Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Jumaat, 2 Mac 2012

LARANGAN BERUBAT DENGAN BENDA HARAM.

Oleh: Suhili bin Nain.

ISLAM BERKATA TENTANG PERUBATAN.
Islam merupakan agama yang syumul dang lengkap. Islam tidak hanya sebatas menyentuh soal ibadat, hubungan manusia dengan Allah s.w.t, hubungan manusia dengan manusia, tetapi Islam juga menyentuh mengenai hubungan manusia dengan alam.
          Islam tidak hanya menyentuh soal akidah kepercayaan, perbuatan dan kehidupan, bahkan Islam juga turut menyentuh mengenai perubatan. Terdapat sebuah kitab perubatan berjudul Thibbun Nabawi yang ditulis berdasarkan panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah oleh seorang ulama bernama Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.

SETIAP PENYAKIT ADA UBATNYA.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit, kecuali Dia menurunkan bagi penyakit itu penawar." (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Setiap penyakit yang diturunkan oleh Allah s.w.t, pasti mempunyai penawar, ubat atau penyembuhnya. Sesuatu penyakit itu tidak dapat disembuhkan, bukanlah sebab tiada ubatnya, tetapi belum ditemui ubatnya.

BOLEHKAH BERUBAT DENGAN BENDA HARAM?
Kebiasaan dalam sesetengah masyarakat, mereka melakukan perubatan dengan benda yang haram dan terlarang, seperti meminta kepada roh, berjumpa dengan bomoh dan jin, serta memakai tangkal yang mengandungi syirik. Ini adalah terlarang dan bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan sabdara Rasulullah s.a.w:
          "Janganlah kamu berubat dengan benda yang haram." (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, dihasankan oleh Ibnu Muflih dalam Al-Adab Asy-Syariah, 2/336)
          Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
          "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu." (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

ANTARA DUA PILIHAN; UBAT HALAL DAN HARAM?
Islam melarang menggunakan benda yang haram dalam berubat, namun apabila kita melihat sesetengah keadaan, benda yang haram itu mampu menyembuhkan penyakit.
          Saya katakan, inilah ujian Allah s.w.t. Dia ingin melihat sejauh mana kita ini berpegang teguh kepada agama Allah s.w.t. Sesungguhnya penawar dan kesembuhan itu adalah termasuk dalam urusan rezeki dan pentabdiran Allah s.w.t. Bagi rezeki, Allah s.w.t telah menyediakan bagi manusia itu dua jalan. Jalan yang haram dan jalan yang halal.
          Sebagai contoh, orang yang ingin mendapatkan wang. Allah s.w.t telah menetapkan ada dua cara mendapatkan wang. Cara yang halal dengan bekerja dengan jujur dan sesuai dengan ketentuan agama. Cara yang haram, dengan melakukan perkara haram, seperti mencuri dan merompak.
          Begitulah juga keadaannya dengan perkara berubat untuk kesembuhan. Allah s.w.t telah menyediakan dua jalan, halal dan haram. Sekiranya kita memilih jalan yang halal dan disyariatkan, insya' Allah, kita akan mendapatkan kesembuhan dan pahala. Tetapi sekiranya kita memilih menggunakan benda yang haram, mungkin kita akan sembuh, tetapi pastinya kita akan mendapat dosa kerana memilih benda yang haram dan dilarang Allah s.w.t.
 
NIAT BAIK, TETAPI CARA SALAH.
Ada sesetengah orang beralasan, meskipun mereka menggunakan cara yang salah disisi agama, namun niat mereka adalah baik. Saya tegaskan di sini, niat yang baik tidak menghalalkan perkara yang haram. Perkara yang haram akan tetap menjadi haram.
          Contohnya orang yang mencuri untuk membantu orang lain dan memberi sedeqah.
Allah s.w.t telah menyediakan bagi kita dua pilihan, cara yang haram dan cara yang halal. Orang yang sengaja memilih perkara yang haram, walaupun dengan niat yang baik dan tanpa kebenaran di sisi syara', perbuatannya itu akan tetap haram, malah mengundang dosa.
Disebutkan dalam hadis yang shahih masyhur dalam kalangan ahli ilmu, Sabda Rasulullah s.a.w:
"Barang siapa yang melakukan sesuatu yang bukan daripada suruhan kami maka ia adalah tertolak."
Untuk melakukan perkara baik, dua perkara diperlukan, iaitu niat yang baik dan cara yang benar, barulah sesuatu perbuatan itu diiktiraf sebagai kebaikan disisi Islam.

CONTOH PERUBATAN HARAM YANG DIGUNAKAN SECARA MELUAS DALAM MASYARAKAT.
Berikut adalah contoh-contoh cara perubatan yang dilarang dan diharamkan di sisi syariat Islam.

  1. Mengikat benang, memakai anting-anting, memakai tali pengikat pinggang sebagai azimat dan tangkal dengan kepercayaan ianya mampu menolak, mengubati penyakit dan menolak bala.
  2. Menjampi atau ruqyah dengan ayat-ayat yang tidak difahami, berunsur syirik dan menyeru selain Allah s.w.t untuk memohon pertolongan.
  3. Menggunakan jampi yang tidak bersumberkan Al-Qur'an dan As-Sunnah.
  4. Berjumpa bomoh dan dukun yang meminta pertolongan dengan jin. Biasanya bomoh atau dukun akan menyuruh pesakit membuat perkara tertentu, seperti menanam benda, berpantang dan sebagainya.
  5. Menyediakan makanan dan menjamu roh tertentu, seperti roh nenek moyang, agar roh tersebut tidak mengganggu orang yang sakit. Termasuk dalamnya perbuatan menyembelih haiwan (seperti ayam hitam) untuk selain Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah melaknat orang-orang yang menyembelih binatang bukan kerana Allah." (Hadis riwayat Muslim).
Terdapat banyak lagi cara berubat bercanggah dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, dan membawa kepada kesyirikan dan haram. Namun, saya hanya menyenaraikan sedikit contoh yang biasanya berlaku disekeliling kita, agar ianya dapat dihindari dan dijauhi.

Wallahu 'alam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan