Tekan "Like" Untuk Mengikuti Kemas Kini Blog "Aku, Dunia & Islam" Melalui Laman Facebook.

Sabtu, 24 Mac 2012

PENGENALAN ILMU AKIDAH.


Oleh: Suhili bin Nain.
DEFINISI AKIDAH MENURUT BAHASA.
Perkataan “akidah” adalah diberasal daripada perkataan bahasa arab “al-aqdu” yang membawa maksud ikatan ataupun simpulan yang kuat. Ianya juga bermaksud pemantapan, penetapan, dan kaitan. (Lisanul Arab, juz 3, hal. 386-390)

DEFINISI AKIDAH MENURUT ISTILAH UMUM.
Secara istilahnya “akidah” merujuk kepada kepercayaan yang mantap dan kukuh terhadap sesuatu perkara; tidak kira perkara yang dipercayai itu adalah benar ataupun salah. Oleh itu, ada akidah yang benar, dan ada pula akidah yang salah. Akidah itu adalah kepercayaan teguh yang tidak tergugat mahupun goyah.
Akidah yang benar, adalah akidah yang berteraskan ajaran Islam yang murni, bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah berdasarkan kefahaman para Salafus Soleh. Manakala akidah yang salah pula adalah akidah ataupun kepercayaan yang menyelisihi Islam, seperti akidah orang Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan lain-lain.
          Abdul Hamid Al-Athari berkata:
هي الأمور التي يجب أن يصدق بها القلب، وتطمئن إليها النفس؛ حتى تكون يقيناً ثابتاً لا يمازجها ريب، ولا يخالطها شك
          “Ia adalah perkara yang wajib dibenarkan dengan hati; dan tenteram ke atasnya jiwa sehingga yakin dengan pasti; tidak bercampur dengannya keraguan dan kesamaran.” (Al-Wajiz Fi Al-Aqidah As-Salaf As-Soleh, hal. 30)

AKIDAH ISLAMIYAH.
Apabila dikatakan akidah Islamiyah, ianya bermaksud kepercayaan yang mantap kepada Allah, para Malaikat-Nya, kitab-kitab suci-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat, qadar yang baik dan yang buruk, serta seluruh isi  Al-Qur’an Al-Karim dan As-Sunnah Ash-Shahihah berbentuk dasar-dasar agama, perintah-perintah dan berita-beritanya, serta apa saja yang disepakati oleh generasi Salafus Soleh, dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t dalam hal keputusan hukum, perintah, takdir, mahupun syara’, serta ketaatan kepada Rasulullah s.a.w dengan cara mematuhinya, menerima keputusan hukumnya dan mengikutinya.
          Secara mutlaknya pula, akidah Islamiyah ianya adalah merujuk kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang diredhai Allah s.w.t buat hambanya, dan menjadi pegangan manusia yang hidup pada tiga kurun Islam yang pertama; sahabat, tabi’in dan tabi’-tabi’in.

NAMA-NAMA ILMU AKIDAH.
Selain dikenali dengan nama ilmu akidah, ianya turut dikenali dengan nama ilmu tauhid, sunnah, usuluddin, syariah dan iman.

PERKARA YANG DIPELAJARI DALAM ILMU AKIDAH.
1.    Ilmu berkaitan Allah s.w.t. Berkenaan Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wa Sifat. Menjelaskan tentang kekuasaan Allah s.w.t, ketuhanannya, nama dan sifat Allah s.w.t yang Maha Sempurna dan tidak mengandungi sebarang kekurangan mahupun cacat cela.
2.    Ilmu berkaitan para kenabian. Menjelaskan tentang nabi dan rasul, sifat-sifat mereka dan wajibnya mentaati mereka serta menjadikan mereka sebagai contoh teladan untuk mendapat kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Termasuk di dalamnya membincangkan tentang ajaran yang dibacanya berupa wahyu dan kitab daripada Allah s.w.t.
3.    Ilmu berkaitan perkara sam’iyyat dan ghaibiyyat. Menjelaskan tentang perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata dan pancaindera. Contohnya kewujudan malaikat, alam jin, syaitan, syurga, neraka, alam kubur dan banyak lagi.
4.    Perbahasan mengenai aqidah-aqidah yang salah yang menyelisihi ajaran Islam, seperti perkara khurafat, syirik dan bid’ah yang boleh mencemarkan keimanan dan lebih teruk membatalkan keislaman seseorang. Terangkum di dalamnya tentang cara menyikapi para pelaku kebatilan dan mereka yang menentang aqidah Islamiyah daripada golongan musyirikin, kafir, pengikut hawa nafsu dan ahli bid’ah.

HUKUM MEMPELAJARI ILMU AKIDAH.
Berkata Ibnu Abdil Barr dalam kitabnya Jami’ Al-Bayan Al-Ilmi Wa Fadhlihi:
أجمع العلماء أن من العلم ما هو فرض متعين على كل امرئ في خاصته بنفسه، ومنه ما هو فرض على الكفاية، إذا قام به قائم سقط فرضه على أهل ذلك الموضع
“Sepakat para ulama, sesungguhnya daripada ilmu itu ada yang fardhu ‘ain ke atas setiap individu secara khusus bagi dirinya, dan ada daripadanya yang fardhu’ kifayah; apabila dilakukan oleh seseorang (ataupun segolongan), maka gugurlah kefardhu’an tersebut kepada yang lainnya.”
Mempelajari ilmu akidah secara umum dan ringkas adalah fardhu ‘ain ke atas setiap individu muslim; sama ada lelaki ataupun perempuan yang telah mukallaf. Adapun untuk memahami dan mendalami ilmu akidah secara terperinci hukumnya adalah fardhu’ kifayah.
Antara perkara yang mewajibkan seseorang itu mempelajari ilmu aqidah adalah berakal, baligh, sejahtera pendengaran dan penglihatannya, dan telah sampai seruan Islam kepadanya (yakni beragama Islam).
Sekiranya seseorang itu sengaja tidak mahu mempelajari ilmu akidah yang wajib ke atasnya, disebabkan kemalasan dan lalai, maka sesungguhnya dia telah berdosa besar. Ini kerana ilmu itu adalah dasar kepada Islam dalam kehidupan. Tanpa ilmu, seseorang itu tidak akan dapat beribadah kepada Allah s.w.t, apatah lagi melaksanakan tanggungjawab sebagai individu muslim.
Manakala, bagi orang yang sengaja serta benci dan meremehkan serta merendah-rendah untuk mempelajari ilmu akidah, dikhuatiri dirinya terkeluar ataupun murtad daripada agama Islam. Na’uzubillahi min zalik!

Wallahu ‘alam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan