Oleh: Suhili bin Nain.
UNTUK APA MENULIS?
“Apa gunanya menulis buku, dan artikel agama? Sudah begitu banyak artikel agama di internet, dan sudah begitu berlambak-lambak buku agama yang berada dipasaran berkisarkan tajuk yang hampir sama. Untuk apa lagi menulis buku dan artikel lagi? Sepatutnya kita tumpukan pada penyampaian apa yang terkandung dalam buku-buku tersebut, bukannya menambah buku dan penulisan yang ada.”
Kata-kata itu sering berlegar dalam fikiran saya beberapa minggu yang lepas, dan sejujurnya ia telah membuatkan semangat untuk saya menulis menurun ke bawah. Impian saya untuk menjadi penulis berjaya difikir-fikir semula.
Perkataan itu ada benarnya. Mungkin saya perlu tumpukan untuk mengajar saja, keluarkan ilmu yang tersimpan di dalam buku-buku dan menyampaikannya kepada orang di sekeliling saya.
Akan tetapi, apabila baru-baru ini saya berkunjung ke kedai buku di Wisma MUIS, dan melihat begitu banyak buku-buku baru yang tiba ada sesuatu yang membimbangkan saya.
Kebanyakan buku-buku baru yang tiba itu adalah buku yang mengandungi fakta-fakta yang kurang tepat, dan tidak kurang juga buku-buku mengandungi syubhat-syubhat yang bertentangan dengan manhaj Salafus Soleh. Antaranya ada yang dijual secara begitu meluas.
Dengan itu, saya meneguhkan keputusan untuk terus menulis. Menulis untuk berkongsi apa yang saya ketahui daripada ilmu yang berdasarkan kefahaman Salafus Soleh di atas disiplin ilmu yang shahih.
Sebagaimana gigihnya orang-orang yang menyelisihi manhaj Salafus Soleh untuk menulis, saya juga perlu kegigihan yang sama.
Selain itu, saya berharap apa yang saya tuliskan itu akan menjadi ilmu yang bermanfaat yang akan menjadi rantaian pahala yang tidak putus-putus apabila saya sudah meninggal dunia.
IMPIAN YANG MASIH JAUH.
Saya ingin terus menulis. Menulis sesuatu ataupun perkara yang memberikan manfaat kepada diri dan orang yang lain. Meskipun saat ini saya sudah menghasilkan sebuah buku yang berjudul “Pesanan Buat Diri”, saya masih merasakan impian untuk menjadi penulis berjaya itu masih begitu jauh untuk dikecapi.
Banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari dalam bidang penulisan. Memandangkan saya tidak pernah berpeluang mengikuti mana-mana kursus penulisan, maka usaha yang saya mampu lalukan saat ini hanya membeli buku-buku teknik penulisan, membaca dan cuba memahami teknik-teknik yang dipraktik oleh penulis-penulis yang berjaya.
Tidak cukup dengan memahami teknik dan kaedah penyampaian para penulis lain, adakalanya saya cuba untuk mencuba mengikut gaya penulisan mereka. Oleh itu, jika para pembaca memerhatikan artikel-artikel yang disiarkan dalam blog ini, pasti akan para pembaca sedari terdapat pelbagai gaya tulisan yang berbeza beza. Termasuk pada artikel yang anda sedang baca ini.
Sepanjang hari ini, masa lebih banyak saya habiskan di depan komputer untuk melayari sebuah laman web yang begitu terkenal di tanah air. Saya membaca, memerhati dan cuba memahami teknik penyampaian penulis yang membuatkan laman web beliau begitu diterima ramai.
Alhamdulillah, usaha yang lakukan beberapa ketika itu tidak sia-sia.
“Untuk menjadi seorang yang berjaya, kita perlu menurut jejak orang yang berjaya”
Demikian perkataan yang biasa kita dengar dan sering diajarkan semenjak di bangku sekolah rendah. Maka dengan itu saya cuba memerhatikan langkah-langkah orang yang berjaya yang berada di sekeliling, untuk memahami bagaimana mereka boleh mencapai apa yang mereka ada saat ini.
Satu kejayaan yang bermakna, tidak berlaku dengan sehari dua, tetapi ianya didirikan atas banyak usaha yang terus menerus, tidak mengenal erti putus asa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan