Oleh: Suhili bin Nain.
مَنْ
سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ. ( رواه ابو داود :حسن صحيح )
"Barang
siapa ditanya tentang ilmu, lalu dia menyembunyikannya, maka Allah akan memakaikan
kepadanya kekang (belenggu) yang dibuat daripada api Neraka pada hari
kiamat." (Diriwayatkan
oleh Abu Dawud, darjatnya hasan shahih)
*Kekang adalah tali yang diikat
pada mulut kuda untuk mengendalikannya.
Artikel ini saya tujukan secara
khusus buat insan-insan yang pandai membaca Al-Qur’an, dan secara umumnya semua
insan-insan yang berilmu berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah di atas kefahaman
Salafus Soleh.
Saya menyatakan artikel ini ditujukan khusus buat
insan-insan yang pandai membaca Al-Qur’an, ini kerana saya melihat terdapat ramai
individu yang pandai membaca Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk menyampaikannya
kepada orang lain, meskipun mereka berkemampuan.
Tidak
pandai membaca Al-Qur’an adalah antara masalah paling kronik yang sedang
melanda umat Islam di negara kita saat ini. Seseorang yang tidak pandai membaca
Al-Qur’an ianya telah membuka peluang kepada seseorang itu untuk semakin jauh
daripada ilmu agama yang lainnya, seterusnya amal ibadah yang dilaksanakan
dalam Islam secara amnya.
KEWAJIPAN MENYEBARKAN KEBENARAN.
Kebenaran
bukanlah milik individu atau peribadi, ianya perlu dikongsikan dengan semua manusia.
Seseorang yang mengetahui kebenaran dan ilmu, adalah wajib atasnya untuk
menyampaikan kebenaran yang dia ketahui kepada orang lain mengikut
kemampuannya.
Rasulullah s.a.w bersabda:
بَلِّغُوا
عَنِّي وَلَوْ آيَةً
"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat." (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Berkata Imam An-Nawawi dalam kitabnya Bustanul ‘Ariffin:
“Sesiapa yang telah memiliki ilmu,
maka hendaklah ia berusaha untuk menyebarkannya dan hendaklah ia mencari
keredhaan Allah ta’ala di dalam penyebarannya itu, dan hendaklah ia menyebarkan
ilmu tersebut supaya berpindah kepada orang lain.”
Perbuatan menyembunyikan ilmu dan kebenaran adalah amat
tercela, dan merupakan perbuatan menghalang manusia daripada jalan Allah s.w.t.
Orang yang melakukannya diancam oleh Rasulullah s.a.w dengan azab dipakaikan
kekang atau belenggu yang dibuat daripada api Neraka.
SIKAP MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN.
Sikap
suka menyembunyikan kebenaran adalah antara sikap orang Yahudi dan Nasrani yang
dilaknat oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah memaklumkan kepada mereka ilmu tentang
Nabi Muhammad s.a.w yang bakal diutus-Nya, sehingga mereka boleh mengenalnya
seperti anak-anak mereka sendiri. Namun, sayangnya orang-orang Yahudi dan
Nasrani telah menyembunyikan kebenaran perkara ini, malah berpura-pura tidak
mengetahuinya. Firman Allah s.w.t:
الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ
الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا
مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami
beri Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal
anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebagian di antara mereka menyembunyikan
kebenaran, padahal mereka mengetahui.” (Al-Baqarah: 146)
LAKNAT ATAS ORANG YANG
MENYEMBUNYIKAN ILMU.
Orang yang menyembunyikan ilmu dan
kebenaran, maka dia akan mendapat laknat daripada Allah s.w.t, kerana termasuk
dalam menghalangi manusia daripada kebenaran. Firman Allah s.w.t:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا
أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ
فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاعِنُونَ (١٥٩) إِلا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا
فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (١٦٠)
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan dari
keterangan dan petunjuk setelah Kami terangkan kepada manusia dalam Al-Kitab
mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, dan mereka dilaknat oleh
para pelaknat. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan dan
menjelaskan, maka mereka itulah yang Aku terima taubat mereka dan adalah Aku
Maha Menerima Taubat dan Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 159-160)
SITUASI DI TEMPAT SAYA.
Di kampung saya ketika ini terdapat
lebih daripada 15 orang individu yang pandai membaca Al-Qur’an, tetapi sayangnya
yang mengadakan kelas untuk mengajarkan Al-Qur’an tidak sampai 5 orang.
Sedangkan saat ini jumlah orang masih yang tidak pandai membaca Al-Qur’an
adalah begitu ramai. Kebanyakan yang belajar membaca Al-Qur’an setelah pandai membaca
hanya berdiam diri dan tidak menyampaikannya kepada orang lain.
Yang lebih
menyedihkan terdapat juga ibubapa yang mahir membaca Al-Qur’an, tetapi
sayangnya kemahiran itu tidak diajarkan kepada anak mereka. Malah mereka
menghantar anak-anak mereka untuk diajar oleh orang lain atas alasan tidak ada
masa. Mereka lebih senang meluangkan masa berjam-jam berbicara perkara dunia
yang tidak berfaedah, menonton televisyen dan sebagainya berbanding meluangkan
masa yang tidak sampai setengah jam sehari untuk mengajarkan membaca Al-Qur’an
kepada anak mereka. Innalillahi wa inna ilaihi
rajiun...
Saya yakin, situasi ini bukan sahaja berlaku di kampung
saya, tetapi juga banyak berlaku di tempat-tempat lain di negara kita.
Wallahu ‘alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan