Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Selasa, 13 Mac 2012

BOLEHKAH MENDIRIKAN SOLAT JEMAAH KEDUA DALAM SATU MASJID?

Oleh: Suhili bin Nain.

Satu perkara yang biasa kita lihat dalam masyarakat, apabila mereka pergi ke masjid lalu mendapati telah selesai mendirikan solat berjemaah, maka mereka yang datang lewat akan membuat satu jemaah baru bagi mendirikan solat fardhu’. Ini dilakukan dengan melantik imam diantara mereka yang lambat datang ke masjid, ataupun menjadikan orang yang masbuk sebagai imam mereka. Keadaan ini, dalam pelajaran fekah disebutkan sebagai jemaah kedua dalam satu masjid.
          Perkara ini mungkin kelihatan remeh, namun sekiranya kita merujuk kepada ulama; ianya mempunyai perbahasan hukumnya yang tersendiri. Ulama terbahagi kepada dua kelompok dalam menghadapi persoalan ini. Kelompok pertama memandang perbuatan mendirikan jemaah kedua yang mempunyai imam tetap adalah tercela dan makruh hukumnya. Kelompok kedua, memperbolehkan perbuatan tersebut.
          Insya’ Allah, di sini saya akan membawakan pendapat Imam Asy-Syafi’e dalam perkara ini, yang mana saya cenderung untuk mengikuti pendapat tersebut.
Secara ringkasnya, menurut pendapat Imam Asy-Syafi’e, perbuatan mendirikan jemaah kedua di dalam sebuah masjid yang mempunyai imam khusus ataupun tetap adalah sesuatu yang dibenci.
          Imam Asy-Syafi’e berkata di dalam kitab Al-Umm, juz 1, halaman 136:
“Apabila satu masjid memiliki imam rawatib (tetap) lalu seseorang ataupun sejumlah orang tertinggal solat berjemaah, maka (hendaklah) mereka solat sendiri-sendiri. Saya tidak menyukai mereka solat berjemaah padanya. Jika mereka melakukan solat sendirian tersebut, maka ia mendapat pahala berjemaah. Hal ini (berjemaah) dilarang bagi mereka, kerana bukan merupakan amalan para salaf sebelum kita. Bahkan sebahagian mereka mencelanya.”
Buat anda yang membaca perkara ini pertama kali, mungkin akan merasa pelik. Namun begitu, pendapat Imam Asy-Syafi’e ini ada asas daripada riwayat yang benar. Bahkan jumhur ulama Salaf seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Hasan Al-Basri, dan Imam Ahmad turut berpendapat seperti beliau. Abu Daud As-Sijistani meriwayatkan dalam kita Masail Al-Imam Ahmad, hukum mengulang jemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah amat dibenci.
Berikutnya Imam Asy-Syafi’e berkata lagi:
“Sungguh, kami telah mengetahui dengan pasti, bahwa jika sejumlah sahabat tertinggal jemaah solat bersama Rasulullah s.a.w, mereka solat sendiri-sendiri - sepengetahuan beliau s.a.w -. Padahal mereka mampu untuk berjemaah. Demikian juga kami mengetahui, sejumlah orang yang tertinggal jemaah solat, lalu mendatangi masjid dan solat sendiri-sendiri, sedangkan mereka mampu untuk melakukan jemaah kedua di masjid tersebut, akan tetapi mereka solat sendiri-sendiri.” (Al-Umm, juz 1, hal. 139)
Diriwayatkan dalam sebuah riwayat berdarjat hasan, pernah suatu ketika Abdullah bin Mas’ud, Al-Aswad dan Alqamah r.anhum pergi ke masjid lalu mereka mendapati  orang ramai telah selesai mendirikan solat berjemaah. Maka Abdullah bin Mas’ud, Al-Aswad dan Alqamah r.anhum pulang lalu mendirikan solat berjemaah di rumah.
Ada pun kelewatan dan terluputnya tiga sahabat Rasulullah s.a.w itu bukanlah disengajakan, ataupun disebabkan mereka meremehkan solat berjemaah. bahkan amat dikenali para sahabat adalah amat menitik beratkan solat berjemaah.
          Sebelum mengakhiri perkongsian ringkas ini, suka saya menjelaskan bahawa, perkataan Imam Asy-Syafi’e di atas hanyalah merujuk kepada masjid yang mempunyai imam yang telah dilantik secara tetap. Manakala bagi masjid ataupun surau yang tidak mempunyai imam secara tetap, maka tidak ada masalah untuk mengulangi jemaah solat di dalamnya berkali-kali.
Adapun berbuatan mendirikan dua jemaah solat secara serentak dalam satu masjid, para ulama telah sepakat bahawa ianya adalah haram.
Imam An-Nawawi berkata:
“Apabila masjid tidak memiliki imam rawatib (tetap), maka diperbolehkan mengadakan jema’ah kedua dan ketiga ataupun lebih.” (Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, juz 4, hal. 222)
Akhir kata daripada saya, terima kasih atas kunjungan anda ke mari dan kerana kesudian anda untuk membaca penulisan kali ini sehingga ke akhirnya. Diharapkan perkongsian ini memberikan manfaat kepada saya dan juga diri anda. Semoga Allah memberkati, merahmati dan mempermudahkan urusan saya dan anda sekalian.

Wallahu ‘alam.


RUJUKAN:

1 ulasan: