Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Ahad, 26 Februari 2012

CATATAN PENGALAMAN DILORONG SUFI.

Oleh: Suhili bin Nain.


SOALAN YANG SERING DITANYA.
Kelmarin, ketika chat di laman sosial, Facebook, seorang sahabat bertanya kepada saya mengenai golongan sufi. Beliau bertanya, adakah saya percaya tentang tareqat sufi dalam syariat Islam, ataupun secara lebih tepatnya, adakah saya berpegangan tareqat sufi itu sebagai kelompok yang lurus jalannya mengikut ajaran Islam yang murni, ataupun menyeleweng daripada jalan yang sebenarnya.
           Sufi, tareqat dan tasawuf. Tiga perkataan yang berkait rapat dan merujuk kepada perkara yang sama.
         Saya sudah lupa, ini kali ke berapa saya di tanya soalan yang lebih kurang demikian. Yang pastinya, bukan sekali dua soalan sebegitu diajukan kepada saya. Malah, suatu saat dulu, diawal saya berusaha untuk mendalami ilmu agama, saya  juga pernah bertanya soalan yang sama kepada para ustaz dan orang lain.
          Sesungguhnya, bertanya itu adalah salah jalan dan satu usaha untuk menambah ilmu.
          Soalan yang diajukan itu membuatkan saya mengimbau semula lipatan kisah silam, di saat saya pernah meneladani jalan hidup para sufi. Suatu masa dahulu, saya pernah mempelajari ilmunya dan membaca kitab-kitab para sufi daripada guru, dengan niat untuk mencapai makrifatullah, tetapi tidaklah pernah saya sampai berbai’ah dan masuk ke dalam tareqat tertentu. Kini, jalan itu sudah saya tinggalkan kerana ingin menuruti jejak Salafus Soleh, golongan terbaik umat ini.

BAGAIMANAKAH AJARAN SUFI?
Pengertian sufi daripada segi bahasa dan istilah mempunyai perbahasan yang cukup panjang. Dalam kalangan ilmuan, pengertian sufi daripada segi bahasa mempunyai pelbagai takrifan. Justeru, di sini saya tidak akan membahaskan mengenai maksud sufi daripada segi bahasa, mahupun istilah. Cukup sekadar menyentuh sufi itu daripada inti dan ajarannya serta ciri-cirinya yang pernah saya temui.
Antara ciri-ciri ahli sufi yang saya temui suatu masa dahulu, ahli sufi itu merujuk sekelompok manusia yang hendak menuju makrifatullah, berbicara tentang perkara-perkara ghaib yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, beribadah dan bertaqarrub dengan cara yang jauh daripada sunnah. Mereka menempuhi jalan-jalan yang kelihatannya berbentuk zuhud dan membelakangi dunia serta menuju akhirat, tetapi hakikatnya jalan yang tempuhi mereka tidak selurus jalan yang ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.
Sebagai contoh, dalam sebuah tareqat sufi di tanah air, yang saya kenali melalui seorang sahabat yang juga ahlinya, dia berkata, dalam jasad manusia itu ada istana syaitan yang terletak di bawah lambung hati manusia. Apabila seseorang itu berzikir dalam jumlah yang banyak (saya tidak ingat berapa jumlahnya, namun yang pasti 10 ribu ke atas) maka istana syaitan yang terbina di bawah lambung hati manusia akan musnah, lalu hati itu akan menjadi yang suci. Dia berkata juga zikir menurut tareqat yang diikutinya juga ada pelbagai tahap. Ada zikir Latifus Sir, Latiful Qalbi mengikut kedudukan mata hati yang terletak di tubuh manusia.
Saya pelik, daripada manakah datangnya zikir tahap Latifus Sir, zikir Latiful Qalbi? Daripada manakah dia mengetahui ada mahligai syaitan di bawah lambung hati manusia dan juga kedudukan mata hati manusia, sedangkan semua itu perkara ghaib?
Sahabat saya yang lain pula, juga daripada tareqat yang sama, berkata, bahawa alam ini diciptakan daripada Nur Allah ataupun cahaya Allah, barangsiapa yang mencapai makrifatullah, maka dia tidak akan dapat melihat Nur Allah itu di mana-mana sahaja, termasuklah di tempat yang kotor pada pandangan syariat.
Maha suci Allah s.w.t daripada sebarang kekurangan.
Dan berdasarkan pengalaman saya, dalam dunia sufi, manusia itu dibahagikan kepada beberapa maqam (tahap) menurut mereka. Ada maqam yang rendah, dan ada maqam yang tinggi. Setiap kali seseorang itu meningkat daripada satu maqam, maka dia akan diberikan kalimah zikir yang tertentu mengikut tahapnya oleh syeikhnya (sekiranya dia menyertai sesebuah tareqat).
Contohnya, orang yang berada para peringkat awal jalan sufi diajarkan agar berzikir dengan kalimah zikir “La ilaha illallah”, kemudian apabila naik ke maqam seterusnya seseorang itu akan diperintahkan oleh syeikhnya untuk berzikir dengan kalimah zikir “Allah, Allah, Allah” berulang kali, maqam seterusnya pula diperintahkan agar berzikir dengan kalimah “huwa huwa huwa”, sehinggalah yang seterusnya. Biasanya jumlah zikir tersebut akan ditentukan oleh syeikhnya secara tetap, seperti 10 ribu hitungan zikir setiap sehari dan sebagainya.
Dikatakan juga, zikir pada setiap maqam tersebut adalah lebih baik daripada zikir yang sebelumnya. Sedangkan yang maklum di dalam sunnah, sebaik-baik zikir adalah kalimah zikir “La ilaha illallah”, tidak kira sama ada seseorang itu kuat ataupun lemah imannya. Tidak pernah diajarkan dalam sunnah agar seseorang berzikir dengan kalimah tunggal “Allah, Allah, Allah”, dan juga “Huwa, huwa, huwa”.
Seorang ulama yang bernama Ibnul Jauzi adalah mengkritik golongan sufi dalam kitabnya yang bernama Talbisul Iblis. Beliau mengulas tentang tipudaya syaitan ke atas para ahli sufi, serta penyelewengan mereka secara panjang lebar.


AMALAN BERSANAD HINGGA SAHABAT NABI S.A.W?
Antara perkara yang biasa diucapkan oleh kelompok tareqat tertentu, “Tareqat kami bersambung sanadnya sampai Sayyidina Ali r.a.”, “Tareqat kami bersambung sanadnya sampai kepada Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a.”, dan ada juga yang berkata, “Tareqat kami bersambung sanadnya sampai kepada Jibril a.s dan juga Allah s.w.t.
          Setiap tareqat mengakui bahawa apa yang mereka amalkan dalam tareqat mereka bukanlah dibuat-buat atau diada-adakan, tetapi ianya adalah berdasarkan ajaran yang diriwayatkan daripada sahabat-sahabat yang tertentu.
Jujur saya akui, saya sebenarnya ragu sejauh manakah kebenaran sanad yang dikatakan oleh setiap kelompok tareqat yang wujud pada hari ini.
Sepanjang saya membaca buku-buku sufi dan bersama dengan sahabat-sahabat daripada kalangan ahli sufi, satu kesalahan yang jelas saya lihat, mereka yang terdiri daripada kelompok sufi itu mempunyai sikap yang tidak teliti dalam menyampaikan dan meriwayatkan hadis. Apakah hadis yang mereka sampaikan shahih ataupun tidak, itu bukan masalah yang besar bagi mereka.
Disebabkan itu, saat saya bergaul bersama mereka, saya sering mendengar hadis-hadis yang palsu dan dhaif, serta kisah-kisah pelik yang ganjil. Contohnya hadis palsu “Barang siapa kenal dirinya, maka dia kenal Tuhannya.
Daripada situ, saya berfikir, apa yang dikatakan oleh kebanyakan kelompok ahli sufi, bahawa sanad tareqat mereka adalah sampai kepada sahabat Rasulullah s.a.w., Jibril a.s dan Allah s.w.t adalah tidak boleh dijadikan penjamin dan pengukur kebenaran atas apa yang mereka lakukan.
Sekiranya dalam soal hadis pun mereka tidak teliti dan berhati-hati, sudah tentulah dakwaan mengenai sanad yang mereka katakan itu apa-apa pun boleh terjadi.

AHLI SUFI MEMPUNYAI KARAMAH?
Saya percaya dalam kalangan manusia, terdapat manusia pilihan Allah s.w.t yang dikurnikan-Nya karamah. Mempercayai wujudnya karamah adalah wajib dan ianya merupakan salah satu daripada prinsip dalam pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mengingkari keberadaan karamah boleh membuatkan seseorang terkeluar daripada kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah.
          Sesetengah orang ada berkata, “Kalau sufi itu tidak benar jalannya, mengapa di antara mereka itu ada yang memiliki karamah?
          Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu fahami, tidak semua perkara ajaib dan pelik yang berlaku kepada seseorang itu boleh dikatakan sebagai karamah. Malah, berlakunya perkara ajaib itu tidaklah menjamin benarnya jalan seseorang itu.
          Barangsiapa yang mampu terbang di udara, berjalan di atas air dan melakukan pelbagai perkara pelik, tetapi perlakuannya tidak selaras dengan sunnah, maka yang ketahuilah dia adalah syaitan ataupun orang yang disesatkan oleh syaitan dengan perkara-perkara yang ganjil.
          Oleh itu, janganlah kita mudah terpedaya dengan perkara ajaib dan pelik yang berlaku ke atas seseorang. Paling penting, timbanglah perbuatan seseorang itu dengan neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah berdasarkan kefahaman Salafus Soleh, itulah petunjuk kebenarannya yang sebenarnya.

SUFI DAN PENYUCIAN JIWA.
Saya tidak menyatakan sufi itu menyimpang sekiranya yang dikatakan sufi itu hanya merujuk kepada ilmu untuk membersihkan jiwa daripada akhlak tercela, dan mendidik jiwa dengan sifat mahmudah semata-mata. Ini kerana penyucian jiwa yang sedemikian itu sememangnya termasuk dalam ajaran Islam yang murni.
Apa yang saya tolak dan tidak setuju adalah, bila mana dikatakan untuk penyucian jiwa itu maka seseorang itu wajib terlibat dalam sesebuah kelompok tareqat yang berbicara tentang tingkatan nafsu, perkara-perkara ghaib yang tidak berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah, menyerahkan diri kepada syeikh tareqat tanpa soal bicara, berzikir dengan kalimah dan jumlah tertentu berdasarkan tahap seseorang dan pelbagai lagi perkara yang tiada di dalam sunnah Nabi Muhammad s.a.w. demi untuk menuju penyucian jiwa.
Seandainya kita mengamalkan kesemua sunnah Rasulullah s.a.w dan menuruti jejak Salafus Soleh yang telah dijamin kebaikannya, itu sudah memadai untuk kita menyucikan jiwa dan menuju redha Allah s.w.t.
Menurut para ulama yang berpijak di atas manhaj Salaf, sekiranya dikatakan sufi itu hanya membahaskan tentang soal akhlak dan penyucian jiwa, maka nama yang lebih layak baginya adalah ilmu “Tazkiyatun Nafs” yang bermaksud penyucian jiwa, dan bukannya dinamakan sufi, kerana penamaan sufi itu sendiri adalah kurang tepat.
Contoh kitab yang amat baik berkaitan penyucian jiwa adalah Mukhtasar Minhajul Qashidin karya Ibnu Qudamah Al-Maqdisi, Riyadhus Solihin karya Imam An-Nawawi, Al-Ubudiyyah karya Ibnu Taimiyyah, Madarijus Salikin karya Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dan banyak lain.

KESIMPULAN.
Sebagai kesimpulannya, penyucian jiwa itu adalah perlu bagi manusia dan ianya wajib dipelajari oleh setiap orang Islam, dan ia merupakan salah satu daripada ajaran Islam. Namun begitu, untuk penyucian jiwa kita tidak perlulah berbaiah kepada tareqat-tareqat yang tertentu. Cukup dengan berpegang teguh, menghayati dan beramal dengan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah berdasarkan kefahaman Salaf Soleh, ianya sudah mencukupi untuk kita menyucikan jiwa daripada akhlak tercela.
          Ilmu yang membahaskan tentang pembersihan akhlak tercela dan mendidik jiwa dengan akhlak mulia, adalah lebih baik dinamakan ilmu Tazkiyatun Nafs, ini kerana penamaan ilmu tersebut dengan sufi membuatkan ramai orang terkeliru antara ilmu penyucian jiwa yang merupakan ajaran Islam yang murni dan jalan para sufi yang dicemari pelbagai perkara yang diada-adakan.
          Diharapkan, catatan yang saya tuliskan pada kali ini dapat memujuk minda kita untuk berfikir dan merenung setiap jalan yang kita tempuhi dalam menuju penyucian jiwa serta menuju redha Allah s.w.t. agar selaras dengan ajaran Salafus Soleh.

Wallahu ‘alam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan