Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Isnin, 16 April 2012

RESEPI KEMANISAN IMAN.


Oleh: Suhili bin Nain.

Rasulullah s.a.w bersabda:
         ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أن يكون اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِى الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ. (رواه البخاريُّ ومسلمٌ)
“Tiga perkara, barangsiapa yang terdapat padanya dia akan mendapatkan kemanisan iman; mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selainnya, dan  tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah, dan benci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan dia daripadanya sepertimana dia benci dicampakkan ke dalam api.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa iman itu mempunyai kesan yang dapat dirasai oleh orang-orang yang mempunyai iman, itu sebuah kemanisan. Kemanisan iman tersebut akan dirasai oleh orang-orang yang ikhlas dan benar dalam perbuatannya dan hatinya.
          Berkata sebahagian Salafus Soleh dalam menggambarkan kemanisan iman: “Sekiranya para pemerintah dan anak-anak pemerintah mengetahui apa yang kami rasakan, nescaya mereka akan memukul kami dengan pedang.”
          Kemanisan iman yang sebenar tidak akan dirasai melainkan bagi orang yang melazimi hidupnya dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. Telah ditanya Wahib ibn Al-Warid r.h: “Adakah akan mendapat kemanisan iman orang yang bermaksiat kepada Allah?”
Maka beliau menjawab: “Tidak, dan tidaklah daripada kalangan mereka yang mendapat kemanisan iman itu orang yang bermaksiat.”
          Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis yang shahih: “Tidak akan berzina seseorang itu sedang dia dalam keadaan beriman (yakni sempurna imannya).”
          Hanya dengan iman yang sempurnalah seseorang itu akan memperolehi kemanisan iman, dan orang yang sempurna imannya itu tidak akan bermaksiat kepada Allah s.w.t. Dan sekiranya mereka bermaksiat, sudah tentulah mereka akan bersegera untuk bertaubat atas kesalahan mereka itu.

          1.   Mencintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya.
Sesungguhnya Allah s.w.t telah mencela di dalam Al-Qur’an orang-orang yang mencintai sesuatu melebihi cinta mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
          Firman Allah s.w.t:
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah At-Taubah: 24)
Di dalam ayat di atas Allah s.w.t telah menyebutkan sesuatu yang biasanya dicintai oleh manusia. Adapun mencintai kesemua yang di atas itu sebenarnya tidaklah tercela secara asalnya, tetapi kecintaan kepada semua itu menjadi sesuatu yang tercela bila mana ianya lebih dicintai oleh manusia lebih daripada cinta mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
قال عبدُ اللَّهِ بْنُ هِشَامٍ :كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي . فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم : «لَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ»، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ : فَإِنَّهُ الْآنَ وَاللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: «الْآنَ يَا عُمَرُ»  رواه البخاري.
Berkata Abdullah bin Hisyam: Kami bersama Nabi s.a.w dan beliau dipegang oleh Umar ibn Al-Khattab dengan tangan, lalu Umar berkata kepadanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintai engkau lebih daripada segala sesuatu kecuali diriku.” Maka berkata Nabi s.a.w: “Tidak. Demi yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sehinggalah aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Maka berkata Umar kepada baginda: “Jika demikian, demi Allah sekarang aku mencintai engkau lebih daripada diriku sendiri.” Maka berkata Nabi s.a.w: “Sekaranglah wahai Umar.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

2.   Mencintai seseorang kerana Allah s.w.t.
Abu Dawud meriwayatkan sebuah hadis dalam Sunnannya dengan darjat yang soleh, bahawa Nabi s.a.w bersabda:
من أحب لله، وأبغض لله، وأعطى لله، ومنع لله، فقد استكمل الإيمان
“Barangsiapa yang mencintai kerana Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.”
          Di dalam hadis ini terkandung kesempurnaan pengabdian seseorang kepada Allah s.w.t, di mana setiap perkara yang dilakukannya adalah untuk mengharapkan balasan Allah s.w.t, dan bukan selain-Nya.

3.   Benci kembali kepada kekufuran selepas Allah s.w.t menyelamatkannya sepertimana bencinya dicampak ke dalam api (neraka).
Allah s.w.t berfirman,
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Sekiranya mereka berbuat syirik nescaya terhapuslah amalan-amalan mereka.” (Surah Al-An`am: 88)
          Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan Syurga bagi orang-orang mensyirikkan Allah s.w.t, dan Dia menghukum mereka dengan memasukkan mereka ke dalam neraka. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ma’idah, ayat 72:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
“Sesungguhnya barangsiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim".
          Syirik adalah penyebab kebinasaan. Firman Allah s.w.t:
 قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan bagi orang-orang sebelum kamu yang kebanyakan mereka menyekutukan Allah.” (Surah Ar-Rum: 42)
Ibnu Al-Jauzi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa kebinasaan mereka adalah disebabkan kesyirikan yang mereka lakukan.


RUJUKAN: Dr. Mahran Maher Uthman, Thalathiyyat An-Nabawiyyah, hadis no. 3.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan