Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Jumaat, 27 April 2012

TAJDID SEKOLAH AGAMA, SATU KEPERLUAN.


Oleh: Suhili bin Nain.


Sudah bertahun-tahun sekolah agama menyediakan ruang pendidikan Islam kepada anak-anak masyarakat kita. Pada hari ini saya ingin melontarkan sebuah persoalan untuk kita fikirkan, “Adakah sekolah agama di negara kita pada hari ini sudah menerapkan Islam yang murni dalam sistemnya?”
Secara peribadi, saya melihat sekolah agama di negara kita pada hari ini masih belum boleh dikatakan sebagai sebuah institusi pendidikan yang berteraskan Islam sepenuhnya, terutama daripada sudut pendidikan dan tarbiyah. Daripada segi pelajaran sememangnya ia menggunakan silibus pengajian Islam, tetapi daripada segi suasana dan persekitaran sekolah agama di negara kita, ianya kelihatan tidak jauh berbeza dengan sekolah jenis kebangsaan.
          Sekolah agama di negara kita sekian lama ini telah mengamalkan sistem pengajian lelaki dan perempuan belajar bersama-sama di dalam satu sekolah ataupun kelas. Ini secara disedari ataupun tidak sebenarnya, adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
Sekiranya kita merujuk kepada fatwa para ulama ternyata para ulama menyatakan adalah tidak boleh membuat sebuah pengajian ilmu yang di dalamnya terjadi ikhtilat dan bercampur-baur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekiranya pengajian dilakukan secara bersama sekalipun, maka perlulah diletakkan hijab ataupun tirai yang membataskan bagi mengelakkan berlakunya ikhtilat yang diharamkan di antara lelaki dan perempuan.
          Asy-Syaikh Ibrahim Ar-Ruhaili pernah ditanya tentang sebuah pengajian yang tidak diletakkan hijab ataupun tirai yang bagi memisahkan di antara lelaki dan perempuan, lalu Asy-Syaikh menyatakan hukumnya adalah tidak boleh. Bahkan, diisyaratkan dalam kitab Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari bahawa pengajian orang-orang perempuan pada zaman Rasulullah s.a.w itu adalah dilakukan secara berasingan di antara lelaki dan perempuan. Fatwa yang hampir sama juga turut dikeluarkan oleh Asy-Syaikh Muhammad Sholeh Al-Uthaimin dalam satu fatwanya.
          Pengajian lelaki dan perempuan dalam di sekolah agama secara bercampur Ini secara tidak disedari telah membuka pintu fitnah dan kerosakan kepada anak-anak Islam, kerana pengajian sedemikian secara langsung telah menggalakkan suasana ikhtilat yang terlarang di antara lelaki dan perempuan.
          Mungkin ada yang berkata, “Tidak mengapa, mereka itu budak sahaja, masih belum diwajibkan perkara-perkara syarak ke atas mereka.”
          Saya tidak menafikan perkara tersebut ada benarnya. Namun yang perlu kita fikirkan dan saya sentuh di sini bukanlah isu diwajibkan atau tidak, tetapi ianya adalah soal pendidikan dan tarbiyah. Bukankah Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada ibubapa agar menyeru kanak-kanak yang belum baligh yang berumur 7 tahun untuk mendirikan solat, dan sekiranya kanak-kanak itu tidak mahu sedangkan dia telah berumur 10 tahun, maka hendaklah dipukul sebagai pengajaran?
          Anak-anak yang terbiasa bermudah-mudahan dengan perkara mungkar ketika kecil tidak mustahil saat membesar mereka akan terbiasa dengan perkara haram. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
          Sekiranya percampuran lelaki dan perempuan dalam pembelajaran di sekolah agama terus dibiarkan, tidak mustahil pada masa hadapan akan terdapat kekeliruan di antara kanak-kanak yang membesar ini mengenai batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan sehingga terjadinya ikhtilat yang diharamkan.

SEKOLAH AGAMA ISLAM (LELAKI), SEKOLAH AGAMA ISLAM (PEREMPUAN).
Daripada sini saya melihat, perlu adanya satu usaha dilakukan oleh pihak yang bertanggung jawab dalam pendidikan dan pengajian Islam diperingkat rendah atau menegah untuk melakukan rombakan dan perubahan terhadap sistem pendidikan sekolah yang labelkan dengan label agama. Samada dengan membentuk sebuah sekolah agama yang khusus untuk lelaki, dan sekolah agama yang khusus untuk perempuan; ataupun dengan cara membentuk sebuah sekolah yang mana dalam sesebuah kelas itu hanya dikhususkan bagi murid lelaki sahaja, ataupun perempuan sahaja dengan tidak bercampurnya lelaki dan perempuan dalam sebuah kelas.
          Akhir sekali, saya ingin menjelaskan, bukanlah tujuan artikel ini untuk menafikan jasa dan manfaat yang telah diberikan oleh sekolah agama kepada masyarakat, tetapi ini adalah artikel untuk mengajak kita berfikir dan merenung dan berusaha untuk menyumbang dan memajukan lagi sistem pendidikan Islam di negara kita agar bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sekian penulisan daripada saya pada kali ini untuk renungan kita bersama-sama. Wallahu ‘alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan