Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Rabu, 22 Februari 2012

SAAT TINTA BERALIH ARAH.

Oleh: Suhili bin Nain.

PERLU SABAR MENINGGALKAN LARANGAN.
Sudah beberapa hari selepas blog Cerpen Dakwah menghentikan penyiaran cerpen rekaan. Meskipun saat saya menghentikan penulisan cerpen rekaan sebagai medium dakwah mulai hari khamis minggu lepas, terasa berat pada awalnya. Alhamdulillah, setelah beberapa ketika hati ini akhirnya tenang untuk menerima ketetapan apa yang berlaku; bahawa menulis cerita rekaan sebagai medium dakwah adalah sesuatu yang tidak dibolehkan. Demikian jawapan daripada Syaikh Abdul Karim Al-Ghudayyah yang dikhabarkan oleh Ustaz Muhammad Asrie Sobrie kepada saya.
          Kebiasaannya begitulah sifat hati kita sebagai manusia. Bukan selalunya hati kita mudah untuk menghadapi setiap perubahan terhadap sesuatu yang sudah sebati dalam jiwa kita. Adakalanya kita dapat menerima sesuatu dengan hati yang bersifat lapang dan terbuka, dan adakalanya pula kita terasa berat dan tidak mudah, sehinggakan hati kita memerluan dididikan agar bersabar dan redha. Sungguh benarlah kata para ulama, kesabaran itu bukan saja perlu untuk mentaati Allah s.w.t, tetapi ia juga diperlukan untuk meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.
          Hati yang berat dan jiwa yang pedih bukanlah lesen untuk kita meneruskan perkara-perkara yang dibenci oleh agama. Apatah lagi cubaan untuk berdalih dan beralasan bagi meneruskan kesilapan yang kita lakukan. Sebaliknya itulah peluang untuk kita mendidik jiwa dan nafsu agar tunduk kepada perintah Allah s.w.t.
Sikap para sahabat r.anhum ajmain yang terdahulu amat wajar untuk kita kagumi dan contohi. Mereka yang dididik dalam madrasah Rasulullah s.a.w itu, apabila turun sahaja perintah daripada Allah s.w.t, maka cepat-cepat mereka berusaha untuk melaksanakannya, tanpa berdalih ataupun berdolak-dalik mencari alasan. Semua itu mereka mereka laksanakan dengan penuh kerelaan, kerana cinta kepada Allah s.w.t dan rasul-Nya. Kami dengar dan kami taat, itulah prinsip mereka terhadap perintah Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

TRANSFORMASI BLOG CERPEN DAKWAH.
Dalam beberapa hari yang lepas saya dapat rasakan momentum saya dalam penulisan menurun secara mendadak, memandangkan aktiviti menulis cerita rekaan telah berhenti serta-merta. Bukan disebabkan rasa lemah dan berputus asa, tetapi kerana hendak mencari gaya penulisan dan pendekatan baru dalam menyampaikan kebaikan menurut kemampuan yang saya ada.
          Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan terakhir blog Cerpen Dakwah; bahawa blog Cerpen Dakwah kemungkinan akan berubah wajah, maka itulah yang sedang anda tatapi saat ini, sebuah blog yang bernama Aku, Dunia & Islam. Blog ini asalnya adalah tapak blog Cerpen Dakwah, lalu ianya diubah suai kepada bentuk yang baru, bagi meneruskan usaha untuk menyebarkan Islam di atas kefahaman Salafus Soleh di alam maya.
          Insya’ Allah, berbanding blog Cerpen Dakwah, pendekatan dan penyampaian yang  saya gunakan dalam perkongsian melalui blog ini adalah berbeza daripada blog sebelumnya. Tidak hanya memfokuskan penyampaian menggunakan penulisan cerita yang benar, tetapi juga kepada bentuk penulisan lain, seperti artikel ulasan, puisi, perbahasan ilmu dan sebagainya.
          Sebelum mengakhiri tulisan pada kali ini, suka untuk saya nyatakan; diharapkan apa yang bakal dikongsikan di sini akan memberikan manfaat kepada kita bersama-sama; bukan saja buat diri saya, tetapi juga buat anda yang berkunjung ke mari. Sekian saja pertemuan kita untuk saat ini, semoga kita berjumpa lagi dalam penulisan yang seterusnya, dalam penulisan ilmu, peringatan dan renungan buat merentasi kehidupan di dunia yang serba fana ini. Insya’ Allah...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan