetapi sayangnya orang yang kita berikan itu tidak pandai memandu kereta, ataupun kita berikan kereta kesayangan itu kepada seseorang yang memiliki kereta yang banyak dan lebih canggih daripada kereta kita. Sudah tentulah pemberian kita itu tidak akan begitu bermanfaat dan bermakna buat orang yang menerimanya.
Bahkan, dalam hadis di atas, Abu Talhah r.a memberikan kebun yang amat disayanginya itu kepada Rasulullah s.a.w bukanlah sekadar suka-suka sahaja, tetapi ianya disebabkan Rasulullah s.a.w sendiri suka untuk berkunjung dan meminum air daripada kebun milik Abu Talhah r.a. yang bernama Bairaha’.
Akhir sekali, marilah kita merenungi sepotong ayat Al-Qur’an mengenai perkara yang boleh menyebabkan pahala pemberian kita kepada orang lain terbatal dan sia-sia. Moga-moga ianya dapat kita hindari dengan taufiq daripada Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Surah Al-Baqarah: 264)
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan