Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Selasa, 6 Mac 2012

BOLEHKAH MENGGANTUNG AYAT AL-QUR'AN DI DINDING?

Oleh: Suhili bin Nain.


Soalan: Saya melihat hari ini terdapat kebiasaan dalam masyarakat kita perbuatan menggantungkan ukiran ataupun membuat tulisan khat Al-Qur’an di dinding, sama ada masjid ataupun rumah. Apakah perbuatan tersebut diperbolehkan?

Jawapan: Berdasarkan kata-kata Imam An-Nawawi r.h dalam At-Tibyan Fi Adab Hamalah Al-Qur’an, bahawa di sisi Mazhab Asy-Syafi’e perbuatan tersebut adalah tidak disukai dan dibenci. Dan saya cenderung untuk mengikuti pendapat beliau.
          Sebagaimana yang difahami tujuan Allah s.w.t menurunkan Al-Qur’an adalah sebagai petunjuk bagi umat manusia. Allah s.w.t menurunkan Al-Qur’an dalam bahasa arab, untuk dibaca dan difahaminya dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, perbuatan menjadikan Al-Qur’an sebagai perhiasan di dinding adalah satu perbuatan yang menyalahi tujuan Al-Qur’an diturunkan.
“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Shaad : 29)
Berdasarkan fatwa Syaikh Muhammad bin Shaleh Al-Uthaimin r.h, sekiranya tujuan menggantung ayat Al-Qur’an itu adalah untuk dijadikan pendinding ataupun pelindung daripada bahaya, maka ianya tidak akan memberikan manfaat. Ini kerana, Al-Qur’an itu hanya akan memberikan manfaat dan menjadi pelindung seseorang itu daripada keburukan apabila dia mengamalkannya.
          Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa membaca ayat kursi di suatu malam, maka Allah sentiasa memberi penjagaan bagi orang tersebut dan dia tidak akan didekati syaitan sehingga pagi hari.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Sekiranya tujuan menggantung ayat Al-Qur’an tersebut adalah peringatan sebagai peringatan buat manusia, maka ianya sudah menyalahi jalan para Salafus Soleh. Bahkan sekiranya kita lihat, kebanyakan khat tulisan Al-Qur’an yang digantung atau diukir pada dinding hari ini adalah begitu susah untuk dibaca. Sekiranya sedemikian, maka bagaimanakah ianya mampu memberikan peringatan dan kesedaran kepada yang memandangnya?
Sesungguhnya, cara yang benar untuk mengingatkan manusia terhadap Al-Qur’an adalah dengan mengadakan majlis ilmu untuk menggali ilmu yang tersimpan di dalamnya. Ataupun dengan menghadiahkan Al-Qur’an kepada seseorang.
Akhir kata, sekiranya kita berpegang teguh dengan Al-Qur’an serta mengamalkannya, nescaya Allah s.w.t. melimpahkan kemuliaan dan kemenangan kepada kita kepada kita. Namun sekiranya kita hanya menjadikan Al-Qur’an sekadar perhiasan dan tidak beramal dengannya, maka kehinaan akan menimpah kita dimana-mana saja.   

Wallahu ‘alam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan