Oleh: Suhili bin Nain.
Hari ini saya kembali ke sekolah, selepas bercuti selama 2 minggu. Kertas soalan murid-murid yang masih belum habis disemak bertingkat-tingkat di atas meja, sedangkan hari untuk ibubapa mengambil rekod kecemerlangan anak-anak mereka sudah semakin hampir.
Allah! Apa yang sudah saya lakukan selama 2 minggu lebih?
Sebelum cuti saya membawa kesemua kertas soalan untuk disemak dirumah, akan tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Begitu banyak masa terhabis digunakan atas perkara-perkara yang tiada prioriti. Facebook, buku, menulis, blog, bandar.
Syukurlah dikhabarkan ada seminggu lagi untuk menghabiskan semakan kertas soalan sebelum hari penyerahan rekod kecemerlangan murid-murid.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
“Dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan daripada manusia; kesihatan dan kelapangan.” (Riwayat al-Bukhari)
Benarlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam di atas. Kita sebagai manusia sering kali terlalai dan terleka dengan dua nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita itu; kesihatan dan kelapangan.
Apabila ada masa lapang, jarang digunakan sebaiknya untuk perkara yang berfaedah. Apabila digunakan kepada perkara yang berfaedah pula, terkadang kita mengesampingkan perkara yang perlu diutamakan. Dan mendahulukan perkara-perkara sampingan.
Akhirnya, apabila masa lapang itu terluput barulah kita tersedar betapa pentingnya kelapangan yang Allah Ta’ala telah berikan kepada kita.
Ketika masa sihat, kerja yang ada selalu ditunda-tunda. Berangan-angan nanti ataupun esok masih ada masa. Angan-angan yang akhirnya membinasakan kehidupan, dan begitu disukai pula oleh syaithan.
Benarlah pesanan Abdullah ibn `Umar Radhiallahu ‘anh yang diriwayatkan dalam Arbain an-Nawawiyyah. Apabila berada di pagi hari janganlah menanti sehingga waktu petang. Apabila di petang hari janganlah menanti esok pagi.
Menunda-nunda amal kebaikan, dan perkara-perkara yang perlu dijadikan keutamaan, di akhirnya akan mengundang kecundang.
Menunda-nunda amal kebaikan, dan perkara-perkara yang perlu dijadikan keutamaan, di akhirnya akan mengundang kecundang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan