Soalan:Saya melihat hari ini terdapat kebiasaan dalam masyarakat kita perbuatan menggantungkan ukiran ataupun membuat tulisan khat Al-Qur’an di dinding, sama ada masjid ataupun rumah. Apakah perbuatan tersebut diperbolehkan?
Jawapan: Berdasarkan kata-kata Imam An-Nawawir.h dalam At-Tibyan Fi Adab Hamalah Al-Qur’an, bahawa di sisi Mazhab Asy-Syafi’e perbuatan tersebut adalah tidak disukai dan dibenci. Dan saya cenderung untuk mengikuti pendapat beliau.
Sebagaimana yang difahami tujuan Allah s.w.t menurunkan Al-Qur’an adalah sebagai petunjuk bagi umat manusia. Allah s.w.t menurunkan Al-Qur’an dalam bahasa arab, untuk dibaca dan difahaminya dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, perbuatan menjadikan Al-Qur’an sebagai perhiasan di dinding adalah satu perbuatan yang menyalahi tujuan Al-Qur’an diturunkan.
“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Shaad : 29)
Berdasarkan fatwa Syaikh Muhammad bin Shaleh Al-Uthaimin r.h, sekiranya tujuan menggantung ayat Al-Qur’an itu adalah untuk dijadikan pendinding ataupun pelindung daripada bahaya, maka ianya tidak akan memberikan manfaat. Ini kerana, Al-Qur’an itu hanya akan memberikan manfaat dan menjadi pelindung seseorang itu daripada keburukan apabila dia mengamalkannya.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa membaca ayat kursi di suatu malam, maka Allah sentiasa memberi penjagaan bagi orang tersebut dan dia tidak akan didekati syaitan sehingga pagi hari.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Sekiranya tujuan menggantung ayat Al-Qur’an tersebut adalah peringatan sebagai peringatan buat manusia, maka ianya sudah menyalahi jalan para Salafus Soleh. Bahkan sekiranya kita lihat, kebanyakan khat tulisan Al-Qur’an yang digantung atau diukir pada dinding hari ini adalah begitu susah untuk dibaca. Sekiranya sedemikian, maka bagaimanakah ianya mampu memberikan peringatan dan kesedaran kepada yang memandangnya?
Sesungguhnya, cara yang benar untuk mengingatkan manusia terhadap Al-Qur’an adalah dengan mengadakan majlis ilmu untuk menggali ilmu yang tersimpan di dalamnya. Ataupun dengan menghadiahkan Al-Qur’an kepada seseorang.
Akhir kata, sekiranya kita berpegang teguh dengan Al-Qur’an serta mengamalkannya, nescaya Allah s.w.t. melimpahkan kemuliaan dan kemenangan kepada kita kepada kita. Namun sekiranya kita hanya menjadikan Al-Qur’an sekadar perhiasan dan tidak beramal dengannya, maka kehinaan akan menimpah kita dimana-mana saja.
“Barang siapa mengucap “Subhanallahi wa bihamdihi” (Ertinya: Maha suci Allah dan pujian bagi-Nya) dalam harinya seratus kali, digugurkan dosa-dosanya, sekalipun ia seumpama buih dilautan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5926)
KEFAHAMAN SEPINTAS LALU.
Sekiranya kita membaca hadis di atas secara sepintas lalu, sudah tentu kita akan berpendapat bahawa dosa yang digugurkan di dalam hadis di atas adalah meliputi segala bentuk dosa, sama ada dosa kecil atau pun dosa besar, meskipun ianya sebanyak buih dilautan.
Namun sudah benarkah kefahaman kita berkenaan hadis di atas?
Hakikatnya, apabila kita telusuri perbincangan para ulama berkenaan hadis-hadis yang menyatakan amalan-amalan yang penghapus dosa, seperti mana hadis di atas, hadis-hadis tersebut bukanlah seperti mana yang kita fahami secara sepintas lalu di atas.
PENJELASAN ULAMA.
Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali menyatakan sebuah pendapat dalam kitabnya, Jami’ Al-Ulum Wa Al-Hikam, yang dinukil daripada Imam Ibnu Abdil Bar dalam At-Tamhid, bahawa dosa yang terhapus melalui amalan-amalan soleh (seperti zikir, solat, puasa dan sebagainya- pen) hanyalah merujuk kepada dosa kecil. Ada pun bagi dosa-dosa besar, ianya tidak terampun melainkan dengan melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Pendapat ini disandarkan kepada ‘Atha dan ulama Salaf yang lain. Begitu juga dengan Salman Al-Farisi.
Imam Ibnu Abdil Bar berhujahkan beberapa buah hadis, antaranya:
“Sembahyang lima waktu, solat jumaat hingga solat jumaat dan puasa ramadhan hingga puasa ramadhan (yang berikutnya – pen) merupakan penghapus kepada dosa-dosa yang dilakukan antaranya, selagi dosa-dosa besar dijauhi.” (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763)
Ibnu Atiyyah dalam kitab tafsirnya membawa dua pendapat ulama dalam tentang maksud hadis (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763) ini.
Pertama: Dosa besar menjadi syarat dihapuskan dosa kecil dengan amalan fardhu. Jika dosa besar tidak dijauhi, amalan fardhu sama sekali tidak menghapuskan mana-mana dosa.
Kedua: Amalan fardhu menghapuskan dosa-dosa kecil secara mutlak dan tidak menghapuskan dosa-dosa besar jka ada. Tetapi dengan syarat dosa kecil tidak dilakukan secara berterusan.
Ibnu Atiyyah memilih tafsiran yang kedua sebagai pendapat yang lebih tepat.
AKIBAT TERSALAH FAHAM.
Sesetengah orang apabila membaca hadis di atas, mereka memahami hadis tersebut sekadar itu sahaja. Akibatnya mereka tersalah faham tentang dosa yang dihapuskan dalam hadis di atas. Lalu akibat berikutnya, mereka pun tanpa rasa bimbang meninggalkan perintah solat lima waktu dan berpuasa, malah melakukan dosa-dosa yang keji seperti zina, bunuh orang, minum arak, dan sebagainya. Ini kerana, mereka beranggapan cukup dengan hanya sekadar mengucapkan zikir di atas sebanyak seratus kali, mereka sudah pun dapat membersihkan diri mereka daripada dosa dan selamat di akhirat.
KESIMPULAN.
Maksud dosa yang diampunkan dalam hadis di atas dan hadis yang seumpamanya, hanya merujuk kepada dosa kecil. Mengucapkan kalimah zikir seperti hadis di atas tidak memadai bagi menghapuskan semua dosa yang kita lakukan. Ada pun bagi dosa besar, maka ianya memerlukan kita untuk melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Wallahu ‘alam.
RUJUKAN:
Shahih Al-Bukhari, Maktabah Syamelah.
Shahih Muslim, Maktabah Syamelah.
Sahih Ibnu Hibban, Maktabah Syamelah.
Terjemahan Jami’ Al-Ulum Wa Al-Hikam, terbitan Pustaka Salam.
Islam merupakan agama yang syumul dang lengkap. Islam tidak hanya sebatas menyentuh soal ibadat, hubungan manusia dengan Allah s.w.t, hubungan manusia dengan manusia, tetapi Islam juga menyentuh mengenai hubungan manusia dengan alam.
Islam tidak hanya menyentuh soal akidah kepercayaan, perbuatan dan kehidupan, bahkan Islam juga turut menyentuh mengenai perubatan. Terdapat sebuah kitab perubatan berjudul Thibbun Nabawi yang ditulis berdasarkan panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah oleh seorang ulama bernama Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.
SETIAP PENYAKIT ADA UBATNYA.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit, kecuali Dia menurunkan bagi penyakit itu penawar." (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Setiap penyakit yang diturunkan oleh Allah s.w.t, pasti mempunyai penawar, ubat atau penyembuhnya. Sesuatu penyakit itu tidak dapat disembuhkan, bukanlah sebab tiada ubatnya, tetapi belum ditemui ubatnya.
BOLEHKAH BERUBAT DENGAN BENDA HARAM?
Kebiasaan dalam sesetengah masyarakat, mereka melakukan perubatan dengan benda yang haram dan terlarang, seperti meminta kepada roh, berjumpa dengan bomoh dan jin, serta memakai tangkal yang mengandungi syirik. Ini adalah terlarang dan bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan sabdara Rasulullah s.a.w:
"Janganlah kamu berubat dengan benda yang haram." (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, dihasankan oleh Ibnu Muflih dalam Al-Adab Asy-Syariah, 2/336)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
"Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu." (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
ANTARA DUA PILIHAN; UBAT HALAL DAN HARAM?
Islam melarang menggunakan benda yang haram dalam berubat, namun apabila kita melihat sesetengah keadaan, benda yang haram itu mampu menyembuhkan penyakit.
Saya katakan, inilah ujian Allah s.w.t. Dia ingin melihat sejauh mana kita ini berpegang teguh kepada agama Allah s.w.t. Sesungguhnya penawar dan kesembuhan itu adalah termasuk dalam urusan rezeki dan pentabdiran Allah s.w.t. Bagi rezeki, Allah s.w.t telah menyediakan bagi manusia itu dua jalan. Jalan yang haram dan jalan yang halal.
Sebagai contoh, orang yang ingin mendapatkan wang. Allah s.w.t telah menetapkan ada dua cara mendapatkan wang. Cara yang halal dengan bekerja dengan jujur dan sesuai dengan ketentuan agama. Cara yang haram, dengan melakukan perkara haram, seperti mencuri dan merompak.
Begitulah juga keadaannya dengan perkara berubat untuk kesembuhan. Allah s.w.t telah menyediakan dua jalan, halal dan haram. Sekiranya kita memilih jalan yang halal dan disyariatkan, insya' Allah, kita akan mendapatkan kesembuhan dan pahala. Tetapi sekiranya kita memilih menggunakan benda yang haram, mungkin kita akan sembuh, tetapi pastinya kita akan mendapat dosa kerana memilih benda yang haram dan dilarang Allah s.w.t.
NIAT BAIK, TETAPI CARA SALAH.
Ada sesetengah orang beralasan, meskipun mereka menggunakan cara yang salah disisi agama, namun niat mereka adalah baik. Saya tegaskan di sini, niat yang baik tidak menghalalkan perkara yang haram. Perkara yang haram akan tetap menjadi haram.
Contohnya orang yang mencuri untuk membantu orang lain dan memberi sedeqah.
Allah s.w.t telah menyediakan bagi kita dua pilihan, cara yang haram dan cara yang halal. Orang yang sengaja memilih perkara yang haram, walaupun dengan niat yang baik dan tanpa kebenaran di sisi syara', perbuatannya itu akan tetap haram, malah mengundang dosa.
Disebutkan dalam hadis yang shahih masyhur dalam kalangan ahli ilmu, Sabda Rasulullah s.a.w:
"Barang siapa yang melakukan sesuatu yang bukan daripada suruhan kami maka ia adalah tertolak."
Untuk melakukan perkara baik, dua perkara diperlukan, iaitu niat yang baik dan cara yang benar, barulah sesuatu perbuatan itu diiktiraf sebagai kebaikan disisi Islam.
CONTOH PERUBATAN HARAM YANG DIGUNAKAN SECARA MELUAS DALAM MASYARAKAT.
Berikut adalah contoh-contoh cara perubatan yang dilarang dan diharamkan di sisi syariat Islam.
Mengikat benang, memakai anting-anting, memakai tali pengikat pinggang sebagai azimat dan tangkal dengan kepercayaan ianya mampu menolak, mengubati penyakit dan menolak bala.
Menjampi atau ruqyah dengan ayat-ayat yang tidak difahami, berunsur syirik dan menyeru selain Allah s.w.t untuk memohon pertolongan.
Menggunakan jampi yang tidak bersumberkan Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Berjumpa bomoh dan dukun yang meminta pertolongan dengan jin. Biasanya bomoh atau dukun akan menyuruh pesakit membuat perkara tertentu, seperti menanam benda, berpantang dan sebagainya.
Menyediakan makanan dan menjamu roh tertentu, seperti roh nenek moyang, agar roh tersebut tidak mengganggu orang yang sakit. Termasuk dalamnya perbuatan menyembelih haiwan (seperti ayam hitam) untuk selain Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah melaknat orang-orang yang menyembelih binatang bukan kerana Allah." (Hadis riwayat Muslim).
Terdapat banyak lagi cara berubat bercanggah dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, dan membawa kepada kesyirikan dan haram. Namun, saya hanya menyenaraikan sedikit contoh yang biasanya berlaku disekeliling kita, agar ianya dapat dihindari dan dijauhi.
Masih segar dalam ingatan saya, saat isu Seksualiti Merdeka meletup dan hangat diperkatakan di kaca televisyen, ruang media cetak dan elektronik serta menjadi bualan bagi sekian kelompok dalam kehidupan seharian. Saya turut mengambil bahagian untuk menulis pandangan berkaitan isu tersebut.
Saya cuba mengulas isu masalah gender itu bukan secara emosi, tetapi dengan menggunakan sudut pandangan Islam, sebagai sebuah agama yang lengkap dan menyeluruh, serta disokong oleh logik dan fakta. Alhamdulillah, selepas disiarkan ternyata pelbagai respon yang diterima berkenaan ulasan saya melalui penulisan tersebut. Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang, mungkin disebabkan salah faham ataupun disebabkan kefahaman agama yang kurang.
MANUSIA TIDAK LAYAK MENGHUKUM?
Antara sekian respon tidak setuju yang saya terima, terdapat satu komen yang menarik perhatian saya saat itu. Di mana pemberi respon membela dan menyatakan golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual) yang terlibat dalam isu Seksualiti Merdeka adalah tidak patut untuk dipersalahkan. Pemberi respon menyatakan lagi, sebagai manusia di muka bumi ini kita tidak layak untuk menentukan sama ada perbuatan orang lain itu salah ataupun benar. Apatah lagi untuk menjatuhkan hukuman.
Setelah meneliti dan melihat profile pemberi respon yang datangnya daripada laman Facebook itu, saya merasa amat gusar dan terkejut. Ternyata, respon tersebut bukanlah datang daripada seorang non-muslim, tetapi ianya adalah daripada seorang perempuan beragama Islam yang bertudung.
Tidak sangka, ada juga orang Islam yang berfikiran sedemikian meskipun sudah menginjak usia dewasa. Apakah dia tidak pernah belajar subjek pendidikan Islam ketika di bangku sekolah? Hati saya tertanya-tanya. Itulah kali pertama saya terjumpa orang Islam yang berfikiran sedemikian, dan ianya membuatkan fikiran saya bimbang saat mencernanya apa yang ditulisnya. Saya terfikir lagi, agaknya berapa ramai umat Islam yang berfikiran sedemikian di rupa berada di luar sana? Pastinya bukan seorang dua sahaja.
HUKUMAN ITU SATU DIDIKAN.
Islam bukanlah agama terroris, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia diturunkan oleh Allah s.w.t untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam; membawa kebaikan, keselamatan dan ketenteraman agar manusia hidup dalam keadaan sentosa.
Allah s.w.t yang menurunkan Islam, Maha Mengetahui tentang sikap dan peribadi manusia, bahawa tidak semua manusia itu akan berbuat baik dan taat sepanjang masa. Maka untuk itu, untuk mendidik manusia agar menjadi makhluk yang baik, Allah s.w.t telah menurunkan dalam agama Islam itu bukan sahaja mengenai akidah, tetapi turut terangkum di dalamnya soal hukum dan perundangan serta akhlak.
Tujuan Allah s.w.t berbuat sedemikian bukanlah bertujuan untuk menzalimi manusia, tetapi ianya adalah untuk menegakkan keadilan dan kehidupan yang sejahtera buat manusia. Barang siapa yang melanggar hukum dan perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, maka dia akan dikenakan hukuman atas perbuatan yang dilakukannya.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisaa’:58)
Cuba kita bayangkan, bagaimanakah keadaan dunia hari ini sekiranya tidak ada hukuman yang ditetapkan buat manusia yang bersalah? Sudah tentu dunia akan huru-hara dan tidak tenteram, kerana manusia yang bersalah akan bermaharajalela dan meneruskan kejahatan mereka.
Fitrah manusia sendiri turut memahami sifat buruk manusia itu. Oleh itu, kita dapat melihat, bukan orang Islam yang percaya kepada Allah s.w.t sahaja melaksanakan hukuman undang-undang. Malah, orang yang kafir yang tidak beriman juga turut menggubal peraturan dan undang-undang untuk menghukum orang yang dilihat melakukan kesalahan, hanya saja undang-undang dan alat penilai yang digunakan oleh mereka bukanlah berdasarkan tuntunan Allah s.w.t.
Hanya manusia yang mempunyai fitrah yang rosak dan fikiran bercelaru yang tidak teratur sahaja berpendapat bahawa kita sebagai manusia tidak mempunyai kelayakan untuk menilai seseorang sebagai benar ataupun sebaliknya, serta menyatakan kita tidak layak menjatuhkan hukuman terhadap manusia yang bersalah.
ALAT PENGUKUR YANG ADIL.
Orang yang tidak beriman menetapkan alat untuk menilai benar dan salah serta menetapkan peraturan dan hukuman adalah berdasarkan akal mereka. Sedangkan apabila kita perhatikan, akal itu adalah satu alat penilai dan pengukur yang bersifat relatif dan tidak sekata; sesuatu yang salah pada penilaian akal orang lain, mungkin akan dipandang benar menurut penilaian akal yang orang lain.
Penilaian akal adalah berubah-ubah. Saat ini boleh jadi akal melihat sesuatu itu sebagai benar, sedangkan pada masa hadapan, akal akan melihat sesuatu itu sebagai sesuatu yang salah, dan begitulah sebaliknya. Selain itu, akal juga tidak mustahil untuk terdedah kepada sikap berat sebelah dan dipengaruhi simpati.
Memikirkan sifat akal yang sentiasa tidak tetap itu, maka penilaian akal dengan akal kerap kali akan bercanggah. Ini akan menimbulkan perselisihan, persengketaan dan permusuhan sesama manusia.
Di dalam Islam, kita tidak di ajarkan untuk menilai baik dan buruk menggunakan akal semata-mata, tetapi kita diajarkan oleh Allah s.w.t untuk menilai baik atau buruk sesuatu itu berdasarkan petunjuk Al-Qur’an dan As-Sunnah berdasarkan kefahaman Salaf soleh. Dengan itu manusia akan terselamat daripada sikap berat sebelah dan kezaliman, seterusnya mengelakkan berlakunya persengketaan dan perselisihan, kerana penilaian menggunakan wahyu Allah s.w.t; Al-Qur’an dan As-Sunnah berdasarkan kefahaman Salafus Soleh, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak disebabkan prinsipnya yang tetap.
Apabila berlaku percanggahan penilaian sesama manusia, Allah s.w.t menyeru manusia akan mengembalikannya kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya sepertimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah An-Nisaa’; ayat 59:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
BATAS DALAM MENGHUKUM SESEORANG.
Meskipun kita dibenarkan untuk menentukan salah dan benar ke atas sesuatu perkara ataupun seseorang, dan juga menjatuhkan hukuman ke atas orang yang bersalah. Ada beberapa perkara yang perlu kita perhatikan dalam menjatuhkan hukuman terhadap manusia.
Pertama, kita menghukum manusia secara zahirnya sahaja. Kita tidak boleh menentukan dalam menetapkan apa yang tersembunyi dalam batin atau hati manusia. Contohnya, kita tidak boleh menetapkan seseorang yang kita lihat sebagai ikhlas ataupun riak dalam melakukan sesuatu amal, bersifat munafik dalam hati dengan berpura-pura Islam pada zahir manusia. Sesungguhnya perkara yang tersembunyi dalam hati manusia adalah urusan Allah s.w.t, dan kita tidak ada kuasa untuk mengetahui dan meneka hati manusia.
Kedua, kita hanya menghukum seseorang itu salah ataupun benar pada zahirnya. Sedangkan untuk menetapkan nasib orang tertentu di hari akhirat, sama ada masuk neraka ataupun syurga maka itu bukanlah urusan kita. Ianya adalah urusan Allah s.w.t. Barang siapa yang berkata orang yang tertentu sebagai ahli neraka, ataupun ahli syurga maka dia telah melakukan satu pendustaan kepada Allah s.w.t.
Termasuk yang terlarang adalah menyatakan seseorang yang melakukan dosa tidak akan diampunkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Menerima Taubat orang-orang yang bertaubat.
Ada pun bagi orang tertentu yang telah jelas ditetapkan syurga dan neraka baginya, maka tiada ada salah untuk menyatakan seseorang itu ahli syurga atau neraka. Contohnya menyatakan Firaun dan Hamman sebagai ahli neraka adalah tidak salah, kerana perkara itu telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. Begitu juga menyatakan Nabi Muhammad s.a.w dan empat khalifah pertama sebagai ahli syurga, kerana ianya telah dijelaskan melalui riwayat yang shahih daripada Rasulullah s.a.w.
DIA MASUK NERAKA, DIA MASUK SYURGA?
Terdapat beberapa hadis yang dapat dijadikan dalil untuk melarang perbuatan menyatakan dan menetapkan orang tertentu sebagai ahli syurga ataupun ahli neraka tanpa khabar daripada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
Antaranya adalah khabar dalam hadis berikut yang membawa erti sebuah larangan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israil, salah seorang daripadanya lazim berbuat dosa manakala yang lain bersungguh-sungguh dalam beribadah. Saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah sering memandang saudaranya yang lain berbuat dosa, lalu dia berkata: “Berhentilah!”.
Pada satu hari dia mendapati saudaranya masih melakukan dosa lalu dia berkata: “Berhentilah!”
Namun saudaranya menjawab: “Biarkan aku! Demi Tuhanku! Apakah engkau diutus untuk mengawasi aku?”
Lalu saudara (yang bersungguh-sungguh dalam ibadah) berkata:
“Demi Allah! Allah tidak akan mengampunkan engkau atau Allah tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga.”
Maka (beberapa ketika kemudian) ruh kedua-duanya dicabut dan mereka dihadapkan kepada (Allah)Tuhan sekalian alam. Lalu (Allah) bertanya kepada saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah: “Apakah engkau mengetahui tentang Aku atau apakah engkau berkuasa atas apa yang berada di tangan-Ku?”
Dan (Allah) berkata kepada saudara yang lazim berbuat dosa: “Pergilah masuk ke syurga dengan Rahmat-Ku.” Dan (Allah) berkata kepada (saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah): “Bawalah orang ini ke neraka.”
Berkata Abu Hurairah: “Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, sungguh orang tersebut (saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah) telah mengucapkan kata-kata yang membinasakan dunia dan akhiratnya.” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, dinilai shahih oleh Al-Albani, Shahih Sunan Abu Dawud, no.4901)
Kesimpulannya, hendaklah kita berwaspada dan tidak berlebih-lebihan dalam menetapkan sesuatu hukum ke atas seseorang. Tidak salah, untuk menyatakan seseorang itu salah ataupun benar, bahkan ianya termasuk dalam perundangan Islam. Namun, pernyataan-pernyataan seperti itu hanyalah sebatas dalam perkara zahir sahaja.
Ada pun menetapkan orang ini dan orang itu adalah ahli neraka ataupun ahli syurga, ataupun mengatakan orang ini dan orang itu tidak diampunkan oleh Allah s.w.t, tanpa dalil daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah, maka ianya adalah amat dilarang dan haram hukumnya. Malah, perbuatan tersebut boleh menyebabkan sia-sia dan rosaknya amal seseorang.
Hari ini saya menghadiri sebuah konvensyen yang menghimpunkan para ustaz dan ustazah yang mengajarkan pendidikan Islam di peringkat pengajian rendah yang datang daripada pelbagai sekolah. Program yang diadakan di peringkat negeri ini dikhabarkan mendapat sambutan peserta lebih tujuh ratus orang kesemuanya, jauh daripada jumlah yang dijangka hadir oleh penganjur.
Daripada awal apabila saya melihat perjalanan majlis ini yang kelihatannya gah kerana kehadiran orang-orang kenamaan dan tokoh dalam pendidikan, saya sematkan harapan di dalam hati yang konvensyen ini akan memberikan saya sebuah input baru dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang guru agama.
Dalam program ini terdapat tiga buah kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari pertama, manakala esoknya pula dua buah lagi kertas kerja akan dibentangkan kepada para peserta.
BUDAYA ‘MEMANASKAN ENJIN’ DI KALANGAN PENCERAMAH?
Lebih kurang jam lapan pagi, pembentangan kertas kerja pertama pun dimulakan oleh seorang tokoh yang dijemput khas daripada seberang. Meskipun dengan ucapan yang perlahan dan bersahaja, daripada kata-katanya terkandung butir hikmah yang dapat dijadikan renungan.
Meskipun pada awal pembentangan beliau, saya berasa tidak bersemangat dan mengantuk, tetapi saat-saat akhir pembentangan beliau, saya berasa segar semula, kerana isu yang dikatakannya menarik minat saya. Alhamdulillah, ucapan beliau ada saya rakamkan untuk didengar kemudian hari.
Namun begitu, apabila tiba giliran pembentang kedua harapan saya mendapat input ilmu mulai luntur perlahan-lahan.
Pembentang kertas kerja kedua berkata bahawa biasanya pada awal ceramah, beliau tidak akan menjurus terus kepada topik pembentangan, sebaliknya beliau akan mengambil masa untuk ‘memanaskan enjin’ sebelum masuk kepada topik yang akan dibincangkan olehnya.
Beberapa ketika berlalu, tanda-tanda penceramah akan masuk topik perbahasannya secara serius seakan-akan tiada, melainkan disentuh sedikit sahaja. Lalu saya pun menghentikan rakaman suara dan kami yang hadir pun menunggulah pembentang kedua ‘memanaskan enjin’ dengan perkara-perkara yang boleh dikatakan melencong daripada tajuk pembentangan yang sebenarnya.
Akhirnya masa yang diperuntukkan untuk pembentang kedua berceramah habis digunakan untuk ‘memanaskan enjin’ saja, dan topik pembentangan tidak disentuh melainkan sedikit sahaja. Masa pembentangan yang diberikan kepada beliau selama 45 minit yang sepatutnya diisi dengan penyampaian ilmu yang bermanfaat, lebih dihabis dengan meriwayatkan hadis palsu dan menyampaikan kisah-kisah ganjil yang dicedok daripada kalangan sufi dengan gaya dan nada suara membuatkan para hadirin ketawa. Input ilmu yang saya harapkan ternyata hanya tinggal harapan semata-mata.
Semenjak itu momentum dan semangat untuk saya mendengar pembentangan kertas kerja seterusnya turut menjadi pudar dan punah.
BERDISIPLIN DALAM BERCERAMAH.
Situasi yang saya ceritakan di atas bukanlah berlaku sekali saja. Sebelum ini juga, saya pernah mengikuti beberapa seminar yang pembentangnya bersikap sedemikian rupa. Semenjak bila budaya ‘memanaskan enjin’ menjadi amalan para penceramah, saya sendiri kurang pasti, kerana saya bukanlah orang yang kerap dipanggil ke sana dan ke mari untuk menyampaikan ceramah.
Apa yang pasti, bagi saya budaya ‘memanaskan enjin’ ini adalah sesuatu kurang sihat untuk diamalkan, dan sebaik-baiknya ianya hendaklah ditinggalkan. Ini kerana, kebanyakan para penceramah itu dibayar setiap masa dan ucapannya, dan pastinya para penceramah itu dibayar bukanlah untuk mengucap sekadar yang suka-suka sahaja sehingga habis masa, tetapi mereka dibayar untuk menyampaikan topik yang sudah ditetapkan buat dirinya.
Sepatutnya berceramah itu bicaranya adalah lebih terarah. Lebih-lebih lagi bagi seseorang yang di pandang tinggi keilmuannya, disiplinnya perlu ada. Bukannya berbicara sesuka hati dan sesedap rasa. Andai sudah berbicara setengah jam ke atas pun masih dalam bicara ‘memanaskan enjin’; melencong kepada perkara yang entah ke mana awal dan hujungnya, itu sudah tidak berdisiplin namanya.
Akhir sekali, sebelum saya mengakhiri penulisan kali ini yang nampaknya seperti sebuah luahan hati, suka untuk saya nyatakan, tulisan ini bukanlah dikhususkan kepada penceramah di atas sahaja, tetapi ianya umum sebagai peringatan buat kita yang bakal berceramah.
Dan saya juga bukanlah seorang yang menolak seratus peratus budaya ‘memanaskan enjin’ di kalangan penceramah, kerana mungkin saja perkara itu adalah kaedah penyampaian para penceramah yang tertentu dan tersendiri. Saya akui, adakalanya perkara itu tidak ada salahnya untuk menarik perhatian para penonton, tetapi biarlah ianya dilakukan secara berpada-pada. Jangan sampai tinggal beberapa minit saja masa yang diberikan untuk berceramah, barulah mahu disentuh apa yang tertulis di atas kertas kerja.