Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Ahad, 10 Jun 2012

CATATAN MAFATIH MAHABBAH 6. (27-29 MEI)

Oleh: Suhili bin Nain.

HARI PERTAMA.
Jam sudah menunjukkan lebih kurang jam 10 pagi apabila saya sampai di perkarangan sekolah. Keadaan  masih lengang dan sunyi sepi, nampaknya baru saya seorang sahaja yang sampai untuk persiapan sebelum beberapa jam lagi akan bermulanya program Kem Mafatih Mahabbah yang keenam yang bertempat di Permai D’Valley Ratau.
            Tanpa membuang masa, sementara menanti rakan-rakan setugas yang lain tiba, saya cuba menyambung kerja menyiapkan kad nama bagi peserta, fasilitator dan urus setia yang diamanahkan kepadsaya oleh Cikgu Jah. Sepatutnya kad nama tersebut sudah disiapkan semalam, tetapi kerana fikiran yang tidak menentu dan serasa kusut memikirkan perkara-perkara tertentu, saya pun menundanya, kerana berkira-kira saya mampu menyiapkannya dalam masa yang singkat sebelum bermulanya program pada hari ini.
            Beberapa ketika mereka bentuk kad nama peserta, kedengaran bunyi kenderaan di luar halaman sekolah. Sebuah kereta Proton Saga berwarna ungu parkir di halaman sekolah, nampaknya Cikgu Jah sudah pun sampai. Kemudian beberapa ketika datang pula sebuah van Pregio yang saya sendiri tidak begitu kenal, tetapi melihat daripada wajah lelaki yang memandu van tersebut, kemungkinan itu keluarga Dehya, kerana wajahnya begitu mirip dengan wajah Dehya.
            Tidak lama setelah itu rakan setugas yang lain mulai tiba, Ustaz Safwan, Ustazah Rozela, Ustaz Farridz, dan lain-lain. Kami membahagikan tugas masing-masing bagi  melincinkan perjalanan program. Setelah jam menunjukkan lebih kurang jam 1 petang, barulah kami semua bertolak ke Permai D’Valley Ratau.
Saya dan Yusuf menaiki Perodua Viva berwarna putih yang dipandu oleh Ustaz Farridz.
            Setibanya di tapak program yang bertempat di Kampung Ratau, kami memindahkan barang-barang yang diperlukan sepanjang kem berlangsung. Pada masa yang sama Ustazah Rozela dan Ustazah Heriane yang bertanggungjawab di bahagian pendaftaran sudah bersedia berhampiran dengan pintu masuk Permai D’Valley Ratau.
            Alhamdulillah, berbanding pada tahun lepas, jumlah peserta program pada kali ini adalah cukup memberansangkan. Pada tahun lepas jumlah peserta yang menyertai program Mafatih Mahabbah hanyalah seramai 30 lebih orang, tetapi pada kali ini jumlah peserta telah mencecah lebih kurang 50 orang. Mungkin kerana program pada tahun lepas hanya berlangsung dalam perkarangan sekolah, dan kurang menarik minat para murid-murid sekolah.
Kita Hanya Merancang.
            Memandangkan siri mesyuarat dan perbincangan perlaksanaan program ini hanya dihadiri oleh beberapa orang urus setia dan fasilitator sahaja, sementara beberapa fasilitator lain tidak dapat menghadirkan kerana mempunyai urusan masing-masing, pada awal program ini terdapat sedikit kelam kabut.
            Walau bagaimanapun, untuk mengatasi masalah tersebut kami telah bersetuju untuk menetapkan sebelum bermulanya program pada jam 3 petang, para urus setia, fasilitator dan mereka yang terlibat akan bermesyuarat sekali lagi di tapak program untuk penjelasan tugas masing-masing. Namun begitu, mesyuarat tersebut tidak dapat dilaksanakan dan ditunda ke malam hari pada waktu post-mortem berlangsung.
            Pada hari pertama ini berlaku beberapa perubahan jadual program, disebabkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Waktu malam malam yang sepatutnya sebelum pada waktu maghrib ditunda selepas menunai solat fardhu Maghrib secara berjemaah. Meskipun begitu, kuliah Maghrib tidak dikeluarkan daripada aktiviti program; hanyasaja waktunya dipendekkan dalam lebih kurang 15 minit sahaja.

HARI KEDUA.
Jam menunjukkan 3.30 pagi, seruan untuk bangun daripada tidur sudah kedengaran. Para peserta diminta untuk mempersiapkan diri bagi acara Qiamullail yang dipimpin oleh Ustaz Safwan, kemudian diteruskan dengan solat Subuh dan tazkirah, namun saya tidak mengikuti Qiamullail tersebut.
Selepas bersiram, saya pergi ke dapur memasak air panas untuk membuat secawan nescafe panas bagi menghilangkan rasa mengantuk dan menghangatkan badan yang kedinginan. Apabila iqamah subuh dikumandangkan barulah saya pergi ke surau untuk solat mendirikan solat berjemaah. Bersama para peserta
Matahari sudah mula terbit daripada ufuk timur. Para peserta program melakukan aktiviti regangan dan senaman yang dipimpin oleh Ustaz Farridz di kawasan padang lapang berhadapan tempat penginapan, sebelum bersarapan pagi di dewan terbuka. Sementara itu, Ustaz Safwan, Yusuf dan saya pergi meninjau sekeliling kawasan bagi acara Jungle Tracking.
Bercucuran juga keringat saya mengawal peserta program bersama rakan-rakan, memandangkan jumlah mereka yang begitu ramai dan selalu salah faham arahan yang diberikan.
            Selesai aktiviti Jungle Tracking para peserta diarahkan pula untuk berkumpul semua di kawasan padang bagi acara Dinamic Games. Saat ini matahari sudah begitu meninggi ke atas langit, panasnya amat terasa dikulit saya yang sedikit gelap.
            Pada waktu petang, acara LDK 1 bermula pada lebih kurang pada jam 1 suku. Kesemua kumpulan bersama fasilitator masing-masing diberikan masa sejam lebih untuk berbincang mengenai persembahan pada Malam Apreseasi Sesi, dan para peserta diberikan kebebasan untuk memilih persembahan yang ingin disampaikan.
Sesuatu yang Tidak Saya Fahami.
            Satu perkara yang tidak saya fahami apabila menonton persembahan empat buah kumpulan pada malam tersebut. Kesemuanya cenderung melakonkan sebuah situasi yang berbentuk negatif yang memaparkan perkara-perkara yang kurang elok. Mengapa berlaku sedemikian rupa? Saya sendiri kurang faham.
Menurut cadangan dalam post-mortem pada malam kedua, sesuatu perlu dilakukan. Pada masa hadapan tema dan konsep yang ingin dibawa dalam persembahan oleh para peserta mestilah dipantau ataupun diberikan garis panduan agar tidak begitu menyerlah dan cenderung kepada imej-imej yang negatif.

HARI KETIGA.
Pasti Saya Rindui.
Pada hari terakhir suasana terasa sedikit berbeza, mungkin kerana ini adalah terakhir program ini. Setiap pertemuan ada perpisahan. Melalui detik-detik bersama rakan-rakan dan para peserta yang penuh dengan kegembiraan dan keakraban sepanjang program pasti akan saya rindui selepas ini. Wajah-wajah yang ceria, tersenyum gembira, walaupun adakala lesu dan muram, itulah lumrah dunia.
Mulakan Hari Dengan Positif.
            Jika pada subuh sebelumnya para peserta dibangunkan pada jam 3 setengah pagi, pada pagi ini para peserta dibangunkan pada jam 4 pagi, memandangkan tiada acara Qiamullail dilakukan. Ini untuk memberikan peluang kepada para peserta untuk berehat dengan secukupnya sebelum menghadapi aktiviti SAR Explore-Race yang pastinya akan memerlukan banyak tenaga.
            Acara Streching dan regangan pada pagi ini dipimpin oleh Kak Zareena Jumat, Abang Ikhwan dan Abang Dehya dengan cara yang berbeza daripada hari sebelumnya. Alhamdulillah, para peserta terhibur dan gembira di awal pagi. Mulakan hari dengan sesuatu yang gembira dan positif.
SAR Explore-Race.
            Setelah mengisi perut dengan sarapan pagi mee goreng, kuih dan teh para peserta meneruskan aktiviti seterusnya, iaitu acara SAR Explore-Race pada jam 7 setengah pagi. Setiap kumpulan diberikan taklimat dan klu di awal aktiviti, dimana setiap kumpulan dikehendaki untuk pergi ke stesen-stesen tertentu yang telah ditetapkan dan melakukan tugasan seperti yang tercatat pada nota kecil yang mereka temui. Sekiranya mereka berjaya melaksanakan tugasan dengan baik dan memuaskan, maka mereka akan diberikan klu untuk ke stesen yang seterusnya oleh fasilitator dan urus setia yang bertugas.
            Terdapat 5 stesen kesemuanya. Saya bertugas di stesen keempat yang terletak di Surau; untuk mengurus para peserta lelaki, manakala Ustazah Rozela yang juga bertugas di stesen keempat pula bertugas untuk mengurus peserta perempuan dibahagian perempuan.
            Akhirnya, lebih kurang 2 jam kemudian ke semua tugasan SAR Explore-Race yang diperancangannya diketuai oleh Cikgu Huda telah berjaya diselesaikan oleh kesemua kumpulan.
Muhasabah Sebelum Berpisah.
Berakhirnya aktiviti SAR Explore-Race, maka berakhirlah aktiviti yang memerlukan stamina dan tenaga yang banyak bagi Mafatih Mahabbah kali ini. Para peserta diberikan peluang berehat, dan pada masa yang sama berkemas untuk persediakan bagi acara terakhir, Resolusi sebelum penutupan dan penyampaian hadiah.
            Setelah memastikan kesemua bilik dikemaskan, dan tiada barang yang tertinggal para peserta pun diarahkan berkumpul semula di dewan terbuka bagi aktiviti Resolusi. Aktiviti Resolusi ini dipimpin oleh dua orang fasilitator jemputan iaitu Kak Zareena dengan dibantu oleh Abang Nazreen, dimana para peserta dan para hadirin yang berada di dalam dewan akan dibawa bersama-sama untuk muhasabah dan merenung diri.
            Antara yang menjadi isi utama Resolusi adalah mengenai hubungan seorang anak dan ibubapa, adakah sebagai seorang anak kita telah menunaikan tanggungjawab terhadap ibubapa kita. Turut disentuh tentang persahabatan dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Taรกla. Terdapat peserta yang mengalirkan air mata kerana tersentuh dengan pengisian yang disampaikan, dan terdapat juga ibubapa yang tersentuh sehingga mengalirkan air mata. Kepada Allah dipanjatkan segala keampunan dan pengharapan.
            Menjelang acara penutupan, ibubapa yang hadir untuk menjemput anak mereka semakin ramai. Alhamdulillah, meskipun acara penutupan program ini diadakan pada hari selasa yang biasanya merupakan waktu kerja, tetapi kehadiran daripada ibubapa adalah begitu baik. Ini menunjukkan komitmen para ibubapa terhadap anak-anak mereka yang menyertai program ini dan pihak sekolah.
Akhir Pertemuan.
Lebih kurang jam 12 setengah tengahari program Mafatih Mahabbah keenam yang berlangsung pada tahun 2012 akhirnya melabuhkan tirainya. Selepas penyampaian hadiah, menjamu selera para peserta dan ibubapa pun beransur pulang meninggalkan tapak program, serentak itu Permai D’Valley Ratau yang riuh gelagat para peserta selama 3 hari 2 malam mula beransur sunyi.
            Perasaan sepi mulai terasai dalam hati saya. Terasa seperti mahu sahaja program ini diteruskan, tetapi apakan daya, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap permulaan ada akhirnya, itu lumrah hidup kita sebagai manusia. Pelbagai kegembiraan, senyuman dan kenangan yang dilalui bersama para peserta, rakan urus setia dan fasilitator pasti akan saya rindui sebagai salah satu kenangan hidup ini.
            Rasa terharu, sayu dan sedih. Macam-macam ada, bak kata pak cik yang berada dalam iklan astro. Apa-apa pun, alhamdulillah, syukur sangat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana program yang yang dirancang ini telah berjaya akhirnya. Walaupun terdapat kekurangan pada beberapa tempat, yang penting kami sudah mencuba yang terbaik untuk program kali ini. Sesungguhnya segala kesempurnaan itu hanya milik Allah Subhanahu wa Ta’ala, segala kekurangan semoga dapat diperbaiki untuk program masa akan datang.
            Seandainya ada masa dan waktu, dan saya masih bertugas sebagai guru di SAR Ummil Al-Hidayah, Taman Kuala Menggatal, pada tahun hadapan, acara Mafatih Mahabbah adalah suatu acara yang akan saya nanti-nantikan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan