Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Sabtu, 7 April 2012

KOS BELAJAR: HUTANG PTPTN ATAU KUMPUL SENDIRI?

Oleh: Suhili bin Nain.

Sudah lama saya terfikir untuk melanjutkan pelajaran secara formal semenjak tamatnya pengajian di Pusat Latihan Dakwah (PLD) Keningau. 2012 ini sudah setahun lebih saya sudah tidak lagi menduduki pengajian secara formal, melainkan hanya belajar melalui pembacaan, perbincangan dengan rakan dan menghadiri majlis ilmu Ustaz Abdul Wahab Al-Bustami. Itu pun dalam keadaan jarang-jarang.
          Semenjak tahun 2011; selepas keluar daripada PLD Keningau saya masih terus mencari tempat untuk meneruskan pelajaran. Namun sehingga kini belum menemui tempat yang sesuai untuk merantau. Rata-ratanya tempat pengajian meletakkan syarat yang tidak saya miliki, sekiranya ada pun peluang untuk terpilih tidaklah semudah yang disangkakan.
          Baru-baru ini saya selalu melihat rakan-rakan di laman ‘Muka Buku’ ada mengirim tentang isu PTPTN berkaitan politik negara. Ada rancangan ianya agar dimansuhkan sekira pembangkang menjadi peneraju negara pada masa hadapan. Sejauh mana keshahihan khabar itu, saya kurang pasti. Sejauh mana rancangan itu akan dilaksanakan, saya juga kurang pasti. Saya bukanlah insan yang selalu menekuni dunia politik tanah air.
          Apa yang ingin saya katakan di sini bukanlah tentang isu politik negara. Tidak. Tetapi, apa yang sedang berlegar-legar dalam ruang fikiran saya adalah pinjaman PTPTN yang perlu dibayar sekiranya saya meneruskan pelajaran. Jumlahnya pasti bukan sedikit, tentunya mencecah puluhan ribu ringgit dan mustahil untuk dilangsaikan dalam masa yang begitu singkat. 
Ini membimbangkan saya; adakah saya mampu untuk membayar kesemua hutang di kemudian hari andai itu berlaku? Apakah saya hidup untuk membayar hutang PTPTN? Bagaimana sekiranya saya meninggal dunia sebelum sempat melangsaikan hutang PTPTN itu nanti? Apakah nasib saya di alam barzakh sana akibat daripada hutang yang tidak sedikit itu? Begitulah pertanyaan berdetik-detik dalam fikiran saya. Apatah lagi saya ini jenis orang yang tidak suka berhutang.
          Mujurlah ketika belajar di PLD Kudat dan PLD Keningau dahulu, kami hanya dikenakan yuran pada awal semester sahaja. Kemudian, segala perbelanjaan pembelajaran, asrama dan makanan ditanggung oleh pihak JAKIM. Terima kasih kepada JAKIM. Alhamdulillah.
          Sekarang saya terfikir; adakah wajar untuk saya meneruskan pelajaran lalu membuat pinjaman dengan PTPTN, lalu membayarnya dikemudian hari? Ataupun, sebaiknya saya kumpul duit terlebih. Mungkin RM 15 ribu dan ke atas, kira-kira cukup untuk membiayai pengajian, kemudian barulah menyambung semuala pengajian? Dua perkara itu berlegar-legar dalam fikiran saya. Manakah yang terbaik antara keduanya?
          Setakat ini saya tiada jawapan yang pasti. Sengaja saya kongsikan di sini apa yang saya fikirkan ini, kerana saya fikir diluar sana pun ada juga yang sedang memikirkan perkara yang sama seperti saya. Oleh itu, penulisan ini bukanlah untuk memberikan jawapan, tetapi sekadar perkongsian perkara untuk direnungkan sama-sama buat kita yang mahu meneruskan pelajaran.
          Akhir kata daripada saya, apabila saya membaca kisah para Salafus Soleh saat mereka menuntut ilmu. Saya terfikir, seandainya para Salafus Soleh hidup di zaman ini, agak-agak dengan gambaran sikap warak dan sikap hati-hati mereka, sanggupkah mereka melakukan pinjaman dengan PTPTN berpuluh ribu ringgit untuk pembelajaran?
          Apa pun, saya akan terus berusaha, dan Allah s.w.t yang menentukan hasilnya. Tidak ada yang saya lakukan melainkan tertakluk dalam kehendak dan ketetapan daripada Allah s.w.t.


P/S: Alangkah beruntungnya sahabat dan rakan-rakan yang mendapat tawaran belajar di Madinah & Makkah Al-Mukarramah, tidak perlu memikirkan kos pengajian, kerana semuanya dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi.


1 ulasan:

  1. Salam.pegilah belajar di Qatar University.Free..dapat biasiswa dan tiket pulang balik setiap tahun lagi..Bahasa Arab di sana lebih baik..Fushah..

    BalasPadam